
Seorang kanak-kanak lelaki maut selepas kereta yang dinaikinya bersama dua dewasa lain dipercayai ibu dan ayah terlibat dalam satu kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Lebuhraya Segamat-Kuantan dekat Muadzam Shah awal pagi tadi.
Insiden tragis di Lebuhraya Segamat-Kuantan yang berlaku sekitar jam 1.12 pagi itu melibatkan sebuah Proton Saga, Perodua Alza dan Perodua Axia.
Mangsa kanak-kanak yang menaiki Proton Saga disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas dipercayai tersepit dalam kenderaan berkenaan.
Menurut Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum enam anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muadzam Shah dikejarkan ke lokasi kejadian.
Katanya, operasi menyelamat turut mendapat bantuan daripada lima anggota dan sebuah jentera dari BBP Chini.
“Seramai 12 mangsa terlibat dalam nahas ini yang membabitkan tiga kenderaan iaitu Proton Saga, Perodua Alza dan Perodua Axia.
“Dalam Proton Saga, dua lelaki dewasa mengalami kecederaan selepas tersepit, manakala seorang kanak-kanak lelaki cedera dan seorang lagi disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, pihak bomba menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan.
Semua mangsa yang cedera kemudiannya dihantar ke hospital berhampiran untuk menerima rawatan lanjut.
Sementara itu, mayat mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Kemalangan di Lebuhraya Segamat-Kuantan itu sekali lagi mengingatkan pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati terutama ketika memandu pada waktu awal pagi yang berisiko tinggi berlaku kemalangan akibat keletihan dan keadaan jalan yang gelap.
Baca lagi: Budak 10 Tahun Patah Rahang, Abang Tingkatan 5 Marah Basikal Terkena Kaki
Kamal Adli Prihatin Hulur RM100, Tersentuh Hati Tengok Anak Kira Duit Syiling/
Sumber: Sinar Harian