Keterangan Awal Pengasuh Bercanggah Dengan Siasatan. Tuntut Keadilan Demi Adam Rayqal!

Share

Kononnya dikatakan tersedak susu semasa dalam jagaan, namun hasil bedah siasat menemui kesan retak di tempurung kepala sebelah kiri dan pendarahan di bahagian kanan otak arwah Adam Rayqal.

Keterangan awal daripada pengasuh itu langsung sama sekali bercanggah dengan keputusan bedah siasat dan keadilan harus ditegakkan demi nyawa seorang bayi yang tak berdosa.

Sejak dua hari kejadian ini berlaku, ramai yang meluahkan rasa simpati pada kedua ibu bapa arwah Adam Rayqal dan berharap pelaku dikenakan hukuman setimpal dengan kesalahannya.

Berdasarkan sidang media yang  dilakukan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, berkata hasil bedah siasat terhadap mangsa menemui kesan retak di tempurung kepala sebelah kiri dan pendarahan di bahagian kanan otaknya.

“Kita masih menjalankan siasatan sama ada bayi itu dipukul, dihempas atau terjatuh ketika berada dalam jagaan suspek. Tiada sisa susu ditemui pada kerongkong mangsa.

“Setakat ini, tiada sebarang senjata ditemui berhubung kes ini tetapi kita masih siasat perkara ini,” katanya.

Fadzil berkata, bedah siasat dijalankan di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur (HKL) bermula jam 9.45 pagi hingga jam 1 tengah hari, semalam.

Katanya, dengan laporan bedah siasat itu, ia sekali gus menafikan keterangan awal suspek sebelum ini bahawa bayi berkenaan tersedak susu.

Mengulas lanjut, Fadzil berkata, pada hari kejadian, suspek turut mengasuh dua lagi bayi lain, namun diserahkan kembali kepada ibu bapa mereka.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek bekerja sebagai pengasuh kanak-kanak sejak dua tahun lalu dan turut mempromosikan perkhidmatannya di laman sosial.

“Siasatan menyeluruh akan dijalankan termasuk berkemungkinan mangsa didera sebelum ditemui mati termasuk motif pembunuhan,” katanya.

Sumber: BH Online & Gambar-Media MB Terengganu

 

IKLAN