
Kesilapan Pemasangan IUCD Bertukar Mimpi Ngeri
Tular kisah ibu muda ini hampir maut akibat apendik pecah, rahim bocor dan usus luka didakw akibat kecuaian doktor. Terkini berita mengenai ibunya yang berkongsi kronologi kejadian yang menjadi trauma seumur hidupnya.
Sebagaimana berita yang disiarkan oleh Pa&Ma sebelum ini, ibu muda ini baru sahaja selesai tempoh berpantang, seorang ibu muda hanya berniat untuk menjaga jarak kehamilan demi kesihatan diri dan anak-anak. Namun, niat murni itu bertukar menjadi mimpi ngeri apabila prosedur yang sepatutnya selamat mengakibatkan kecederaan dalaman serius.
Kesilapan pemasangan IUCD yang dialaminya hampir meragut nyawa dan meninggalkan kesan jangka panjang terhadap kesihatan reproduktifnya.
Niat Menjarakkan Kehamilan Demi Kesihatan
Hasrat Nurul Damia Asyiqin Ayub, 27, untuk memasang alat pencegahan kehamilan intrauterin (IUCD) dibuat selepas tamat tempoh berpantang melahirkan anak ketiganya.
Menurut Damia, keputusan itu dibuat atas nasihat doktor kerana dia disarankan mengelakkan pil perancang yang berpotensi menjejaskan susu badan.
“Saya dinasihatkan supaya tidak mengambil pil perancang. Doktor mencadangkan IUCD sebagai alternatif yang lebih sesuai,” katanya.
Prosedur Di Klinik Bertukar Detik Hitam

Pada 19 Disember lalu, Damia hadir ke sebuah klinik di Pekan Nenas, Johor untuk menjalani prosedur pemasangan IUCD. Namun, semasa prosedur berlangsung, dia terdengar perbualan antara doktor dan jururawat mengenai kesilapan teknikal.
“Mereka menyebut IUCD sepatutnya dipasang antara lapan hingga sembilan sentimeter, tetapi yang dipasang pada saya sampai 11 sentimeter,” jelasnya.
Kesilapan pemasangan IUCD ini menjadi titik permulaan kepada kesakitan melampau yang dialaminya.
Kesakitan Tidak Tertanggung
Selepas prosedur selesai, Damia memaklumkan kesakitan yang dialami sangat luar biasa.
“Sakitnya tak tertanggung. Rasa seperti perut saya nak terburai,” katanya.
Walaupun dimaklumkan akan dirujuk kepada pakar bagi pembetulan, keadaan fizikalnya semakin merosot dari hari ke hari.
IUCD Tidak Berada Di Kedudukan Sepatutnya
Bimbang dengan keadaannya, Damia menjalani imbasan X-ray di sebuah klinik swasta di Pekan Nenas. Hasil pemeriksaan mendapati alat IUCD tersebut tidak berada di kedudukan yang betul.
Pada 21 Disember, Damia mendapatkan rawatan lanjut di sebuah hospital di Johor Bahru. Pemeriksaan lanjut melalui imbasan dan rakaman video mengesahkan berlaku kesalahan serius dalam pemasangan IUCD tersebut.
Pembedahan Dan Penemuan Mengejutkan
Pembedahan untuk mengeluarkan IUCD dijalankan pada 2 Januari. Ketika prosedur tersebut, doktor mendapati beberapa kecederaan dalaman serius.
Apendiks Damia didapati telah pecah, usus besar dan usus kecil mengalami kecederaan, selain rahimnya turut bocor akibat kesilapan pemasangan IUCD yang berlaku sebelum ini.
Kesan Jangka Panjang Terhadap Kesihatan
Akibat kecederaan dalaman tersebut, Damia dimaklumkan bahawa dia tidak lagi boleh bersalin secara normal. Sekiranya hamil pada masa hadapan, kelahiran hanya boleh dilakukan melalui pembedahan.
Keadaan ini memberi kesan besar terhadap fizikal dan emosi seorang ibu muda.
Tindakan Undang-Undang Diambil
Susulan insiden ini, Damia membuat laporan polis di Balai Polis Pekan Nenas bagi melindungi keselamatan dirinya.
Dalam masa yang sama, aduan turut dikemukakan kepada Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) dan seorang peguam telah dilantik untuk membawa kes kecuaian perubatan ini ke peringkat mahkamah.
Kesedaran Tentang Prosedur Perubatan
Kesilapan pemasangan IUCD ini menjadi peringatan penting kepada orang ramai bahawa setiap prosedur perubatan, walaupun dianggap rutin, tetap memerlukan pematuhan ketat terhadap prosedur keselamatan dan kepakaran.
Kesedaran, pemantauan rapi serta tindakan tegas perlu diambil agar tragedi sama tidak berulang.
Kronologi Kejadian (Ringkas)

19 Disember 2024
Damia hadir ke klinik di Pekan Nenas untuk pemasangan IUCD selepas tamat tempoh berpantang. Berlaku kesilapan teknikal apabila IUCD dipasang melebihi ukuran sepatutnya (11cm).
Selepas pemasangan
Damia mengalami kesakitan melampau seperti perut mahu terburai. Doktor memaklumkan perlu dirujuk kepada pakar.
Imbasan X-ray (Pekan Nenas)
Pemeriksaan menunjukkan IUCD tidak berada di kedudukan yang betul.
21 Disember 2024
Damia mendapatkan rawatan lanjut di sebuah hospital di Johor Bahru. Imbasan dan rakaman video mengesahkan berlaku kesalahan pemasangan.
2 Januari 2025
Pembedahan dijalankan untuk mengeluarkan IUCD. Doktor mendapati apendiks pecah, usus besar dan kecil luka, serta rahim bocor.
Kesan jangka panjang
Damia tidak boleh bersalin secara normal dan perlu melalui pembedahan bagi kehamilan akan datang.
Tindakan susulan
Laporan polis dibuat, aduan dikemukakan kepada SISPAA dan peguam dilantik untuk tindakan undang-undang.
Sumber: Kosmo
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!


