
Kisah pemergian adik Zara Qairina Mahathir, 13 tahun, masih meninggalkan kesan mendalam di hati masyarakat, khususnya para ibu bapa. Kehilangan seorang anak bukanlah perkara mudah, apatah lagi dalam keadaan yang penuh persoalan. Hari demi hari, keluarga Allahyarham masih menanti jawapan dan berharap agar keadilan dapat ditegakkan.
Baru-baru ini, peguam yang mewakili keluarga Allahyarham, Hamid Ismail, membuat satu rayuan penuh harapan agar saksi-saksi yang masih ada tampil membantu siasatan. Katanya, sehingga kini masih ada individu yang ingin berkongsi maklumat, namun beliau berharap agar semua saksi berani keluar memberi keterangan demi kebenaran.
“Mohon saksi yang masih ada, tolong keluar, itulah permintaan khas kami,” ujarnya dengan penuh pengharapan. Tambahnya lagi, beliau telah menerima beberapa maklumat, tetapi masih perlu ditapis dengan rapi untuk memastikan siasatan berjalan lancar.
Pihak peguam kini sedang menunggu tarikh pendengaran permohonan untuk menjadi pihak berkepentingan dalam prosiding inkues yang dijadualkan bermula 3 September ini. Proses ini amat penting bagi memastikan segala persoalan tentang punca kematian Zara Qairina dapat dirungkai dengan jelas.
Dalam pada itu, lima remaja yang dituduh menggunakan perkataan mencela terhadap Allahyarham telah pun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan mengaku tidak bersalah. Mahkamah turut mengeluarkan perintah larangan bersuara (gag order) bagi menjaga kerahsiaan prosiding kes ini.
Pa&Ma mengajak semua pembaca untuk sama-sama mendoakan agar kebenaran terbongkar dan keadilan untuk adik Zara Qairina segera ditegakkan. Semoga keluarga Allahyarham terus diberi kekuatan melalui ujian ini.
SUMBER : Berita Harian