
Sebuah insiden menyayat hati berlaku di kawasan medan selera Projek Perumahan Rakyat (PPR) di ibu kota apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun cedera dibelasah oleh beberapa individu selepas dituduh mencuri sebuah power bank.
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, kejadian dipercayai berpunca daripada dakwaan kononnya mangsa telah mencuri power bank milik rakan kepada salah seorang suspek.
“Mangsa mengalami luka kecil di bahagian dahi dan mulut sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur.
Semakan lanjut mendapati kejadian tersebut mempunyai kaitan dengan laporan polis Setapak 17850/25 dan disiasat di bawah Seksyen 323 serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Insiden itu mendapat perhatian ramai selepas seorang individu, Faizal Rusli, berkongsi kejadian berkenaan di laman Facebook. Dalam hantaran tersebut, beliau memaklumkan laporan polis telah dibuat berhubung tindakan kekerasan terhadap kanak-kanak terbabit.
“Kenapalah buat sampai macam tu, budak 12 tahun kena pukul sampai macam tu sekali.
Laporan polis telah dibuat, tapi diaorang (pelaku) dah lari. Minta tolong info kalau jumpa tiga orang pelaku ni. Bawa ke balai atau hubungi saya,” tulisnya sambil berkongsi wajah tiga individu yang dikaitkan dengan insiden itu.
Faizal turut menzahirkan penghargaan kepada seorang abang penghantar Grab yang dikatakan membantu mangsa ketika kejadian.
“Terima kasih abang Grab yang tolong malam tu, tapi dia pula dimaki dan dihalau. Kalau tak ada abang tu, tak tahulah apa jadi pada budak ni,” tambahnya.
Video kejadian yang tular memperlihatkan wajah kanak-kanak tersebut yang berdarah dan kelihatan trauma, mencetuskan kemarahan warganet. Walaupun ada yang mendakwa mangsa pernah terlibat dalam kejadian mencuri di kawasan sekitar, rata-rata netizen menegaskan memukul kanak-kanak bukan jalan penyelesaian.
Susulan kejadian itu, pihak polis menahan tiga lelaki tempatan berusia antara 49 hingga 61 tahun di lokasi berasingan di Kelantan dan Kuala Lumpur bagi membantu siasatan.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan pihak kami akan melengkapkan kertas siasatan untuk tindakan lanjut,” ujar Datuk Fadil.
Dalam situasi macam ni, kesabaran dan cara kita mengendalikan emosi sangat penting.
Kalau ternampak budak buat salah jangan terus hukum, apatah lagi dengan kekerasan. Laporkan pada pihak berkuasa atau serahkan pada penjaga.Kadang-kadang, anak yang berkelakuan begitu bukan nakal semata-mata, tapi mungkin datang daripada latar belakang keluarga yang susah, kurang perhatian atau trauma yang kita sendiri tak tahu.
Didik, bukan balun. Tegur, bukan belasah. Sebab satu tindakan kita, boleh ubah hidup budak tu sama ada ke arah lebih baik, atau lebih hancur.
Sumber: Sinar Harian & Faizal Rusli