
Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan satu kejadian yang sangat meruntun jiwa. Seorang ibu kehilangan anaknya bukan kerana niat, bukan kerana tidak sayang, tetapi kerana satu detik yang tidak disengajakan anak tertinggal di dalam kereta.
Tragedi seperti ini sentiasa mengundang persoalan dan kecaman. “Macam mana boleh terlupa?” “Kenapa tak periksa sebelum keluar?” Soalan-soalan ini sering muncul, disertai emosi marah, sedih dan kecewa.
Namun hakikatnya, ada perkara yang lebih besar sedang berlaku iaitu cara otak manusia berfungsi ketika berada dalam tekanan.
Perkongsian ini dikongsikan oleh Amirul Ramli, Penceramah Kesihatan Mental dan Founder Mental Kuat Centre, bagi membantu kita memahami bahawa tragedi ini bukan semata-mata soal cuai atau tidak bertanggungjawab.
Persoalan utama yang sering bermain di fikiran ramai ialah: macam mana seorang ibu atau ayah boleh terlupa anak dalam kereta sedangkan mereka sudah keluar?
Jawapannya bukan kerana cuai, dan bukan juga kerana tak sayang anak. Ia lebih berkait rapat dengan bagaimana otak manusia berfungsi dalam situasi tertentu, khususnya ketika tekanan mental dan fizikal sedang memuncak.
Apabila seseorang berada dalam tekanan hidup, beban kerja yang berat, kurang tidur atau fikiran bercelaru, Default Mode Network (DMN) dalam otak boleh menjadi lebih dominan berbanding Executive Control Network (ECN).
ECN ialah bahagian otak yang bertanggungjawab untuk menyemak, sedar, merancang dan membuat keputusan secara sedar. Ia membantu kita memastikan sesuatu tugasan benar-benar selesai.
Namun apabila ECN melemah, otak akan mudah masuk ke mod autopilot melalui DMN. Dalam keadaan ini, seseorang akan memandu laluan biasa tanpa sedar, fikiran menerawang, dan melakukan rutin harian secara automatik.
Dua rangkaian ini berfungsi seperti jongkang-jongket. Apabila DMN menguasai dan fikiran tidak fokus pada saat ini, kesedaran terhadap persekitaran juga menurun.
Dalam banyak kes lupa anak dalam kereta, faktor utama ialah ketiadaan isyarat atau ‘cue’. Anak yang tidur, senyap, tidak bergerak dan tidak bersuara menyebabkan otak tidak menerima rangsangan untuk mencetuskan ingatan bahawa masih ada anak di dalam kereta.
Otak manusia sangat bergantung kepada rangsangan luaran untuk mengaktifkan kesedaran. Bila tiada bunyi, tiada gerakan dan tiada perubahan persekitaran, otak menganggap semuanya sudah selesai.
Lebih membimbangkan, otak manusia juga boleh mengalami apa yang dipanggil sebagai false memory atau kesilapan menganggap tugasan telah selesai.
Fenomena ini dikenali sebagai prospective memory failure. Otak menyimpan niat untuk melakukan sesuatu, tetapi secara tidak sedar menganggap ia sudah dilakukan walaupun realitinya belum.
Dalam konteks ini, bukan ibu bapa lupa anak, tetapi lupa bahawa tugas menghantar atau mengeluarkan anak dari kereta belum selesai.
Inilah sebabnya kenapa kes lupa anak dalam kereta boleh berlaku walaupun kepada ibu bapa yang penyayang, bertanggungjawab dan normal seperti kita semua.
Sebagai langkah keselamatan, biasakan diri untuk sentiasa melakukan pemeriksaan berganda sebelum keluar dari kereta. Amalan kecil seperti melihat ke belakang atau menyentuh tempat duduk belakang boleh menyelamatkan nyawa.
Namun kita juga perlu sedar bahawa apabila fikiran terlalu sarat dan DMN menguasai, risiko untuk terlupa tetap wujud walaupun kita merasakan diri kita cukup berhati-hati.
Sebab itu, isu ini perlu dilihat dengan empati dan kefahaman, bukan semata-mata dengan hukuman dan kecaman.
Semoga perkongsian ini membuka mata kita semua bukan untuk menghukum, tetapi untuk lebih memahami, berjaga-jaga dan saling melindungi.
Sumber: Amirul Ramli