Kanak-Kanak Maut Tercekik Boba: Pengajaran Besar Buat Semua Ibu Bapa

Share

Tragedi yang menimpa seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun di China baru-baru ini benar-benar menyentuh hati ramai ibu bapa. Si kecil itu dilaporkan maut selepas tercekik boba di dalam minuman teh susu yang dibelikan ibunya ketika beriadah di sebuah pusat beli-belah.

Kejadian ini bukan sahaja meruntun emosi, malah menimbulkan persoalan tentang sejauh mana ibu bapa memahami risiko di sebalik trend makanan dan minuman popular yang sebenarnya tidak sesuai untuk kanak-kanak kecil.

Kanak-Kanak Tercekik Selepas Minum Teh Susu Boba

Memetik laporan South China Morning Post, insiden berlaku di wilayah Zhejiang pada 19 Oktober lalu. Kanak-kanak berkenaan dilihat dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sedang menikmati minuman teh susu sebelum bermain di atas trampolin di kawasan permainan pusat beli-belah tersebut.

GAMBAR hiasan. WEIBO

Namun, hanya seminit kemudian, anak kecil itu tiba-tiba rebah dan pengsan. Ibu mangsa panik dan cuba membantu tetapi gagal menyedarkan anaknya. Mereka segera bergegas ke hospital, namun usaha menyelamat tidak berjaya dan kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia akibat saluran pernafasan tersumbat oleh bebola boba bersaiz besar.

Bebola tapioka berkenaan dianggarkan berdiameter kira-kira 10 milimeter (mm) terlalu besar untuk saluran pernafasan kanak-kanak. Teksturnya yang kenyal menjadikannya sukar untuk dikeluarkan walaupun mangsa cuba diberi bantuan kecemasan.

Bapa Mangsa Tuntut Kedai Teh Susu Bertanggungjawab

Bapa mangsa, Li, menyiarkan rakaman CCTV kejadian itu dalam talian bagi menuntut pihak kedai teh susu dan pengurusan pusat beli-belah bertanggungjawab atas kematian anaknya.

Katanya, tiada tanda amaran keselamatan yang memaklumkan bahawa minuman boba tidak sesuai untuk kanak-kanak kecil, selain mendakwa kakitangan kedai gagal menawarkan bantuan kecemasan ketika kejadian.

“Saya hanya mahu keadilan untuk anak saya. Kalau ada amaran jelas, tentu kami takkan beli minuman itu untuk anak berusia tiga tahun,” katanya.

Netizen Berdebat Tentang Tanggungjawab Ibu Bapa

Kisah ini menjadi tular dan mencetuskan perdebatan hangat di media sosial. Ramai warganet berpendapat, tanggungjawab utama masih terletak pada ibu bapa untuk memastikan keselamatan anak-anak, terutama dalam memilih makanan atau minuman yang sesuai dengan usia mereka.

“Sudah menjadi pengetahuan umum bahawa kanak-kanak tidak boleh makan bebola ubi kayu, jeli atau pulut. Mereka juga tidak patut makan sambil bermain,” komen seorang pengguna.

Pakar Kesihatan Beri Amaran Tentang Risiko Boba

Pakar Pediatrik, Dr. Nur Amirah Rahman menjelaskan bahawa tekstur bebola tapioka yang kenyal boleh menyebabkan risiko tercekik, terutama bagi kanak-kanak bawah tujuh tahun yang belum mempunyai kawalan refleks menelan yang sempurna.

“Kanak-kanak pada usia ini belum mampu mengunyah sepenuhnya. Jika mereka menelan bebola seperti boba atau jeli, ia boleh terus tersangkut di kerongkong dan menghalang saluran pernafasan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan agar ibu bapa tidak memberi makanan berisiko seperti boba, jeli keras, gula-gula getah atau pulut kepada anak kecil.

“Selain risiko tercekik, kandungan gula yang tinggi dalam minuman boba juga boleh menyebabkan obesiti dan kerosakan gigi,” tambahnya lagi.

Pengajaran Besar Buat Semua Ibu Bapa

Tragedi ini menjadi peringatan besar buat semua ibu bapa agar lebih berhati-hati dengan trend makanan yang viral di media sosial. Apa yang kelihatan menyeronokkan dan ‘comel’ di mata orang dewasa, mungkin berbahaya untuk anak kecil yang belum matang dari segi kawalan menelan dan pernafasan.

Pesanan Pa&Ma: Sebelum berikan anak mencuba makanan baru, pastikan ia sesuai dengan usia mereka. Elakkan memberi makanan berisiko tinggi seperti boba, jeli atau gula-gula keras kepada anak bawah tujuh tahun. Ingat, keselamatan anak lebih penting daripada ikut trend semasa.

Sumber : Harian Metro

Published by
Nana