Kanak-Kanak 4 Tahun Maut Tercekik Buah Mangga Ketika Makan Bersama Bapa

Share

Seorang kanak-kanak perempuan berusia 4 tahun maut dipercayai tercekik buah mangga ketika makan bersama bapa di rumahnya di bandar Paka, Dungun petang Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.50 petang, Nur Amanda Ahmad Helmi disahkan meninggal dunia ketika diberi rawatan kecemasan di Klinik Kesihatan Paka, kira-kira jam 5.20 petang.

Mangsa mengalami sesak nafas ketika disuapkan buah mangga oleh bapanya, kira-kira jam 3.50 petang.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung dengan kejadian itu.

Katanya, sebelum kejadian, kanak-kanak terbabit dikatakan disuapkan potongan buah terbabit oleh bapanya, kira-kira jam 3.50 petang.

“Mangsa dikatakan tiba-tiba mengalami sesak nafas dan keadaan itu menyebabkan bapa mangsa yang berusia 32 tahun itu bertindak mengejarkan mangsa ke Klinik Kesihatan Paka.

“Bagaimanapun, ketika diberi rawatan kecemasan di Klinik terbabit mangsa gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia, “katanya.

Baharudin berkata, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut.

“Siasatan polis mendapati tiada sebarang kesan kecederaan pada tubuh badan mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Sumber: Berita Harian

IKLAN