Kanser Bukan Penghalang Mendapat Cahaya Mata, Penantian 11 Tahun Berakhir

Share

Perjalanan menjadi seorang ibu tidak sentiasa bermula dengan berita gembira. Bagi Juliana Razid, ia bermula dengan ujian besar apabila disahkan menghidap mucinous carcinoma, sejenis kanser payudara yang jarang berlaku, ketika usianya baru 34 tahun.

Sekalipun disahkan menghidap kanser, Juliana tidak berputus asa untuk membina keluarga dan memiliki zuriat. Sebaliknya, beliau meneruskan perjalanan rawatan yang panjang sebelum akhirnya dikurniakan seorang anak perempuan selepas hampir 11 tahun menanti.

Juliana menerima diagnosis tersebut sebagai satu ujian daripada Allah dan bertindak pantas menjalani pembedahan di Institut Kanser Negara pada Januari 2017. Walaupun doktor memaklumkan kemoterapi tidak wajib dilakukan, beliau memilih untuk meneruskannya sebagai langkah berjaga-jaga demi kesihatan jangka panjang.

“Bila orang tanya kenapa saya kena, saya terima ini sebagai ujian yang Allah bagi,” katanya.

Selepas menamatkan rawatan, Juliana dan suaminya, Fariq Azwar Salehuddin, terus menyimpan harapan untuk memiliki zuriat walaupun melalui perkahwinan jarak jauh. Pemeriksaan susulan menunjukkan keadaan kesihatannya mengizinkan untuk meneruskan rawatan kesuburan, walaupun berdepan risiko yang tidak dapat dijangka.

Pasangan ini menjalani beberapa kitaran rawatan IUI sebelum meneruskan rawatan IVF di Hospital Canselor Tuanku Muhriz bermula 2020. Percubaan demi percubaan dilalui, termasuk kehamilan awal yang tidak berkembang serta beberapa kitaran rawatan yang gagal.

“Setiap kali rawatan gagal, memang timbul persoalan dalam diri, apa lagi yang tak cukup,” katanya.

Selepas tujuh kitaran IVF, Juliana akhirnya disahkan hamil pada Disember 2024. Penantian hampir 11 tahun itu berakhir dengan kelahiran seorang anak perempuan, Emma Emily Fariq Azwar, pada 24 Julai 2025 melalui pembedahan elektif.

“Tidak pernah sekalipun kami berputus asa. Kami akan terus berjuang,” katanya.

Sepanjang kehamilan, Juliana memilih untuk merahsiakan berita tersebut dan mematuhi sepenuhnya pelan rawatan yang ditetapkan. Bagi Juliana, segala usaha dan rawatan hanyalah ikhtiar manusia, manakala keputusan akhir tetap di tangan Tuhan.

Kepada pasangan yang masih berjuang mendapatkan zuriat, beliau menekankan kepentingan pemeriksaan awal serta mendapatkan rawatan daripada doktor yang bertauliah tanpa rasa malu.

Kisah ini menjadi peringatan buat ibu bapa bahawa perjalanan menjadi seorang ibu atau ayah bukan tentang cepat atau lambat, tetapi tentang sabar, doa dan tidak pernah berhenti berharap.

Sumber: Bernama

Published by
Nor Yusoff