
Selepas setahun penuh momen indah membesarkan cahaya mata pertama, pasangan romantis Syed Iqmal dan Hana Ismail kini meraikan ulang tahun pertama puteri kesayangan mereka, Sharifah Fatma Nour, yang genap berusia setahun.
Kehadiran Fatma Nour bukan sahaja mengubah kehidupan mereka sebagai suami isteri, malah membuatkan ikatan cinta antara Syed Iqmal dan Hana semakin kukuh. Dalam perkongsian penuh kasih di media sosial, Hana meluahkan rasa syukur dan kebahagiaannya menyambut hari istimewa ini bersama insan tersayang.
“Selamat Ulang tahun buat kekasih hati Baba & Umi 🎈
“Baba & Umi pernah jatuh cinta, tapi bila lahir kamu, kami jatuh cinta semula namun kali ini lebih dalam dan indah.
“Setahun yang lalu, kami sambut tangisan pertama kamu. Hari ini, kami ketagih dengan setiap tawa kecilmu. Sharifah Fatma Nour cinta hati Baba & Umi,” tulisnya penuh makna.
Menerusi Instagramnya, Hana dan Syed memuat naik momen bersama ketika menyambut hari lahir puteri kesayangan mereka. Walaupun diraikan secara sederhana namun ia cukup membahagiakan keluarga kecil ini. Si comel Fatma Nour kelihatan begitu comel malah ceria disisi ibu dan ayahnya.
Hana juga turut menitipkan doa agar cahaya mata pengikat bahagia mereka ini menjadi anak yang solehah.
“Semoga menjadi anak yg solehah dan berbakti pada orang tuamu,” ujarnya.
Bagi pasangan ini, melihat anak membesar sihat dan ceria adalah hadiah paling berharga. Syed Iqmal dan Hana sepakat untuk mendidik Fatma Nour dengan penuh kasih sayang, membentuknya menjadi insan yang bukan sahaja bijak tetapi juga berakhlak mulia.
Kini, di usia setahun, Fatma Nour semakin aktif dan lincah, malah gelak tawanya menjadi penawar penat Baba dan Uminya setiap hari. Semoga Fatma Nour terus membesar dengan sihat, dilindungi Allah SWT dan menjadi kebanggaan keluarga.