Kehidupan ini penuh dengan cabaran dan keputusan yang perlu dibuat, terutama dalam soal kewangan dan perancangan masa depan. En. Azrol menerusi FB berkongsi pengalaman peribadinya mengenai bagaimana beliau memilih untuk menyimpan, meskipun dikritik oleh rakan-rakan sekelilingnya.
Ini menunjukkan bahawa perjalanan hidup seseorang tidak selalu dipenuhi dengan pengiktirafan, tetapi dengan matlamat yang jelas dan usaha berterusan, kita dapat merubah nasib.
Ads
Ads
Ads
Aku beli Viva 1.0 manual ni tahun 2008 lepas dapat kenaikan gaji bila di ‘upgrade’ ke Kapten. Kaw² aku kena kutuk dengan pegawai senior dan ada juga rakan seangkatan yang sindir² aku.
“Orang naik kapten, angkat la Camry ke Accord ke atau paling koman ambil la Civic.. Ni ambik Viva.” Kau ni memang takda style la Rol.
“Duit banyak bukan boleh bawa mati bro. Kesian kat anak bini kau Rol. Hidup ni jangan kedekut.”
Macam² yang aku ‘kena’ bila fokus nak menyimpan dahulu. Apa je yang kita cuba buat, pasti akan ada orang yang tak suka.
Jom sertai Parenting Summit Online 2025 dengan barisan panel hebat seperti Dato’ Dr. Sheikh Muszaphar, Dr. Say Shazril, Dr. Malar, Ustazah Asma’ Harun & Awal Ashaari dan ramai lagi! Pendaftaran PERCUMA, untuk 500 ibu bapa pertama sahaja! Lebih seronok, ada peluang menang hadiah lucky draw bernilai sehingga RM3000! Daftar sekarang
Kalau boleh, ‘mereka²’ yang menyindir dan menghina tu nak kita ikut cam dia. Nikmati kenikmatan dunia dan enjoy life to the fullest masa muda.
Mazhab mereka kebanyakkannya menunggang agama. Habiskan apa yang ada sekarang dan kemudian serahkan semuanya pada Tuhan.
Kawan,
Kehidupan kita di masa depan adalah apa yang kita lakukan pada masa SEKARANG!
Setiap perkara yang kita buat dalam bahasa omputihnya “Delayed Gratification” mesti ada limitnya.
Contoh bab kereta. Sampai satu masa tukarlah ke kereta yang lebih luas dan selesa untuk keluarga.
Bagi anak isteri kita rasa selesa bila berjalan kemana-mana. Lagi pun duit yang kita cari tu untuk mereka juga.
Niat menyimpan untuk hari tua pun mesti kena ada hadnya. Berapa yang kita target nak ada sebulan bila dah bersara.
Kalau nak ada ‘income’ RM4500 sebulan tanpa usik pokoknya, maknanya kena ada RM 1 juta dalam simpanan kita. Lebih kurang camtu la…
Tanpa had limit, kita akan gila menyimpan harta dan tanpa sedar kita menjadi ‘Hamba Dunia’. Walaupun duit dah berjuta tapi masih tak cukup dan puas dengan harta yang ada.
Itulah yang terjadi pada ‘politician tua’ yang masih bernafsu nak pegang kuasa.
Apabila kecintaan terlalu menebal ke atas dunia, mereka tidak berani untuk melepaskan kuasa kepada pemimpin yang lebih muda.
Bagi orang marhaen macam kita, bila mula saja bekerja, set target bila kita nak bersara. Buat kira² berapa sebulan kita perlu simpan supaya kita dapat capai misi kita.
Selepas asingkan simpanan persaraan, kira berapa duit deposit yang kena ada untuk beli rumah idaman pula. Target paling lewat umur 35 mesti dah kena cukup duit depositnya.
Kalau umur 25 mula bekerja, kita cuma ada 10 tahun sahaja untuk capai cita-cita.
Andai kata rumah masa tu harganya RM500K, kena ada RM50K untuk bayar deposit sahaja… Belum masuk lagi kos upah ‘lawyer’.
Makna kata, setahun kena simpan RM5K atau RM416.67 sen sebulan tanpa gagal. Boleh ke?
Hidup ini kita kena usaha dan ‘merancang’ juga adalah sebahagian dari usaha untuk mengubah nasib kita.
Seperti mana ayat dalam Al-Quran Surah Ar-Ra’d ayat 11 yang berbunyi,
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka (hati).”
Selagi kita ada kudrat, basahi lah tubuh kita dengan peluh dan keringat.
Setiap usaha yang kita lakukan adalah pahala, bab rezeki biarlah Allah yang tentukan. Bila, di mana dia akan datang kita tidak perlu fikirkan.
Usahalah selagi boleh selagi ada daya, jangan di hitung rezeki orang dengan rezeki kita sebab rezeki datang dengan pelbagai cara.
Semoga semuanya baik² sahaja dari Allah. Bagi yang sedang diuji, tak mau sedih² jika kita rasa susah, teruskan berusaha dan yakinlah kejayaan sedang menunggu kita, Insyallah…
Update : Viva ni aku dah jual tahun 2018 dengan membeli Axia 1.0 manual yang aku pakai hingga sekarang.
MERZ
KEL: Setiap keputusan yang kita buat hari ini akan menentukan masa depan kita. Jangan biarkan pandangan orang lain menghalang perjalanan hidup kita. Teruskan berusaha dan merancang untuk hari-hari yang lebih baik. Seperti kata En. Azrol, “Usahalah selagi boleh selagi ada daya,” kerana rezeki Allah itu datang dalam pelbagai bentuk. Semoga berjaya!
FB : Mohd Ezairol Rezan Zainol
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sebelum hantar masuk asrama, ambil kira perasaan anak. Menghantar anak ke asrama adalah satu keputusan besar yang memberi kesan mendalam kepada kehidupan anak dan ibu bapa.
Walaupun asrama sering dikaitkan dengan peluang pendidikan yang lebih baik serta membentuk kemahiran berdikari, keputusan ini perlu dibuat dengan berhati-hati. Satu aspek yang sering terlepas pandang ialah perasaan anak terhadap perubahan ini. Sebagai ibu bapa, kita perlu ambil kira emosi dan kesiapsiagaan anak sebelum membuat keputusan yang besar ini.
Mengapa Perlu Ambil Kira Perasaan Anak?
Perkembangan Emosi yang Stabil
Anak-anak yang dihantar ke asrama berdepan dengan perubahan besar dari segi persekitaran, rutin, dan orang sekeliling. Jika mereka tidak bersedia, ini boleh mengganggu kestabilan emosi mereka. Kanak-kanak yang terlalu muda atau belum cukup matang mungkin berasa sunyi, takut, atau terasing. Kestabilan emosi penting dalam membentuk keyakinan diri, keupayaan untuk menghadapi cabaran, serta ketahanan mental dalam situasi yang berbeza.
Membentuk Rasa Percaya dan Sokongan
Perbincangan bersama anak tentang keputusan untuk ke asrama boleh mengeratkan hubungan ibu bapa-anak. Dengan melibatkan mereka dalam perbincangan, mereka akan rasa lebih dihargai dan dipercayai. Ini juga menunjukkan bahawa ibu bapa menghormati pendapat dan perasaan mereka. Rasa percaya dan sokongan ini akan memudahkan anak untuk menghadapi cabaran hidup di asrama dengan tenang.
Menggalakkan Kematangan dan Persediaan Mental
Anak yang diberikan ruang untuk menyuarakan pendapat mereka lebih bersedia dari segi mental. Mereka akan tahu apa yang diharapkan dan lebih bersedia menghadapi perubahan ini. Proses perbincangan ini memberi mereka peluang untuk memahami cabaran dan manfaat hidup di asrama, sekaligus menggalakkan mereka untuk melihat dari perspektif yang lebih matang.
Langkah-Langkah untuk Mendekati Anak Sebelum Keputusan Dibuat
Berbincang Secara Terbuka
Mulakan perbincangan dengan anak secara terbuka dan tanya perasaan mereka tentang kemungkinan tinggal di asrama. Elakkan nada memaksa dan beri peluang untuk mereka meluahkan pandangan serta kerisauan mereka. Jika mereka menolak, ambil masa untuk memahami sebab di sebalik penolakan tersebut.
Terangkan Kebaikan Dan Cabaran Asrama
Jelaskan kepada anak mengenai kebaikan asrama, seperti peluang belajar yang lebih baik, membina persahabatan baru, dan kemahiran hidup berdikari. Namun, jangan abaikan cabaran yang mungkin mereka hadapi. Dengan memberikan gambaran yang realistik, anak dapat membentuk harapan yang tepat dan bersedia secara mental untuk menghadapi perubahan tersebut.
Luangkan Masa Untuk Lawatan Asrama
Bawa anak untuk melawat asrama terlebih dahulu jika itu adalah pilihan yang boleh dibuat. Lawatan ini akan membantu mereka membayangkan kehidupan di sana dan mengurangkan rasa kekok atau takut. Melalui lawatan, mereka boleh melihat keadaan bilik, kelas, kantin, dan persekitaran asrama. Ini boleh menjadi satu pengalaman yang dapat membantu mereka membuat keputusan dengan lebih yakin.
Berikan Sokongan Emosi Berterusan
Sokongan tidak berhenti selepas anak ke asrama. Jadikan komunikasi sebagai keutamaan. Sediakan waktu tetap untuk berhubung dengan mereka melalui telefon, pesanan, atau lawatan jika dibenarkan. Tanya tentang pengalaman mereka, kawan-kawan baru, dan pembelajaran di sana. Ini akan membantu mereka menyesuaikan diri dengan lebih cepat dan mengurangkan kerinduan terhadap keluarga.
Beri Kebebasan untuk Menyuarakan Ketidakpuasan
Tidak semua anak akan beradaptasi dengan segera. Sesetengah mungkin berasa tidak selesa dan ingin pulang dalam masa yang singkat. Beri mereka ruang untuk menyuarakan perasaan ini tanpa rasa takut atau rasa bersalah. Jika keadaan tidak sesuai, pertimbangkan semula keputusan dengan hati terbuka. Ingat bahawa kesejahteraan emosi anak adalah lebih penting daripada keinginan ibu bapa.
Keputusan untuk menghantar anak ke asrama perlu dibuat dengan teliti dan bijak. Setiap anak adalah unik, dan tidak semua kanak-kanak bersedia untuk meninggalkan rumah dan hidup di asrama. Oleh itu, ambil kira perasaan anak serta kesiapsiagaan emosi mereka. Sebagai ibu bapa, sokongan kita adalah kunci kepada kejayaan mereka.
Bayi jadi peneman bapa daki gunung, “Hana langsung tak meragam, menangis…” Kisah dua beranak Hazwan Harawi mendaki bukit bersama bayinya mendapat perhatian warga maya.
Hazwan memuat naik video pendakiannya bersama anak angkatnya, Hana di TikTok. Hana mendapat pendedahan mendaki bukit kerana bapa angkatnya, Hazwan Harawi, 29, sering membawanya sebagai peneman untuk mendaki di bukit dan taman riadah sekitar Lembah Klang.
Hana sudah merasai pengalaman mendaki walaupun baru berumur sembilan bulan. Bercerita lanjut, Hazwan berkata, mendaki adalah minat dan salah satu hobinya sejak di kampus lagi.
MENURUT HAZWAN, ISTERINYA, FATIN SIHAN, 29, JUGA ADA MINAT YANG SAMA DAN MEREKA PERNAH PERGI MENDAKI BERSAMA, SALAH SATUNYA DI BUKIT BROGA, SELANGOR.
“Dulu kami pergi mendaki berdua saja tapi sejak hadirnya Hana, dia pun dibawa bersama.
“Cuma, kami ambil Hana sebagai anak angkat pada umurnya tiga bulan. Waktu umurnya empat bulan baru dedahkannya dengan aktiviti riadah.
“Awalnya bawa Hana pergi Taman Saujana Hijau di Putrajaya saja kemudian waktu umurnya lima bulan saya dan isteri bawa dia berkhemah di Kuala Kubu Bharu, Selangor dan pernah juga ke Taman Tugu, Kuala Lumpur ketika umurnya tujuh bulan selain berjalan di Pulau Pinang,” katanya.
Hazwan berkata, setakat ini, isterinya tiada halangan walaupun dia pernah pergi berdua saja dengan Hana.
Ia kerana dia dan isteri percaya aktiviti itu baik malah dapat mendedahkan anak kepada alam semula jadi dan bukan hanya membesar dengan gajet atau menonton televisyen semata-mata.
“Selalunya memang kami pergi bertiga tapi dua bulan lalu, isteri ditahan di Hospital Kajang dan saya kena uruskan anak waktu ketiadaannya.
“Jadi bila nampak saya boleh lakukan, isteri tak ada masalah untuk saya bawa Hana berdua tambahan dia kini pun baru hamil.
“CUMA, SAYA TETAP BUAT PERSEDIAAN RAPI SEBELUM BAWA HANA MENDAKI DI SESUATU TEMPAT DENGAN MENONTON VIDEO TERLEBIH DULU UNTUK TENGOK BAGAIMANA LALUAN TREK DAN PERIKSA SAMA ADA KAWASAN BERKENAAN MESRA BAYI SERTA ADA KEMUDAHAN TANDAS BERHAMPIRAN ATAU TIDAK,” KATANYA YANG BEKERJA DI SEBUAH SYARIKAT DALAM BAHAGIAN PEMASARAN DAN DIGITAL.
Hazwan juga membuat persediaan lain termasuk menyediakan alat pembawa kanak-kanak selain lampin, susu juga snek sebagai bekalan.
Katanya, persiapan lain adalah dengan melihat ramalan cuaca dan ke pusat gimnasium sekurang-kurangnya tiga kali dalam seminggu bagi memantapkan stamina.
“Setakat ini, Hana beri kerjasama baik malah tak meragam pun… paling terkejut waktu mendaki Bukit Sri Bintang kerana dia tak menangis langsung.
“Cuma waktu di Taman Tugu, Hana menangis dalam 100 meter sebelum sampai di atas tapi itu pun sebab dia nak minum susu.
“Cabarannya lebih kepada saya kerana umur Hana pun sudah sembilan bulan jadi agak berat juga nak pikulnya di belakang dan memang sakit bahu serta lenguh kaki setiap kali balik mendaki,” katanya.
Menyentuh mengenai perkongsiannya di TikTok, Hazwan berkata, dia baru memuat naik video aktiviti bersama Hana sejak Mei lalu dan tidak menyangka mendapat perhatian hingga ada yang mengenali serta mahu bergambar dengan anaknya ketika berjumpa di luar.
Menurutnya, niatnya adalah untuk menyimpan memori dengan Hana dan memberi inspirasi kepada bapa di luar sana untuk habiskan masa di luar sana.
“Secara tak langsung, saya nak buktikan juga orang lelaki pun boleh diharap untuk jaga anak cuma bila baca komen, baru saya sedar ramai rupanya ibu bapa di luar sana tak bawa anak beriadah.
“Ada yang tak pernah keluar rumah pun sejak ada anak kecil kerana paranoid. Segelintir netizen pula persoalkan kenapa bawa Hana mendaki kerana anggap ia bahaya untuk keselamatan selain risau jika anak terkena gangguan mistik.
“Saya faham kebimbangan mereka malah sebagai orang Islam memang kena percaya dengan benda ghaib cuma risiko atau bahaya ada di mana-mana jadi kita cuba ambil langkah keselamatan.
“Selebihnya doa minta perlindungan Allah SWT,” katanya yang menggalakkan ibu bapa lain membawa anak beriadah sebagai terapi emosi bagi menghilangkan tekanan menjaga si kecil.
Waktu isteri tengah susukan anak, jangan ingat dia cuma bagi ‘susu’. Yang dia beri tu termasuk tenaga, emosi, tidur, dan kadang-kadang air mata. Dan inilah waktu paling penting untuk suami buktikan cinta bukan sekadar kata-kata.
ini masa untuk kau jadi hero.
Puting luka, bengkak susu, anak menyusu tanpa henti sampai 2 jam semua tu real.Bila isteri kau tahan sakit tapi tetap susukan anak, itu bukan drama. Itu perjuangan. Jadi first step untuk support: Faham. Baca. Tahu apa dia lalui.
Tengah malam anak menangis nak susu jangan pura-pura tidur. Ambil anak, bagi dekat isteri. Lepas tu tolong sendal bantal, lap peluh dia, temankan. Walau kau tak boleh susukan anak, kau tetap boleh buat dia rasa tak bersendirian.
Kadang isteri penat bukan sebab susu tak keluar… Tapi sebab dia rasa macam tak dihargai. Suami yang tahu puji, peluk, dan ucap “terima kasih” dia lah penyambung semangat tu. Suara kau boleh jadi ubat paling mujarab.
Susu tak akan keluar kalau isteri stress melampau. Jadi kalau dia penat, jangan tanya “kenapa susu sikit?” Tanya dulu, “Apa boleh abang tolong hari ni?” Sapu rumah ke, mandikan anak, tolong masak benda kecil, tapi besar impaknya.
Kadang dia penat. Kadang susu drop. Kadang dia rasa nak berhenti. Masa tu, kau kena jadi bahu untuk dia sandar. Bukan paksa dia sambung, tapi tenangkan dia. Tunjuk kau sayang dia, bukan sebab dia breastfeed, tapi sebab dia dah buat yang terbaik untuk anak korang.
Anak itu rezeki. Tapi nak besarkan anak, perlukan dua hati yang saling jaga satu sama lain. Kalau suami tahu peranan dia waktu isteri menyusu, hubungan bukan sekadar jadi kuat – ia jadi luar biasa.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!