
Insiden dua orang murid Sekolah Kebangsaan Seri Wakaf Bharu, Tumpat, Kelantan yang terpaksa mengikat kasut sekolah menggunakan getah benar-benar meruntun hati ramai selepas rakaman mereka tular di media sosial. Bukan kerana ia kelakar atau luar biasa, tetapi kerana ia terlalu dekat dengan realiti hidup segelintir keluarga yang terpaksa bertahan dalam serba kekurangan.
Menerusi perkongsian di TikTok, dua murid tersebut dilihat berjalan ke sekolah dengan kasut yang sudah tidak lagi berfungsi seperti sepatutnya. Kasut yang sepatutnya melindungi kaki kecil mereka, hanya mampu “hidup” dengan bantuan getah. Dalam diam, situasi ini menjadikan kisah kasut sekolah diikat getah sebagai gambaran jelas realiti pahit yang masih berlaku dalam masyarakat.
Situasi itu seolah-olah menceritakan satu perkara yang ramai tak sanggup bayangkan, masih ada anak-anak yang memulakan hari persekolahan dengan beban yang bukan sepatutnya mereka pikul.
Namun dalam kesayuan kisah tersebut, masih ada cahaya yang muncul melalui sikap prihatin manusia. Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Seri Wakaf Bharu tampil mengambil tindakan pantas apabila menghadiahkan sepasang kasut sekolah baharu kepada kedua-dua murid berkenaan.
Bantuan itu bukan sekadar hadiah, tetapi satu bentuk pelukan halus dari masyarakat yang mahu mereka tahu, mereka tidak bersendirian.
Yang Dipertua PIBG SK Seri Wakaf Bharu yang juga Presiden Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) memaklumkan bantuan tersebut diberikan sebaik kisah itu tular dan menarik perhatian ramai.
Menurutnya, tindakan segera itu dilakukan bagi memastikan murid dapat hadir ke sekolah dengan lebih selesa dan yakin, terutama pada awal musim persekolahan.
“Alhamdulillah sekali lagi daripada kisah ‘SEPASANG KASUT YANG DIIKAT DENGAN GETAH URAT’ kami daripada MTRK berkesempatan menghadiah kasut baru kepada 2 orang murid di SK Seri Wakaf Bharu, Tumpat.
“Terima Kasih tidak terhingga kepada Presiden MTRK merangkap YDP PIBG SK Seri Wakaf Bharu kerana sentiasa cakna dan bertindak pantas agar mereka ini dapat merasa memakai kasut baru di awal persekolahan,” katanya menerusi kapsyen hantaran tersebut.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata warga maya meluahkan rasa sebak dan terharu. Ramai memuji tindakan pantas PIBG dan MTRK yang disifatkan wajar dijadikan contoh. Dalam masa yang sama, ramai juga berharap lebih banyak pihak tampil membantu murid-murid yang kurang berkemampuan.
Ada juga komen yang mencuit hati apabila perhatian warga maya turut tertumpu kepada rupa paras salah seorang murid yang dikatakan memiliki wajah tampan.
“Masha Allah comelnya adik berdua ini. Boleh jadi model baju raya 2026. Good luck dan all the best untuk adik berdua di dunia & akhirat,” komen seorang warga maya.
Walaupun santai, reaksi ini tetap membuktikan bahawa masyarakat masih mampu berkongsi rasa dan peduli.