Dalam Negara

Kemalangan SUV Sungai Petani: Ibu Kanak-Kanak 7 Tahun Tak Sangka Perasaan Tak Sedap Hati Jadi Kenyataan!

Share

Siapa menyangka perasaan tidak sedap hati yang dialami seorang ibu, Atikah Ahmad Syukri, 40 tahun, rupanya bakal kehilangan anak bongsunya yang terlibat dalam kemalangan maut dalam nahas kenderaan utiliti sukan (SUV) dinaiki bersama enam ahli keluarga lain di Jalan Pinang Tunggal, dekat Sungai Petani, petang semalam.

Menurut Atikah, arwah anaknya, Iskandar Affan Ibrahim, 7 tahun kerap memeluknya walaupun dia ada menegur perbuatan anak lelakinya itu supaya berkelakuan baik.

Kemalangan SUV Sungai Petani Tinggalkan Luka Mendalam

“Arwah manja sangat dengan saya sejak kebelakangan ini, tambahan pula dia anak bongsu daripada dua beradik yang sering memeluk saya dan walaupun ada masanya termarah dia tetapi dia tidak ambil hati.

“Dia pula berminat sangat dengan kereta yang setiap kali melihat kereta pasti dia teruja, jadi bila dia nak ikut dua pak ciknya (adik-adik saya), saya pun tiada halangan tetapi tidak menduga mereka terbabit kemalangan.

“Beberapa bulan lalu, saya sudah tidak berasa sedap hati seolah-olah akan kehilangan anak dalam kemalangan, yang tidak sangka ia telah menjadi kenyataan, malah bukan hilang anak sahaja tetapi ibu serta dua adik lelaki saya,” katanya dalam nada hiba ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Islam Masjid Permatang Kuang, Penaga.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.50 petang semalam itu, Iskandar Affan dikatakan mengikut bapa saudaranya pada saat akhir kerana mahu menaiki kenderaan baharu yang diambil di pusat jualan di Juru kurang lima jam sebelum tragedi berlaku.

Dalam kemalangan itu, Atikah bukan sahaja kehilangan anak bongsunya, malah ibu serta dua adik lelakinya akibat nahas tragis berkenaan.

Kronologi Nahas Yang Mengorbankan Enam Nyawa

Mereka sekeluarga ketika itu dipercayai dalam perjalanan ke Merbok untuk menziarahi kubur ahli keluarga sebelum kenderaan yang dinaiki terbabit dalam nahas dengan sebuah lori membawa muatan tanah yang menghala ke Tikam Batu.

Insiden itu mengejutkan ramai pihak kerana melibatkan beberapa anggota keluarga dalam satu kenderaan. Kehilangan serentak beberapa individu yang mempunyai hubungan rapat menjadikan tragedi ini antara kisah paling menyayat hati yang berlaku di kawasan berkenaan.

Atikah berkata, hubungan dia bersama dua adik lelakinya sangat rapat. Malah, arwah Ahmad Syafiq yang bertugas sebagai anggota polis dianggap sebagai tonggak keluarga selepas pemergian bapa mereka sejak tiga tahun lalu.

“Hubungan kami adik-beradik memang sangat baik dan rapat yang pemergian mereka secara mengejut amat meruntun jiwa saya,” katanya.

Keluarga Terkejut Dengan Berita Duka

Sementara itu, ibu saudara Iskandar Affan, Nor Zamilah Ghazali, 40-an, berkata pada mulanya keluarga mereka hanya dimaklumkan mengenai kematian nenek Iskandar.

“Kami pun terus bergegas ke lokasi kejadian dan apabila melihat keadaan kereta terus jadi lembik (lemah) lutut tambahan pula bomba maklum hanya seorang sahaja selamat dan yang lain-lain semua tidak selamat.

“Keluarga mereka ini tersangat rapat, selalu buat aktiviti bersama. Jika salah seorang tak cukup bajet, mesti adik-beradik yang lain akan bantu sebab arwah ayah mereka dah ajar macam itu,” katanya.

Jenazah Selamat Dikebumikan

Jenazah Iskandar Affan selamat dikebumikan sebaik tiba di kampung halamannya kira-kira jam 2 pagi tadi. Suasana hiba menyelubungi tanah perkuburan apabila ahli keluarga dan penduduk setempat hadir memberikan penghormatan terakhir.

Manakala lima mangsa yang lain dijangka dikebumikan pada jam 7 pagi di Tanah Perkuburan Islam Simpang Tiga Pasir, Merbok, Sungai Petani.

Kemalangan SUV Sungai Petani ini menjadi satu tragedi yang meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga mangsa serta masyarakat setempat yang turut berkongsi kesedihan atas kehilangan enam nyawa dalam sekelip mata.

Baca lagi: Budak 10 Tahun Patah Rahang, Abang Tingkatan 5 Marah Basikal Terkena Kaki

Kamal Adli Prihatin Hulur RM100, Tersentuh Hati Tengok Anak Kira Duit Syiling/

Sumber: Harian Metro

Published by
SRM