Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang dikhuatiri hilang selepas bermain di tali air bersama dua rakannya yang juga pasangan kembar di Kampung Gelam, Tanjung Kling Melaka, petang Selasa, ditemui lemas.
Mayat mangsa, Badrol Azhan Nizam Bachik, ditemui kira-kira jam 9.35 pagi tadi oleh Pasukan Multi-Skill Team (MUST) dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan.
Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Bomba Zulkhairani Ramli berkata, mayat kanak-kanak itu berjaya dijumpai tidak jauh dari lokasi rakannya ditemui lemas, petang semalam.
Ads
“Pada operasi SAR semalam, pasukan bomba memulakan pencarian di sekitar kawasan tali air sehingga jam 10 malam dan meneruskan pencarian di darat sehingga jam 7 pagi tadi.
“Sejak awal pagi tadi pula pencarian di dua-dua kawasan darat dan air diteruskan seperti biasa sebelum pasukan MUST bomba menemui mayat mangsa di lokasi berdekatan mangsa pertama,” katanya di sini hari ini.
Dalam kejadian petang semalam, keseronokan tiga kanak-kanak bermain di tali air bertukar tragedi apabila salah seorang mangsa disahkan lemas manakala pasangan kembarnya sempat menyelamatkan diri dan seorang lagi rakan mereka pula gagal dikesan.
Ads
Operasi kemudian digiatkan di kawasan tali air tersebut serta pencarian di darat dalam radius kira-kira 2 kilometer dari lokasi kejadian sebelum seorang lagi mangsa ditemui pagi ini.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
COVID-19 menyebabkan pergerakan setiap individu terbatas, adakah ini merupakan waktunya untuk meluangkan masa bersama anak? Apa kebaikan meluangkan masa berkualiti dengan keluarga yang mungkin anda terlepas pandang?
Perintah kawalan pergerakan
Akibat penularan wabak jangkitan COVID-19 yang semakin meningkat, Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan perintah kawalan pergerakan untuk tempoh 2 minggu.
Perintah tersebut yang turut dikenali sebagai lockdown ini bermakna, setiap individu tanpa mengira usia harus mengehadkan batasan pergerakan. Langkah yang terbaik adalah untuk berada di rumah sepanjang tempoh bermula 18 hingga 31 Mac 2020.
Bagi mereka yang mempunyai anak, pastinya keadaan tersebut boleh mendatangkan kerungsingan. Bukan apa, mestilah anda terfikir bagaimana untuk memastikan anak-anak tidak bosan ‘terkurung’ di dalam rumah, bukan?
Namun, jika difikirkan balik, tempoh PKP adalah masa terbaik untuk anda meluangkan masa bersama anak dan dengan keluarga, terutama jika sebelum ini anda terlalu sibuk dengan tugasan kerja harian.
Masa berkualiti dengan keluarga
Tidak dinafikan sebagai ibu bapa moden, pelbagai tanggungjawab harus dipikul, anda adalah pekerja dan anda juga memegang peranan sebagai ibu bapa.
Sepanjang minggu masa anda lebih banyak dihabiskan untuk menghadap kerja berbanding menatap wajah kesayangan anda; anak-anak dan keluarga.
Maka, tempoh 2 minggu inilah waktu terbaik untuk meluangkan masa dengan anak, kan? Mungkin ada di antara anda bersikap skeptikal; “Alaaa…anak-anak okay saja tanpa parents”.
Ya, betul apa yang anda katakan itu. Tetapi tidakkah anda mahu meluangkan masa dengan keluarga anda?
Pernah meluangkan masa bersama anak?
Pastinya ada yang mengatakan, sudah selalu bersama anak sewaktu mereka kecil. Hmmm…bila ya? Ketika menghantar dan mengambil mereka pergi dan pulang dari sekolah? Menonton televisyen bersama?
Dalam masa yang sama anda masih memegang gajet dan menghadap laptop? Adakah itu dipanggil masa dengan keluarga yang berkualiti? Sejujurnya TIDAK!
Masa bersama yang berkualiti adalah apabila anak-anak dapat berasakan anda sebagai ibu bapa mengambil berat tentang mereka. Malahan meluangkan masa bersama anak terbukti mendatangkan kebaikan kepada tumbesaran mereka.
Kebaikan meluangkan masa bersama anak
Kajian menunjukkan keluarga yang meluangkan masa berkualiti bersama, akan mengurangkan risiko untuk anak-anak terdedah dengan aktiviti berbahaya.
Lebih baik lagi, kanak-kanak yang bermain bersama keluarga cenderung untuk mendapat keputusan dalam akademik yang lebih baik. Itu berita baik, bukan?
Jom kita lihat apa lagi kebaikan yang diperolehi apabila meluangkan waktu dengan anak-anak:
Kurang masalah tingkah laku
Anak-anak yang meluangkan masa berkualiti bersama ibu bapa mereka dikatakan akan kurang cenderung untuk berdepan masalah berkaitan tingkah laku, sama ada dalam keluarga mahupun ketika di sekolah.
Apabila anak-anak dapat berasakan bahawa mereka disayangi dan dihormati oleh ahli keluarga yang lain, sebarang perselisihan faham dapat dielakkan.
Anak yang gembira, disayangi dan mempunyai sikap yang baik akan kurang berdepan masalah untuk mendengar arahan di sekolah.
Secara statistik, mereka ini juga akan kurang terlibat dengan masalah negatif seperti penyalahgunaan dadah apabila mereka meluangkan masa berkualiti dengan keluarga.
Kesihatan mental dan emosi
Wajar seorang kanak-kanak berasa disayangi dan dikasihi. Ibu bapa perlu untuk hadir dalam setiap detik kehidupan anak-anak mereka dan sudah pasti cara terbaik adalah dengan meluangkan masa bersama.
Hadir hanya pada waktu mustahak atau krisis adalah tidak mencukupi. Ini kerana anak-anak perlu mendapatkan kasih sayang dan perhatian yang sewajarnya untuk manfaat daripada aspek mental dan emosi.
Mereka akan belajar untuk berinteraksi dengan individu lain berdasarkan apa yang dilihat dan dipraktikkan di rumah.
Maka penting untuk bukan sekadar menyatakan anda menyayangi mereka, sebaliknya anda perlu menunjukkannya melalui perbuatan juga.
Kesihatan fizikal
1 kajian yang diterbitkan dalam jurnal Pediatrics menyimpulkan bahawa masa berkualiti yang kurang dalam hubungan antara ibu dan anak pada awal-awal tahun kehidupan mereka mengakibatkan anak berdepan 2.45 kali risiko obesiti.
Masa makan bersama keluarga juga akan dapat membantu dalam aspek penjagaan kesihatan anak. Ia dapat membantu mengurangkan tabiat pengambilan snek ringan yang tidak sihat oleh anak ketika berada di rumah.
Jadi individu lebih baik
Apabila anda meluangkan masa bersama anak, ia membantu mereka untuk menjadi individu yang lebih baik. Malahan apabila anak meluangkan masa bermain dengan adik-beradiknya ia akan menimbulkan kecenderungan untuk melakukan perbuatan baik.
Kenangan bersama
“Masa yang berlalu tidak mungkin akan kembali.” Anda mungkin tidak mengendahkan tentang ini, sekarang. Namun apabila anak semakin dewasa, anda pasti akan mula merindukan saat-saat mereka kecil.
Anak-anak tidak memerlukan hadiah mahal. Namun saat anda meluangkan masa dengan mereka, adalah 1 hadiah yang tidak ternilai.
Bukan barangan yang diinginkan anak anda, tetapi mereka hanya mahukan anda untuk bersama mereka. Jadi gunakanlah masa 2 minggu ini, sebaik-baiknya, okay?
Bagi ibu bapa yang masih perlu bekerja sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan ini, jangan pernah menganggap kehadiran anak sebagai gangguan. Sebaliknya, ambillah peluang ini untuk meluangkan masa bersama anak.
Berikan anak peluang untuk berasakan keberadaan anda bersama mereka. Jangan terlalu sibuk dengan kerja sehingga mengabaikan anak-anak, okay?
Sepanjang tempoh PKP ini rakyat memang dinasihatkan patuh arahan untuk duduk di rumah. Namun jika semua ahli keluarga berkumpul, mungkin jumlah penggunaan elektrik akan turut meningkat.
Maklumlah kipas atau televisyen mungkin akan dibuka sepanjang masa. Tak termasuk lagi tambahan alat elektrik yang lain seperti aircond, penggunaan mesin basuh atau gajet yang digunakan lebih dari kebiasaannya.
Mungkin ramai ibu bapa dah mula membayangkan bil yang akan diterima nanti macam mana kan? Memahami keadaan tersebut, baru-baru ini Perdana Menteri telah mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat yang mana pengguna kediaman atau domestik juga akan diberikan diskaun untuk pembayaran bil elektrik bermula 1 April sehingga 30 September depan.
Bagaimanapun masih ada yang belum memahami kaedah diskaun bil elektrik di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat ini.
Pengguna domestik di Semenanjung Malaysia layak menerima diskaun ini secara automatik seperti jadual di bawah:
Pengguna domestik tidak perlu mengambil apa-apa tindakan. Diskaun diberikan secara automatik kepada semua pengguna domestik yang berdaftar dengan TNB atau mana-mana pembekal elektrik berdasarkan jumlah penggunaan elektrik untuk tempoh penggunaan mulai 1 April hingga 30 September 2020.
Perlu faham kelayakan diskaun adalah berdasarkan jumlah penggunaan elektrik bulanan. Contoh, sekiranya penggunaan elektrik bulanan adalah 300kWh maka pengguna akan mendapat diskaun sebanyak 25% ke atas bil mereka.
Kita rasa diri kita dah susah, tetapi masih ada lagi yang lebih susah. Tambah lagi dengan keadaan sekarang yang semuanya memerlukan duit untuk meneruskan kehidupan. Demi sesuap nasi, apa saja kerja yang boleh dilakukan, mesti akan fikirkan anak dulu.
Sama jugalah dengan situasi seorang ibu ini yang dikongsikan oleh seorang pengguna TikTok apabila berkongsi video rider Foodpanda wanita yang bekerja sambil membawa anaknya.
Dalam video tersebut, memaparkan seorang ibu yang sedang mengendong anaknya dibahagian depan sambil menunggang motosikal. Melihat situasi tersebut pengguna TikTok dikenali sebagai @mamayayahumarsoleh berasa begitu sebak dan berharap dapat membantu wanita itu bagi meringankan beban yang sedang digalas.
Selepas video tersebut tular, terdapat salah seorang rider Foodpanda memberitahu dia mengenali wanita itu dan mengesahkan yang anak kecil itu selalu dibawa ketika ibunya bekerja.
Lebih menyedihkan, pengguna TikTok berkenaan memaklumkan yang anak wanita itu tidak berapa sihat kerana mengalami kecacatan pada kedua-dua belah matanya.
Disebabkan itu, ramai yang bertanya tentang lokasi wanita itu bekerja kerana ingin memberikan bantuan agar dapat membantu meringankan bebannya.
Difahamkan kakak rider FoodPanda ini sering kelihatan berada di sekitar Petronas Jalan Bangsar, Kuala Lumpur.
Moga dipermudahkan urusan
Sehubungan dengan perkongsian tersebut, rata-rata berasa simpati dan sebak melihat video tersebut. Mereka juga berharap agar si ibu itu diberi kekuatan, kesabaran dan terus dimurahkan rezeki walaupun berada dalam keadaan yang agak sulit.
Semoga terus sentiasa diberi kesihatan yang baik agar boleh terus mencari rezeki buat diri dan anak tersayang.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!