Sistem pertahanan badan bagi bayi dan kanak-kanak adalah masih belum matang dan ia akan berkembang selari dengan tumbesaran mereka.
Jadi, sekiranya kanak-kanak kecil mengalami jangkitan demam selsema, sungguhpun mencapai sehingga 5-6 kali setahun, ia masih dianggap normal.
Namun pasti ada tanda tanya, adakah anak selalu sakit disebabkan cara penjagaan yang salah atau masalah pada persekitaran yang tidak sihat?
Jika anak selalu sakit, cuba periksa 6 perkara ini terlebih dahulu.
1. Terdedah pada virus di pusat jagaan
Menurut pakar, pusat penjagaan kanak-kanak boleh diibaratkan sebagai lubuk virus dan bakteria yang boleh menyumbang kepada penyakit seperti selsema dan penyakit tangan, kaki dan mulut. Anak-anak kecil yang bergaul bersama lebih mudah dijangkiti kuman. Mereka juga masih kecil dan sering lupa untuk menutup mulut dan hidung ketika bersin atau batuk. Oleh itu, kuman lebih mudah tersebar.
Ingatkan pada anak anda untuk basuh tangan selepas pulang dari taska dan segera tukar baju. Pastikan taska tersebut mengamalkan kebersihan pada cara penyediaan makanannya, persekitarannya dan pada anak muridnya.
2. Selalu makan makanan ringan
Ads
Makanan ringan bukan sahaja tidak berkhasiat, malah menjadikan anak lebih cenderung dijangkiti penyakit. Kuatkan sistem imuniti anak anda dengan memberikannya makanan kaya ‘phytonutrien’. Menurut pakar pemakanan, makanan kaya phytonutrien mudah dikenali kerana warnanya yang terang. Buah-buahan dan sayuran yang kaya phytonutrien ialah seperti beri biru, keledek, tomato dan bayam.
Lebihkan juga pengambilan makanan kaya Vitamin C seperti buah oren, vitamin D seperti tuna dan bijirin serta probiotik yang terdapat dalam yogurt untuk sistem imuniti yang lebih kuat.
3. Anak tak cukup tidur
Jangan biasakan anak tidur lewat dengan gajet di tangan atau menonton televisyen sehingga lewat malam. Ajarkan juga dia supaya lakukan kerja sekolah lebih awal supaya tidak perlu bersengkang mata untuk siapkannya.
Kanak-kanak yang tidak cukup tidur membuatkan aktiviti sel darah putih yang melawan penyakit hilang kesannya. Untuk anak di bawah umur 13 tahun, pastikan mereka mendapat tidur 10 jam sehari. Corak tidur yang konsisten dapat menguatkan sistem imuniti dalam badan mereka.
4. Anak kurang bergerak aktif
Ads
Tidak kiralah kanak-kanak atau dewasa, bersukan adalah cara terbaik untuk kekal sihat bertenaga. Asyik terperap saja di rumah menonton kartun.
Ajak anak anda ke taman permainan atau keluar bersiar-siar.Menurut kajian, bila anak lebih aktif bermain, sistem imunitinya menjadi lebih aktif bagi melawan jangkitan virus.
5. Berkongsi barang
Anak-anak kecil suka menerokai dunia sekeliling dengan menyentuh objek dan berinteraksi dengan orang lain. Mereka juga suka berhubung dengan kanak-kanak lain dengan berkongsi mainan dan makanan.
Biasakan anak untuk selalu membasuh tangan selepas bermain. Bekalkan mereka dengan ‘hand sanitizer’ jika perlu. Ingatkan mereka untuk tidak menyentuh muka sendiri jika tangan tidak bersih kerana virus lebih mudah masuk melalui mata, hidung dan mulut. Latih mereka untuk tidak berkongsi cawan, straw dan berus gigi.
6. Mangsa asap rokok
Ads
Satu lagi perkara yang mungkin anda terlepas pandang adalah tentang bahayanya asap rokok terhadap bayi dan kanak-kanak. Tidak kiralah sama ada anda merokok di hadapan atau di belakang anak, situasi ‘secondhand smoker’ tetap akan menjejaskan kesihatan mereka.
Ini kerana, anak-anak memiliki organ dan sistem pernafasan yang sangat sensitif. Bahkan, DoktorBudak.com melaporkan bahawa kanak-kanakyang tinggal bersama perokok ini lebih berisiko mengalami jangkitan kuman pneumonia dan kematian mengejut.
Jika pasangan anda adalah perokok tegar dan masih belum boleh berhenti merokok, ingatkan mereka untuk mandi dan menukar pakaian setiap kali sebelum memegang bayi.
Sistem Imunisasi Anak Sedang Berkembang
Mengelakkan anak dari penyakit bukan perkara mudah. Kita juga perlu faham yang anak kecil lebih sering sakit kerana sistem imunisasinya sedang berkembang. Kekerapannya untuk jatuh sakit akan semakin berkurang apabila anak semakin membesar.
Ibu bapa perlu berikan yang terbaik untuk mengekalkan kesihatan anak. Biasanya penyakit anak akan baik sendiri dengan penjagaan rapi oleh ibu bapa. Jika penyakit berlarutan agak lama, segeralah dapatkan nasihat doktor.
Sumber: zuriat.my
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Anak kencing malam, mak ayah boleh cuba tip ini untuk atasi. Kencing malam atau ‘enuresis’ adalah keadaan di mana kanak-kanak tidak dapat mengawal pundi kencing mereka dan secara tidak sengaja membuang air kecil semasa tidur.
Anak Kencing Malam, Mak Ayah Boleh Cuba Tip Ini Untuk Atasi
Keadaan ini adalah perkara biasa dalam kalangan kanak-kanak, terutamanya yang berumur di bawah lima tahun. Masalah kencing malam boleh terjadi kepada mana-mana kanak-kanak, tidak terkecuali anak anda. Apatah lagi jika anak anda sudah mula bersekolah. Namun, jika ia berlanjutan melebihi usia tersebut, ia mungkin memerlukan perhatian yang lebih khusus.
Jika anak anda kencing malam, apa yang perlu anda lakukan? Ketahui cara bagaimana untuk menangani masalah ini dengan mengikuti panduan di bawah.
Tip tangani anak kencing malam
1.Jika anak anda dalam lingkungan umur yang sesuai untuk bercerai lampin, mulakan cara didikan dengan tidak memberikan anak menyusu botol dua atau tiga jam sebelum waktu tidurnya. Elakkan juga memberi anak minuman berkafein atau berkarbonat pada waktu malam kerana kafein hanya akan membuatkan anak anda untuk kencing lebih kerap.
2.Latih si kecil untuk ke bilik air sebelum masuk tidur.
3.Pesan pada anak anda untuk bangun ke bilik air jika terasa ingin membuang air kecil. Jika anak anda takut untuk ke tandas seorang diri, pesan padanya untuk mengejutkan anda jika ingin membuang air kecil.
4.Bagi mengelakkan anak takut ke bilik air, sentiasa nyalakan lampu di tandas bagi memudahkannya jika terjaga daripada tidur.
5.Buat permulaan, kejutkan anak anda daripada tidur untuk pergi membuang air kecil selepas beberapa jam mereka tidur. Lama-kelamaan, mereka akan biasa dengan rutin tersebut.
6.Berikan pujian pada anak anda jika dia berjaya untuk tidak kencing malam. Namun, jika ada beberapa kali anak anda terkencing malam, jangan mudah menghukum atau memarahi mereka.
7.Letakkan plastik pada tilam supaya mudah untuk anda membersihkan tilam dan menjaga kebersihan tilam daripada terkena air kencing.
8.Ajar anak anda tentang kebersihan dengan memberitahu mengapa mereka tidak boleh kencing malam.
9.Luangkan masa bersama anak sebelum tidur. Berikan mereka pelukan dan ciuman sebelum tidur agar mereka rasa tenang.
10.Jika masalah kencing malam anak anda kronik, cuba kaedah hypnosis yang dikatakan berkesan untuk menangani masalah kencing malam.
11.Buat jadual tentang kencing malam anak anda. Ingat! Jadual yang dibuat bukan untuk memalukannya tetapi untuk memberi semangat kepadanya. Sebagai contoh, anda boleh tandakan bintang pada hari yang dia tidak kencing malam. Hal ini akan membantunya bersemangat untuk berusaha tidak kencing malam.
Sebagai ibu bapa, anda perlu banyak bersabar. Sentiasa berfikiran positif dalam menghadapi masalah ini. Anggap ia sebagai satu peluang untuk anda merapatkan diri dengan anak anda. Selain itu, anda juga perlu meniupkan semangat kepada anak untuk berhenti daripada kencing malam.
Beritahu anak anda masalah kencing malam turut dihadapi oleh kanak-kanak lain. Terangkan kepadanya bagaimana masalah itu berlaku dan cara mencegahnya. Jika semua usaha tidak berhasil, mintalah bantuan doktor. Doktor akan memberikan ubat bagi menangani masalah kencing malam.
Kadangkala bukan sengaja nak tengking atau pukul anak tapi disebabkan geram si kecil asyik buat perangai, ibu ayah terlepas juga tindakan tersebut.
Namun bila baca perkongsian oleh ayah ini, Muhammad Ahmad diharap kita yang bergelar ibu ayah boleh mengawal perasaan amarah yang cepat membuak apabila berhadapan dengan situasi anak membuat perangai.
Anggaplah karenah dan ragam anak yang sukar dijangka itu adalah sebahagian daripada proses mereka membesar dan jadi tanggungjawab kita untuk mengawal emosi kerana sebarang tindakan kurang sabar yang diambil boleh memberi kesan berpanjangan pada anak.
4 sebab kenapa saya berusaha tidak tengking,pukul anak atau adik yang kecil sekiranya mereka buat ‘perangai’.
1) Akan jadi ketagih
Mula-mula tengking kita harap mereka akan berubah, kali kedua kita tengking kita anggap mereka sudah degil sebab ulang kesilapan yang sama, ketiga kita tengking perasaan benci mula akan wujud dan kita akan mula bersikap ganas.
Sebab itu ada yang tengking dan sepak terajang anak. Kita akan mula jadi stess dan hilang kawalan emosi. Tengking dah la kuat, terkejut anak. Ada yang sampai menggigil sebab terlalu takut. Akhirnya kita akan menyesal tengok mereka ketakutan, menderita, luka.
2) Akan beri kesan yang tersangat teruk kepada emosi mereka
Mereka mula tersangat takut kepada kita. Tiada keyakinan diri, akan mula tidak respect kita, akan sembunyikan kesalahan mereka.
Dan paling bahaya mereka akan mula memberontak dan bertindak kasar terhadap orang lain. Sebab itu kalau kita tanya budak kaki buli kebanyakan dari mereka memang pernah ditengking, sering dipukul oleh ibu bapa.
3) Ini yang paling saya takut
Mereka yang dibesarkan dalam suasana sering ditengking, dipukul, tidak pernah dihargai, sentiasa dihukum boleh jadi mereka akan lakukan perkara yang sama terhadap isteri dan anak-anak.
Boleh jadi mereka akan alami penyakit Major Depressive disorder (MDD). Pasti isteri akan terkejut kenapa suami tiba-tiba berubah. Terkejut tiba-tiba suami senang gila naik tangan, naik kaki ketika marah.
Suami lagi terkejut kenapa isteri yang sebelum ini nampak pendiam, romantik, peramah akhirnya jadi ganas dalam mendidik anak-anak.
Nampak tak kesan jika kita sering tengking, pukul anak-anak. Sebenarnya kita perlu selami jiwa anak-anak. Jiwa mereka sangat sensitif dari perbuatan dan percakapan kita. Sangat kurang bertindak dari arahan.
Jangan kita fikir anak-anak akan mudah ikut apa sahaja arahan kita, sebaliknya tunjukkan AKHLAK dan PERCAKAPAN yang baik ketika bersama mereka. Anak-anak mudah terdidik dari pemerhatian mereka terhadap kita.
4) Ia juga salah satu akhlak nabi Muhammad s.a.w.
Betapa hari ini masyarakat perlu didikan cara Nabi muhammad s.a.w. Lihat hadith ini, Nabi s.a.w tidak pernah pukul atau tengking kanak-kanak (hadith ini saya belajar dari guru yang saya sayangi).
Apa kata Annas bin Malik R.hu. Waktu ini umur beliau antara 10-11 tahun.
“Pernah suatu hari Rasulullah menyuruh saya ke pasar, Sebelum berangkat saya bermain dulu dengan anak anak lain dijalanan. Ketika sedang asyik bermain, saya merasakan ada seseorang yang berdiri dibelakangku sambil memperhatikanku dan menyentuh bajuku dengan lembut, lantas saya menoleh kearahnya, dan ternyata Rasulullah saw.
Sambil tersenyum beliau bertanya “kenapa belum berangkat lagi, wahai Unais?. Maka sambil tergopoh gopoh akupun menjawab,” ya, saya akan berangkat sekarang wahai Rasulullah”,
Demi Allah, selama sepuluh tahun saya berkhidmat kepada Rasulullah s.a.w, tidak pernah sekalipun beliau memarahiku”.
Gigi kekal sudah tumbuh di belakang, perlukah gigi susu dicabut? Hal ini sering menjadi dilema pada mama papa. Perlukah dibawa ke klinik atau biarkan ia tercabut sendiri.
“Mama tengok ni. Ada gigi baru tumbuh kat belakang gigi Anis,” kata Anis sambil mengangakan mulut ke arah ibunya. Setelah diteliti, memang ada gigi baru kekal tumbuh di belakang gigi kacip bawah. Memang sudah agak panjang dan tumbuhnya menyenget. Gigi kacip susunya itu juga sudah mula bergoyang apabila ditolak lembut dengan jari. Timbul kekeliruan pada fikiran si ibu sama ada ingin mencabut gigi susu tersebut untuk memberi laluan kepada gigi kekal tumbuh atau membiarkan sahaja gigi susu tersebut tercabut sendiri. Mama dalam dilema…
Situasi begini biasa terjadi pada kanak-kanak yang mula melalui fasa tumbuh gigi kekal seawal usia enam tahun. Bagaimana untuk membuat keputusan sama ada perlu mencabutnya atau tidak? Sekiranya dibiarkan adalah gigi kekal tersebut akan tumbuh senget dan bertindan.
GIGI SUSU MULA GOYANG
Menurut pandangan profesional pergigian, Dr Mazleen Abdul Rahman dari Klinik Pergigian Dr. Leen mengatakan masalah atau dilema ini biasa berlaku terutama sekali bagi ibu bapa dan anak pertama mereka. Katanya ramai yang mendapatkan perkhidmatan untuk mencabut gigi apabila gigi susu anak mereka mula bergoyang.
“Gigi susu pertama biasanya akan tumbuh apabila umur kanak-kanak berusia sekitar enam bulan dan biasanya apabila kanak-kanak berusia dua setengah hingga tiga tahun, semua gigi susunya telah tumbuh sepenuhnya. Biasanya gigi kacip akan tumbuh terlebih dahulu, diikuti dengan gigi geraham pertama, kemudian gigi taring dan gigi geraham kedua. Gigi bawah akan tumbuh dulu diikuti dengan gigi atas mengikut urutan tetapi ada juga yang sebaliknya gigi atas tumbuh dulu.
“Apabila umur kanak-kanak sekitar enam tahun, biasanya gigi kacip bahagian bawah akan mula bergoyang. Hal ini terjadi kerana akar gigi susu tersebut telah dihakis oleh gigi kekal yang mula bergerak ke permukaan gusi. Jika gigi yang bergoyang dicabut terlalu awal, maka gigi kekal yang bakal tumbuh akan menjadi makin lambat tumbuh kerana akar gigi yang menjadi rujukan telah tiada. Biasanya gigi yang bergoyang akan tanggal dengan sendirinya apabila tiba masanya,” kata Dr Mazleen.
Kanak-kanak akan memiliki 20 batang gigi susu. Warnanya putih dan akan mula luruh apabila mencecah usia lima tahun ke atas dan diganti dengan gigi kekal.
5 KEADAAN GIGI SUSU PERLU DICABUT OLEH DOKTOR
Walau pun begitu, Dr Mazleen memberikan beberapa keadaan yang memerlukan gigi si manja dicabut oleh doktor gigi iaitu:
1. Apabila gigi kekal telah tumbuh di bahagian belakang gigi susu pada bahagian rahang bawah atau gigi kekal telah tumbuh di bahagian hadapan gigi susu bagi rahang atas sedangkan gigi susu masih belum tanggal lagi.
2. Gigi susunya si manja boleh dicabut apabila ia telah rosak teruk dan selalu menyebabkan gusi bengkak dan bernanah serta sakit yang menyebabkan kanak-kanak sukar makan walaupun pernah dirawat beberapa kali oleh doktor gigi.
3. Keadaan gigi susu yang menyekat pertumbuhan gigi kekal atau menghalang gigi kekal dari tumbuh ke tempat sepatutnya.
4. Apabila sudah sampai masanya untuk gigi itu tanggal tetapi tidak tanggal juga pada usia lapan tahun. Hal ini kerana biasanya bila gigi kekal tidak kelihatan kerana berada di bawah gigi susu.
5. Sekiranya ibu dan bapa tidak mampu dan atau tidak berani untuk mencabut sendiri gigi anak yang sudah bergoyang.
MITOS TENTANG GIGI TIDAK TERSUSUN
Selain itu, menurut Dr Mazleen, terdapat mitos yang mengatakan sekiranya gigi susu yang sudah bergoyang tidak dicabut segera, gigi kekal yang tumbuh akan menjadi tidak tersusun dan bertindan. Katanya,hal tersebut adalah tidak benar sama sekali. Terdapat beberapa keadaan dan faktor yang boleh menyebabkan gigi kekal tumbuh menjadi tidak teratur? 1. Keturunan Rahang muka yang kecil dan gigi yang besar menyebabkan gigi tidak mendapat tempat untuk tumbuh jadi tumbuh secara tidak teratur. Jika ibu atau ayah atau kedua-duanya sekali mempunyai gigi yang tidak teratur maka besar kemungkinan anak juga mempunyai masalah yang sama.
2.Gigi yang dicabut terlalu awal Gigi yang rosak atau bergoyang yang dicabut terlalu awal akan menyebabkan gigi lain bergerak mengambil tempat kawasan yang dicabut. Hal ini mengakibatkan gigi yang sepatutnya tumbuh di lokasi tersebut tiada tempat . Biasanya gigi yang berlapis adalah gigi geraham kecil dan juga gigi taring.
3.Gigi susu yang tidak dicabut Gigi tidak teratur biasanya terjadi apabila gigi susu yang tidak dicabut walaupun gigi kekal telah tumbuh. Pada kebanyakan keadaan, gigi kekal menjadi berlapis-lapis dan tidak tersusun.
TIP ELAK ANAK TRAUMA UNTUK PERIKSA GIGI
Dr Mazleen menyarankan ibu bapa agar membawa si manja untuk pemeriksaan gigi dari usia muda iaitu dalam usia dua atau tiga tahun. Bukan sahaja bertujuan cabut gigi, tetapi untuk pemeriksaan berkala sekurang-kurangnya sekali setahun.
“Hal ini amat penting kerana apabila mereka sudah biasa dan tidak takut dengan doktor gigi maka senang untuk mendapatkan rawatan sama ada tampalan atau cabut. Jangan sesekali memaksa mereka untuk mendapatkan rawatan gigi. Pujuklah dengan cara yang baik. Bimbang sekiranya mereka tidak melakukan dengan rela hati mereka boleh menjadi trauma dan tidak mahu lagi membuat rawatan gigi sehingga dewasa kelak,”.
Katanya lagi, gigi yang bergoyang tidak semestinya terus dicabut. Gigi susu juga tidak semestinya dicabut oleh doktor gigi. Berjumpalah dengan doktor gigi untuk mendapatkan nasihat tentang apa yang perlu dilakukan.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!