
Kantin sekolah jual mi segera pada hari pertama persekolahan mencetuskan rasa kecewa seorang ibu apabila mendapati anaknya terdedah kepada makanan segera seawal memasuki alam sekolah rendah. Situasi ini sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap aspek pemakanan kanak-kanak yang sepatutnya lebih terjaga pada peringkat awal tumbesaran.
Menerusi perkongsian di media sosial, ibu berkenaan mengakui dia tidak melarang sepenuhnya anak mengambil mi segera di rumah dan hanya membenarkannya sekali-sekala. Namun, keadaan menjadi lebih merisaukan apabila makanan itu turut dijual di kantin sekolah, menjadikan kawalan pemakanan anak semakin mencabar buat ibu bapa.
Menurut ibu tersebut, penjualan mi segera di kantin sekolah meletakkan ibu bapa dalam keadaan serba salah. Wang saku perlu diberikan kepada anak untuk keperluan penting seperti membeli alat tulis atau makanan ringan, namun pada masa sama wang tersebut boleh digunakan anak untuk membeli makanan kurang sihat.
“Tak bagi anak makan mi segera dekat rumah, tapi dekat kantin sekolah pula jual. Ini kalau bawa bekal pun belum tentu dia tak beli. Kalau tak bagi duit, susah pula nak beli barang penting atau kuih,” luah si ibu dalam perkongsiannya.
Lebih mengejutkan, ibu itu turut berkongsi pengalaman hari pertama persekolahan anaknya yang baru memasuki Darjah 1 apabila anak pulang ke rumah dan memberitahu sudah makan mi segera di sekolah, sekali gus menguatkan lagi kebimbangannya.
Perkongsian mengenai kantin sekolah jual mi segera itu nyata mengundang reaksi ramai warganet, khususnya dalam kalangan ibu bapa yang pernah melalui situasi sama. Ada yang berkongsi pengalaman anak mereka yang mula terdedah kepada mi segera sejak awal alam persekolahan.
“Hari pertama sekolah, bila balik saya tanya makan apa. Dia jawab makan mi segera letak telur. Sama macam kakak dia dulu Darjah 1. Hari-hari makan mi segera dekat sekolah. Akhirnya dekat rumah memang tak bagi makan sebab dekat sekolah dah makan hari-hari,” kongsi seorang ibu.
Rata-rata ibu bapa mengakui walaupun mereka berusaha menyediakan bekal dari rumah, kawalan sepenuhnya sukar dilakukan apabila anak mempunyai pilihan lain di sekolah.
View on Threads
Ramai berpandangan isu kantin sekolah jual mi segera tidak seharusnya dipandang ringan. Mi segera sering dikaitkan dengan kandungan garam yang tinggi serta nilai nutrisi yang rendah, terutamanya untuk kanak-kanak yang sedang membesar.
Pemakanan di sekolah memainkan peranan penting dalam membentuk tabiat makan anak-anak. Apa yang mereka pilih dan biasakan sejak kecil berpotensi memberi kesan jangka panjang terhadap kesihatan, tahap tenaga, serta gaya hidup mereka apabila dewasa kelak.
Dalam masa sama, terdapat juga pandangan lebih seimbang daripada segelintir pengguna media sosial yang memahami kekangan dihadapi pengusaha kantin. Faktor kemudahan penyediaan, kos bahan mentah serta permintaan tinggi dalam kalangan murid antara sebab utama makanan segera menjadi pilihan.
Namun begitu, ramai ibu bapa berharap agar pihak sekolah dan pengusaha kantin dapat mencari jalan tengah dengan menyediakan lebih banyak pilihan makanan sihat yang ringkas dan berpatutan, tanpa menjejaskan kesihatan murid.
Isu kantin sekolah jual mi segera bukanlah perkara baharu, namun ia terus mencetuskan perbincangan setiap kali dibangkitkan. Situasi ini jelas menggambarkan keprihatinan ibu bapa terhadap pemakanan anak-anak, selain menuntut kerjasama semua pihak dalam memastikan persekitaran sekolah menyokong pembesaran kanak-kanak yang lebih sihat dan seimbang.
BACA LAGI : Ibu Bapa Berlonggok Di Kantin Sekolah: Menyakitkan Hati Bila Anak Terpaksa Rehat Tepi Longkang
Sumber : Threads SN.Fatihah895