
Setiap wanita pasti pernah mengalami hari yang luar biasa sibuk—penat bekerja, menjaga anak-anak, dan mengurus rumah tangga tanpa henti. Dalam kesibukan itu, ada kalanya mereka hanya mahukan sedikit masa untuk diri sendiri. Namun, detik yang kelihatan kecil itu boleh bertukar menjadi tragedi yang mengubah hidup selama-lamanya.
Itulah yang berlaku kepada Maya Hernandez, seorang ibu muda berusia 20 tahun dari Bakersfield, California. Niatnya hanya mahu memanjakan diri sebentar di spa kecantikan, tetapi keputusan tersebut telah meragut nyawa anak keduanya, Amillio Gutierrez, yang baru berusia setahun.
Menurut laporan NBC News, Maya memutuskan untuk singgah ke sebuah spa bagi mendapatkan rawatan suntikan bibir. Prosedur itu dijangka hanya mengambil masa sekitar 15 hingga 20 minit. Sebelum masuk ke spa, Maya meninggalkan dua orang anaknya—Amillio dan anak sulungnya yang berusia dua tahun—di dalam kereta.
Kereta jenis Toyota Corolla Hybrid yang digunakan Maya mempunyai fungsi keselamatan automatik di mana enjin akan tertutup secara sendiri selepas kira-kira 60 minit jika tiada pergerakan. Maya tidak mematikan enjin dan telah memasang penghawa dingin bagi memastikan anak-anaknya kekal selesa.
Namun, siapa sangka? Fungsi automatik itu menjadi punca malapetaka.
Pada hari itu, suhu luar mencecah 38°C. Dalam masa lebih sejam, suhu dalam kereta meningkat sehingga 60°C—seumpama dalam ketuhar. Apabila enjin tertutup secara automatik, penghawa dingin turut berhenti. Maya pula menyangka anak-anaknya akan selamat dengan adanya bekalan makanan ringan dan susu yang ditinggalkan.
Tetapi rawatan di spa mengambil masa hampir 90 minit. Bila Maya kembali ke kereta, dia menemui Amillio dalam keadaan tidak sedarkan diri, mengalami sawan, dan mulut berbuih. Anak sulungnya pula dalam keadaan keletihan yang amat sangat kerana kepanasan dan dehidrasi.
Maya sempat memberikan bantuan pernafasan dan menghubungi talian kecemasan. Namun, segalanya sudah terlambat. Amillio disahkan meninggal dunia dengan suhu badan mencecah 42.8°C. Abangnya bernasib baik—masih stabil dan kini dalam jagaan perlindungan kanak-kanak.
Ibu muda ini kini berdepan dengan tuduhan jenayah termasuk pembunuhan tanpa niat (manslaughter) dan kekejaman terhadap kanak-kanak. Maya telah dibicarakan dan mengaku tidak bersalah.
Kes ini telah menjadi bualan ramai, bukan sahaja di California, malah di seluruh dunia. Nenek kepada kanak-kanak itu, Katie Martinez, berkata:
“They couldn’t even save themselves. They were strapped in their car seats. She shuts the doors and walked away.”
Kenyataan itu benar-benar menyayat hati dan menjadi peringatan buat semua ibu bapa.
Kisah ini menjadi satu peringatan yang tidak boleh dipandang ringan. Jangan sesekali meninggalkan anak-anak dalam kereta walau sekejap, sama ada untuk urusan ringkas mahupun kecemasan. Suhu di dalam kenderaan boleh meningkat dengan pantas dan meragut nyawa dalam sekelip mata.
Malang tidak berbau. Semoga tragedi ini membuka mata dan hati kita semua agar lebih peka dan bertanggungjawab terhadap keselamatan anak-anak tersayang.