
Kegembiraan sebuah keluarga yang meluangkan masa di taman tema air bertukar tragedi apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dilaporkan meninggal dunia selepas terlibat dalam satu kejadian pada Ahad lalu.
Mangsa ditemui dalam keadaan lemah dan tidak sedarkan diri dipercayai selepas terjatuh ketika berada di kawasan taman tema air berkenaan. Kanak-kanak itu kemudiannya dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan kecemasan.
Bagaimanapun, usaha pihak perubatan untuk menyelamatkan nyawanya tidak berjaya apabila mangsa disahkan meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihak polis menerima laporan mengenai kejadian tersebut pada 14 Jun.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai keluar dari kawasan kolam sebelum berlaku insiden yang menyebabkan kanak-kanak itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Mangsa telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau turut memaklumkan bahawa setakat ini tiada sebarang unsur jenayah dikesan berkaitan kejadian tersebut. Namun, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden berkenaan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Muhamad Zul Irfan Omar di talian 017-5393648 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
Dalam masa sama, Mohd Hafiz menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih sehingga siasatan selesai dijalankan.