
Dalam mendidik anak lelaki, soal adab ke tandas mungkin nampak remeh. Tapi sebenarnya ia antara asas penting dalam pembentukan sahsiah dan kebersihan diri anak. Salah satu isu kecil tapi selalu jadi perbincangan ialah kencing berdiri dalam Islam adakah ia dibenarkan atau tidak?
Menerusi laman rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, ada penjelasan dari sudut hukum. Hukum kencing berdiri dalam Islam adalah harus, tetapi lebih afdhal dan sunnah jika dilakukan dalam keadaan duduk.
Ini berdasarkan dua hadis sahih:
Dalam satu hadis, Aisyah R.A. berkata:
“Sesiapa yang mengatakan Rasulullah SAW kencing berdiri, maka janganlah kamu percaya. Baginda tidak kencing melainkan dalam keadaan duduk.”
(Riwayat al-Tirmizi)
Namun, ada juga hadis riwayat Huzaifah R.A. yang menceritakan bahawa Nabi SAW pernah kencing berdiri di satu tempat buangan sampah, lalu berwuduk selepas itu.
Para ulama menjelaskan bahawa Nabi SAW pernah kencing berdiri bukan kerana kebiasaan, tetapi untuk menunjukkan hukumnya harus dalam keadaan tertentu. Namun secara umumnya, baginda lebih memilih untuk kencing duduk, kerana itu lebih sopan, bersih, dan menjaga adab.
Imam Ibn Hajar al-Asqalani menyebut:
“Baginda melakukannya (kencing berdiri) untuk menunjukkan keharusan, tetapi kebiasaannya baginda kencing secara duduk.”
Bila anak lelaki dah mula berdikari ke tandas, ramai ibu ayah suka biar anak kencing berdiri sebab nampak ‘mudah’ dan cepat. Tapi dari sudut kebersihan dan adab, lebih baik ajar anak kencing duduk. Ini juga membantu mereka faham kencing berdiri dalam Islam tidaklah dilarang, tetapi lebih baik dielakkan atas faktor adab dan kebersihan.
Menerusi perkongsian di FB Dr. Ahmad Luqman Bukhari, kencing berdiri juga berisiko menyebabkan kencing tak lawas. Bila air kencing tak keluar habis, ia boleh menyebabkan jangkitan saluran kencing (UTI) atau rasa tidak selesa selepas buang air kecil.
Anak lelaki kita perlu diberitahu cara kencing yang betul. Kena tegas bab ni dari kecil. Bukan berdiri je terus pancut ikut suka. Ajar dia cangkung atau duduk. Tak adalah terpercik najis sampai kena kat seluar.
Islam tak melarang kencing berdiri dalam Islam, tapi menggalakkan kencing duduk sebagai adab yang lebih baik dan lebih hampir dengan sunnah Rasulullah SAW.
Sebagai ibu bapa, ajarlah anak lelaki dari kecil untuk jaga kebersihan dan adab di tandas. Ia nampak kecil, tapi dari situ anak belajar tentang disiplin, sopan santun, dan hormat kepada ajaran agama.
Kerana dalam Islam, kebersihan itu bukan sekadar fizikal ia cerminan akhlak dan keimanan.