
Cukup risau bila anak tidak nak belajar. Puas dipujuk, tetap tidak mahu. Jika diajak bermain di taman atau diberikan apa sahaja barang permainan, cepat sahaja dia teruja. Siapa yang tidak bimbang apabila anak berusia enam tahun masih belum boleh membaca dengan lancar? Lebih menakutkan, anak jiran sebelah rumah sudah pandai membaca! Aduh, memang stres rasanya.
Namun, pandangan daripada Pengiat Industri Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Puan Norazura Ismail ini mampu memberikan kelegaan kepada ramai ibu bapa di luar sana. Kenapa begitu? Teruskan membaca dan fahami mengapa kesilapan besar jika paksa anak belajar boleh memberi kesan jangka panjang kepada perkembangan anak.
Kenali Potensi Anak Dari Sudut Yang Berbeza

Apa salahnya jika anda cuba melihat dan mengenalpasti kelebihan anak selain kecerdikan akademik? Mungkin anak anda pandai melukis, suka berfikir secara kreatif atau gemar menari ballet. Belajarlah memahami potensi lain dalam diri anak dan jangan hanya tertumpu kepada pencapaian akademik semata-mata.
Anda boleh memberi dorongan kepada minat dan hobi anak seperti melukis. Pujilah dia apabila berjaya menghasilkan satu lukisan yang istimewa walaupun pada masa yang sama dia gagal menunjukkan pencapaian cemerlang dalam pelajaran. Sokongan emosi ini sangat penting dalam pembentukan keyakinan diri anak.
Anak Kreatif Juga Adalah Anak Istimewa
Anak yang mampu menzahirkan imaginasi dalam bentuk lukisan atau pergerakan adalah insan yang istimewa. Mereka sebenarnya sangat kreatif dalam berfikir dan menghasilkan idea. Tidak mustahil, dengan minat serta galakan berterusan daripada ibu bapa, hobi ini mampu membawa kejayaan besar pada masa hadapan.
Kesilapan besar jika paksa anak belajar tanpa memahami kecenderungan semula jadi mereka ialah kita menutup peluang anak untuk berkembang dalam bidang yang mereka benar-benar minati.
Kesilapan Besar Menilai Anak Hanya Dari Segi Akademik
KESILAPAN BESAR KITA SEBAGAI IBU BAPA IALAH APABILA KITA MENILAI ANAK HANYA DARI SEGI AKADEMIKNYA.
Kesalahan ini sering bermula sejak anak mula masuk tadika. Kita terlalu mahu anak cepat pandai membaca walaupun mereka masih di usia yang sangat awal. Apabila anak lambat menguasai kemahiran membaca, ibu bapa mula merunggut dan membandingkan dengan anak orang lain.
Tanpa sedar, harapan yang terlalu tinggi ini menyebabkan kita lupa untuk menggilap potensi anak dari aspek perkembangan yang lain seperti emosi, sosial dan kemahiran hidup.
Kesilapan 1: Memaksa Anak Membaca Terlalu Awal

Jom lihat satu contoh. Ada anak kerana telah diberi latih tubi yang berterusan dari awal maka dia boleh membaca seawal 3 tahun tetapi anak ini kurang pandai bergaul dengan kawan-kawan sebayanya. Ibubapa mungkin nak anak fokus pada membaca hingga lupa bahawa dunia anak adalah bermain dan terus bermain. Ruginya anak-anak awal usia yang tidak diberi peluang untuk mengisi sepenuhnya ruang dalam kehidupannya untuk bermain. Seketika kita lupa bahawa dengan bermain anak-anak belajar pelbagai perkara.Tak salah mendedahkan anak pada pembacaan awal, yang salah ialah bila memaksa anak dan meletakkan harapan yang tinggi supaya anak-anak cepat pandai membaca sama seperti anak orang lain. Biarlah anak-anak awal usia ini memilih minat dan kecenderungan mereka sendiri.
Kesilapan 2: Membandingkan Anak Di TASKA, Tadika Dan Sekolah
Jom lihat pula apa berlaku di TASKA@TADIKA maupun anak-anak yang baru memasuki Tahun satu di Sekolah Rendah. Pengasuh pendidik maupun guru di TASKA TADIKA dan sekolah sering membandingkan anak-anak dari sudut kepandaian akademiknya. Anak yang cepat pandai membaca di awal usia, anak itulah yang selalu dipuji pengasuh pendidik@ guru. Manakala anak yang agak aktif dan banyak bertanya apatah lagi lambat sedikit menguasai pembacaan, anak itu tidak dipandang dan akan sering dimarahi. Para pendidik pun suka anak-anak yang pandai sebab itulah yang diamanahkan oleh ibubapa yang menghantar anak ke TASKA TADIKA atau Sekolah. Untuk seketika kita semua lupa bahawa anak-anak adalah berbeza dari pelbagai sudut. Kita lupa untuk memahami setiap anak adalah berbeza.
Kesilapan 3: Tidak Berlaku Adil Terhadap Potensi Anak

Untuk anda yang mempunyai anak-anak yang telah bersekolah, cuba kenalpasti potensi diri anak. Fahami anak dari sudut sikap, tabiat, kecerdikan dan juga kemahiran yang dimilikinya. Jika anak anda berpotensi besar dalam akademiknya, beri galakan untuk anak meneruskan pelajarannya ke peringkat yang lebih tinggi. Sebaliknya untuk anak yang kurang pencapaian akademiknya, kenalpasti kemahiran yang diminatinya. Bimbing anak untuk menggilap kemahiran yang dimilikinya. Puji anak yang mempunyai bakat@potensi dalam bidang kemahiran tertentu. Jangan samakan anak yang cerdik akademiknya dengan anak yang mempunyai kepandaian kemahiran dalam sesuatu bidang. Berlaku adil lah pada anak-anak anda sendiri.
Ibu Bapa Sebagai Pembimbing, Bukan Diktator
Ibu bapa perlu bertindak sebagai penasihat dan pembimbing, bukan diktator yang menentukan sepenuhnya masa depan anak. Kesilapan besar jika paksa anak belajar tanpa mengambil kira minat dan kecenderungan mereka.
Kesimpulannya, setiap anak adalah berbeza. Tugas kita sebagai ibu bapa adalah memberi peluang kepada anak untuk memilih apa yang mereka minati. Doakan kejayaan anak-anak dalam apa jua bidang yang diceburi, bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat.
Sumber: pnnorazuraismail.blogspot.my
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!





