Kanak-Kanak Lemas Di Kolam Inap Desa: Ibu Bapa Diingatkan Jangan Leka Pantau Anak

Share

Kegembiraan hari keluarga bertukar tragedi apabila seorang kanak-kanak lemas di kolam renang sebuah inap desa di Durian Tunggal, Melaka, malam kelmarin. Kejadian menyayat hati itu sekali lagi menjadi peringatan kepada semua ibu bapa agar tidak leka memantau anak kecil, terutama di kawasan yang mempunyai kolam renang.

Menurut laporan Harian Metro, difahamkan, mangsa bersama ibu bapa serta tujuh keluarga lain dari Temerloh, Pahang, menginap di inap desa berkenaan bagi meraikan sambutan hari keluarga. Inap desa tersebut dilengkapi kemudahan kolam renang yang menjadi tumpuan anak-anak untuk bermain air.

Gambar Hiasan AI

Menurut sumber, selepas acara penyampaian hadiah sukaneka kira-kira jam 10 malam, semua ahli keluarga berada di dalam rumah, manakala bapa mangsa sedang menyediakan hidangan barbeku di bahagian belakang rumah. Namun sekitar jam 10.50 malam, suasana ceria bertukar cemas apabila abang ipar kepada bapa mangsa terlihat tubuh kecil kanak-kanak itu terapung di dalam kolam.

Tanpa berlengah, beliau terus terjun ke dalam kolam untuk menyelamatkan mangsa dan memberikan bantuan pernafasan (CPR) sementara menunggu ambulans tiba. Namun, selepas hampir 40 minit diberi bantuan kecemasan oleh pasukan paramedik, kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia di Jabatan Kecemasan Hospital Melaka pada jam 11.45 malam.

Gambar Hiasan

Jenazah Dibawa Pulang Ke Sungai Besar

Jenazah mangsa kemudian dituntut oleh sukarelawan Team UKVJ Melaka sebelum dibawa ke kediaman keluarganya di Kampung Sungai Nipah, Sungai Besar, Selangor untuk urusan pengebumian. Suasana pilu menyelubungi keluarga yang masih terkejut dengan kehilangan anak kecil mereka.

Siasatan Polis: Unsur Pengabaian Dikenal Pasti

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Azrul Mohamed mengesahkan siasatan sedang dijalankan oleh Bahagian D11 (Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.

“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah disebabkan mati lemas. Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana melibatkan unsur pengabaian yang menyebabkan kematian,” katanya.

Pengajaran Untuk Ibu Bapa: Jangan Leka Pantau Anak

Tragedi kanak-kanak lemas ini menjadi pengajaran besar kepada semua ibu bapa agar tidak memandang ringan aspek keselamatan anak-anak ketika bercuti. Walaupun berada dalam suasana keluarga yang ramai, setiap anak kecil tetap memerlukan pengawasan rapi kerana tragedi boleh berlaku dalam sekelip mata.

Antara langkah keselamatan yang boleh diamalkan:

  • Pastikan pintu pagar kolam renang dikunci selepas digunakan.
  • Elak biarkan anak kecil bermain air tanpa pengawasan orang dewasa.
  • Ajarkan anak asas keselamatan air seawal usia prasekolah.
  • Pastikan kolam dilengkapi pelampung keselamatan dan papan tanda amaran.

Pesanan Pa&Ma: Anak Kita, Tanggungjawab Kita

💔 Pesanan Pa&Ma: Nikmati masa bersama keluarga dengan penuh kasih sayang, tetapi jangan sesekali leka terhadap keselamatan si kecil. Pastikan pintu pagar kolam dikunci, anak tidak dibiarkan bermain tanpa pengawasan dan sentiasa peka terhadap sebarang risiko di kawasan air. Anak kita, tanggungjawab kita.

BACA LAGI : Elak Tragedi Lemas, Pakar Saran Pilih Baju Renang Warna Neon

Published by
Nana