
Hati ibu mana yang tidak luluh apabila melihat anak sendiri bergelut dengan sakit yang terlalu berat untuk usia sekecil itu. Setiap tangisan anak menjadi doa yang tidak pernah putus, setiap malam dilalui dengan harapan agar esok anaknya masih bernafas dan tersenyum.
Inilah ujian yang terpaksa dilalui seorang ibu, apabila anak yang sepatutnya membesar dalam pelukan kasih, diuji dengan penyakit hati yang serius sejak hari-hari awal kehidupannya.
Amirah merupakan ibu kepada Nur Farrel Iman Muhammad Fahmin, bayi berusia setahun 10 bulan yang disahkan menghidap Biliary Atresia. Menurutnya, keputusan untuk menderma sebahagian hatinya itu dibuat sebagai ikhtiar terakhir demi menyelamatkan nyawa anak kesayangannya.
Suri rumah itu berkata, masalah kesihatan Farrel mula dikesan seawal usia lima hari apabila bacaan darahnya didapati tidak normal.
“Ketika usianya 39 hari, Farrel menjalani pembedahan Kasai di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dan keadaannya stabil sehinggalah dia berusia sembilan bulan,” katanya.
Namun, ujian datang sekali lagi apabila Farrel mengalami jangkitan yang menyebabkan seluruh badannya bertukar kekuningan, perut membengkak dan dia sering menangis tanpa henti.
Menurut Amirah, sebelum ini hampir setiap bulan Farrel mengalami keradangan, menyebabkan keadaannya semakin membimbangkan.
Tempoh menunggu yang terlalu lama untuk mendapatkan penderma organ mendorong Amirah mengambil keputusan untuk menderma sebahagian hatinya sendiri kepada Farrel.
Katanya, sebelum itu mereka sekeluarga telah berikhtiar dengan pelbagai cara termasuk rawatan perubatan Islam, dengan harapan Farrel kembali sihat seperti kanak-kanak lain.
“Menerusi badan bukan kerajaan Pertubuhan Kebajikan Nadi Permata Malaysia, kes Farrel dirujuk ke Hospital Renji di Shanghai. Namun, kami kini memerlukan dana sebanyak RM200,000 bagi menampung kos rawatan.
“Setakat semalam, kami hanya berjaya mengumpul tidak sampai RM6,000, jumlah itu masih jauh daripada sasaran,” katanya.
Dengan penuh harapan, Amirah merayu sumbangan orang ramai untuk sama-sama membantu dirinya dan suami mengumpul dana agar pembedahan dapat dilakukan secepat mungkin demi menyelamatkan nyawa Farrel.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank 551575307417 (Maybank) – Pertubuhan Kebajikan Nadi Permata Malaysia dengan menyertakan rujukan ‘Bantuan Farrel BA’.
Sumber: Metro