
Kes penderaan bayi yang tular baru-baru ini bukan sahaja mengejutkan masyarakat, malah meninggalkan kesan emosi mendalam kepada ramai ibu bapa. Rakaman yang tersebar luas itu mengundang kemarahan serta kebimbangan, terutamanya dalam kalangan ibu bapa yang terpaksa mengamanahkan anak kecil mereka kepada pengasuh demi kelangsungan hidup.
Turut terkesan dengan kejadian tersebut, pelakon Datin Intan Najuwa tampil menyuarakan pandangan tegas mengenai tanggungjawab dan tahap kesihatan mental individu yang memilih kerjaya sebagai pengasuh, khususnya mereka yang menjaga bayi dan kanak-kanak kecil.
Intan atau nama penuhnya, Intan Najuwa Abdul Wahid, 28, menegaskan bahawa setiap individu yang ingin bekerja sebagai pengasuh perlu memastikan kesihatan mental berada dalam keadaan baik sebelum memikul amanah besar menjaga anak-anak orang lain.
Menurutnya, bayi adalah golongan paling lemah kerana belum mampu bersuara atau mempertahankan diri, sekali gus menjadikan empati dan kawalan emosi sebagai keperluan asas dalam profesion tersebut.
Menerusi satu perkongsian di platform Threads, pelakon drama Kekasih Paksa Rela itu menasihatkan individu yang tidak mampu mengawal emosi agar mencari pekerjaan lain demi mengelakkan kejadian tidak diingini.
“Sekarang ini cerita dia kalau nak jadi pengasuh, tolong pastikan kesihatan mental awak okey dan mampu menjaga kanak-kanak terutamanya bayi.
Jika tak mampu mengendalikannya, lebih baik cari pekerjaan lain. Jangan aniaya anak orang,” katanya.
Kenyataan tersebut jelas mencerminkan kebimbangan terhadap keselamatan bayi-bayi kecil yang sepenuhnya bergantung kepada ihsan dan tanggungjawab orang dewasa.
Intan turut meluahkan kemarahan terhadap tindakan pengasuh yang didakwa mengasari bayi berkenaan. Walaupun kes penderaan bayi ini tidak melibatkan anaknya sendiri, Intan mengakui emosinya sangat terganggu sebagai seorang wanita dan bakal ibu.
“Walaupun bukan anak aku yang kena tapi kalau aku jumpa pengasuh itu, memang habis aku pijak-pijak kau.
Pakai kaki saja dekat bayi itu, sumbat masuk penjaralah orang macam ini,” luahnya dengan penuh emosi.
Kemarahan itu menggambarkan perasaan ramai ibu bapa yang merasakan bayi tidak sepatutnya menjadi mangsa kegagalan emosi dan sikap tidak berperikemanusiaan individu dewasa.
Dalam masa sama, Intan berharap pihak berkuasa tidak memandang ringan isu ini dan memastikan pelaku kes penderaan bayi menerima hukuman setimpal dengan perbuatan mereka.
“Apa-apa pun pihak berkuasa tolong jangan lepaskan orang jahat. Mereka layak dihukum atas apa yang mereka lakukan,” tambahnya lagi.
Lebih menyentuh hati, Intan turut mempertahankan golongan ibu bapa yang terpaksa menghantar anak kepada pengasuh kerana tuntutan kerja dan kehidupan.
“Tak ada ibu yang suka-suka nak keluar kerja dan tinggalkan anak mereka dengan pengasuh.
Kebanyakan mereka tiada pilihan. Ini soal untuk terus hidup hari ini dan demi masa depan anak mereka. Jadi, tolonglah berempati,” jelasnya.
Luahan ini mencerminkan realiti ramai ibu dan bapa di luar sana yang terpaksa membuat keputusan berat demi kelangsungan hidup keluarga.
Sebelum ini, tular sebuah video memaparkan seorang pengasuh yang didakwa mendera beberapa bayi di sebuah pusat asuhan kanak-kanak di Desa Petaling, Kuala Lumpur. Suspek, seorang wanita berusia 26 tahun, telah ditahan pada 16 Disember lalu bagi siasatan lanjut oleh Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur.
Kes penderaan bayi ini sekali lagi menjadi peringatan besar bahawa keselamatan anak-anak bukan perkara remeh dan tidak boleh dikompromi dalam apa jua keadaan.
BACA LAGI : Penderaan Bayi Di Taska Desa Petaling, Luahan Ibu Ini Buat Ramai Mama Luluh Hati
Sumber : Kosmo Online