
“JANGAN bela ikan pelik masa isteri mengandung, nanti anak jadi tak cukup sifat.” — antara ‘nasihat’ yang sering kita dengar dari orang tua dahulu kala. Nasihat ini mungkin kedengaran biasa, tapi tanpa sedar, ia boleh menimbulkan salah faham besar dalam soal akidah jika dipercayai bulat-bulat.
Ramai dalam kalangan ibu bapa muda masih keliru tentang konsep kenan semasa mengandung — kepercayaan bahawa rupa atau sifat bayi boleh ‘terkenan’ dengan sesuatu yang dilihat, disentuh atau dialami ibu ketika hamil. Contohnya, jika si ibu terkejut melihat binatang cacat, dikatakan anak dalam kandungan akan ‘menjadi begitu’ juga.
Dari sudut Islam, kepercayaan seperti ini tidak mempunyai asas dan boleh membawa kepada syirik, kerana ia meletakkan seolah-olah ada kuasa lain selain Allah SWT yang menentukan takdir manusia. Menurut Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, mempercayai bahawa sesuatu makhluk boleh mempengaruhi kejadian atau kecacatan bayi adalah satu bentuk keyakinan batil.
“Ia dikatakan syirik kerana terdapat kepercayaan bahawa makhluk atau benda lain mempunyai kuasa mempengaruhi kehidupan, sedangkan hanya Allah SWT yang berkuasa menentukan segala sesuatu,” jelas jabatan itu menerusi hantaran di laman Facebook rasminya.
Umat Islam diingatkan agar tidak cepat menisbahkan sesuatu musibah atau kejadian kepada sial, nasib malang atau kenan semasa mengandung. Sebaliknya, setiap perkara yang berlaku adalah ujian dan ketentuan daripada Allah SWT. Mempercayai kuasa selain Allah dalam menentukan kejadian adalah bentuk penyimpangan dalam akidah yang wajib dijauhi.
“Apabila ditimpa ujian, jangan menyalahkan sesuatu perkara atau menganggap ia pembawa malang. Sebaiknya, berpeganglah kepada kekuasaan Allah dan serahkanlah urusan sepenuhnya kepada-Nya,” tambah kenyataan itu.
Bagi pasangan suami isteri yang ingin memelihara haiwan peliharaan, jabatan mufti turut menjelaskan bahawa tiada larangan dalam Islam untuk berbuat demikian, asalkan kebajikan haiwan dijaga sebaiknya. Islam tidak melarang ibu hamil untuk berinteraksi dengan haiwan, malah menekankan supaya manusia berlaku ihsan kepada makhluk hidup.
Jika benar ada kaitan antara haiwan dan rupa bayi, sudah tentu Islam akan menjelaskan secara jelas di dalam al-Quran atau hadis. Namun, tiada dalil sahih yang menyokong kepercayaan kenan semasa mengandung ini.
🌸 Kesimpulannya, mama dan papa tak perlu takut pada kepercayaan lama. Bentuklah keyakinan berdasarkan ilmu dan iman, bukan mitos dan kata orang. Anak yang dikurniakan kepada kita adalah rezeki dan amanah Allah SWT, bukan hasil dari apa yang kita lihat atau pelihara.
Yang penting, jagalah hati dan emosi ketika hamil, banyakkan doa serta zikir — kerana ketenangan ibu adalah doa terbaik buat anak dalam rahim. ❤️
Ingatlah, setiap yang berlaku adalah atas kehendak Allah SWT. Jadi, gantikan kepercayaan kepada mitos dengan ilmu dan ketakwaan, agar akidah kekal terpelihara dan hati lebih tenang menghadapi fasa kehamilan.
Sumber : Sinar Harian