Khasiat air pegaga: Rahsia cergaskan anak-Anak dan tingkatkan memori. Kebiasaannya pegaga lebih dikenali sebagai makanan tambahan untuk orang dewasa. Namun, tahukah anda bahawa air pegaga sebenarnya sangat baik untuk anak-anak, terutama dalam menyokong keperluan fizikal dan mental mereka?
Khasiat Air Pegaga: Rahsia Cergaskan Anak-Anak Dan Tingkatkan Memori
Dengan khasiat yang luar biasa, air pegaga adalah alternatif semula jadi yang lebih murah dan mudah didapati berbanding makanan tambahan komersial di pasaran.
Menurut Dr. Rizal Abu Bakar, air pegaga boleh membantu anak-anak yang sering keletihan selepas seharian menjalani pelbagai aktiviti. Campuran pegaga dengan madu boleh meningkatkan rasa manis, menjadikannya lebih mesra kepada deria rasa anak-anak.
Manfaat Air Pegaga Untuk Anak-Anak
Meningkatkan Daya Ingatan
Pegaga membantu membuka pembuluh darah di dalam otak, membolehkan nutrisi diserap dengan lebih baik. Ini menyokong perkembangan otak anak-anak dan meningkatkan keupayaan mereka untuk menyimpan maklumat.
Mengelakkan Keletihan
Selepas sehari yang sibuk dengan sekolah, kelas tambahan, dan aktiviti lain, anak-anak mudah menjadi letih. Air pegaga membantu menyegarkan tubuh dan otak mereka, membolehkan mereka kekal bertenaga dan fokus.
Tingkatkan Sistem Imunisasi
Pegaga kaya dengan nutrien yang membantu memperkuatkan sistem imun badan, menjadikan anak-anak lebih tahan terhadap penyakit.
Cara Mudah Menyediakan Air Pegaga
Menyediakan air pegaga sangat mudah dan tidak memerlukan kos yang tinggi. Berikut adalah langkah-langkahnya:
Ads
1.Ambil seikat pegaga. Basuh dengan bersih untuk memastikan tiada kotoran.
2.Masukkan ke dalam mesin pengisar. Tambahkan air mengikut kepekatan yang diinginkan.
3.Kisar sehingga halus. Pastikan teksturnya sekata dan mudah diminum.
4.Tambah pemanis semula jadi. Untuk menambah rasa, campurkan madu, gula apong (bagi mereka di Sarawak), atau gula kabung.
5.Hidangkan kepada anak-anak. Berikan dalam keadaan segar untuk hasil terbaik.
Kenapa Air Pegaga Pilihan Tepat?
*Mudah disediakan dan murah.
Ads
*Tiada bahan kimia atau pengawet seperti dalam sesetengah suplemen.
*Dapat disesuaikan mengikut cita rasa anak-anak.
Dengan memberikan air pegaga kepada anak-anak secara konsisten, anda bukan sahaja membantu meningkatkan daya ingatan mereka, tetapi juga memastikan mereka lebih bertenaga untuk menjalani aktiviti harian.
Air pegaga adalah rahsia tradisional yang sangat bermanfaat untuk kesihatan anak-anak. Ia membantu mengelakkan keletihan, meningkatkan daya tahan tubuh, dan memperbaiki memori. Jadi, daripada bergantung sepenuhnya kepada makanan tambahan komersial, mak-mak boleh mencuba cara semula jadi ini untuk memastikan anak-anak kekal cergas dan sihat.
Bila anak selesema, selain ubat mama dan papa juga boleh gunakan cara alami dengan menggunakan kunyit. Campurkan kunyit dan minyak kelapa dara. Selama ini kita mungkin pandang rendah pada kunyit tanpa mengetahui rupanya ia boleh merawat macam-macam penyakit.
Kunyit bukan sekadar digunakan untuk masak lemak cili padi dan menggoreng ikan. Seperti yang kita ketahui, kunyit memang banyak khasiatnya untuk kesihatan dan juga kecantikan. Maklumlah ia hanya digunakan untuk jadi bahan menggoreng ikan atau masak lemak cili api.
RAWATAN SECARA ALAMI DENGAN KUNYIT
Kebiasaannya kunyit pasti ada di setiap dapur rumah kita sama ada dalam bentuk serbuk kunyit atau kunyit hidup. Tanpa kunyit pasti terasa tidak lengkap kehidupan kita yang selalu ke dapur. ‘Basic thing’ yang wajib ada di dapur.
Selain itu, kunyit juga seperti ‘first aid kit’ sebab macam-macam remedi boleh dibuat daripada kunyit ini. Kunyit sebagai ubat selesema merupakan remedi yang sangat mujarab! Ianya juga mudah disediakan.
Remedi lain menggunakan kunyit:
1. Kunyit dan jerawat
Secubit serbuk kunyit dan beberapa sudu tepung beras dicampur dengan sedikit air. Hasil campuran tersebut disapukan ke kawasan jerawat. Juga boleh dijadikan masker kunyit (gantikan tepung beras dengan yogurt perisa asli).
2. Kunyit dan kegatalan
Segenggam daun semambu, beberapa ulas bawang putih dan 2 inci kunyit ditumbuk halus. Campurkan dengan minyak zaitun atau minyak kelapa dara dan letakkan campuran tersebut ke kawasan yang alergi.
3. Kunyit dan selesema
Ambil lebih kurang seinci kunyit, tumbuk halus-halus dan campurkan dengan minyak kelapa dara/minyak zaitun dan minyak habatussauda. Sapu minyak di pangkal hidung, dada, ubun-ubun dan tapak kaki anak.
4. Kunyit dan demam
Ambil lebih kurang seinci kunyit. Tumbuh halus dan masukkan ke dalam air yang telah dicampurkan dengan cuka epal(boleh juga gantikan cuka epal dengan air asam jawa atau air lemon atau cuka kurma). Sapu campuran tersebut dan lap ke seluruh badan. Boleh juga rendam stoking ke dalam campuran tersebut dan dipakaikan ke kaki anak/sesiapa yang demam.
5. Kunyit dan sakit tekak
Rebus air yang dicampurkan dengan seinci kunyit. Tuang ke dalam cawan dan tambahkan 2 sudu madu ke dalam air rebusan kunyit.
6. Kunyit dan sakit gigi
Rendam seinci kunyit yang ditumbuk halus di dalam minyak kayu putih. Biarkan sebentar dan tampalkan di bahagian gigi yang sakit. Rebus air yang dicampur kunyit dan garam himalaya sebagai air untuk kumur mulut.
Hakikatnya segala jenis rawatan tidak memberi kesan dan bekas melainkan dengan izin Allah. Dia memandang usaha-usaha kita untuk sembuh sama ada dengan kaedah alami, alopati, tradisional atau apa saja kaedah. Tiada yang salah, tiada yang betul.
Pastikan kita jelas dalam beriktiqad ketika merawat atau setelah sembuh dari penyakit. Allah yang memberi kesan dan bekas. Bukan ubat dan usaha kita.
Apapun kita cuba jadikan sumber makanan yang halal lagi thoyyib, menjauhkan diri dari sumber makanan bermudharat sebagai usaha pencegahan kepada penyakit kerana dalam makanan itu ada ubat dan sebaliknya pula di dalam ubat tiada makanan.
Disclaimer: Tidak semua orang serasi dengan rawatan ini terutama untuk anak kecil. Pastikan ibu buat patch test terlebih dahulu sebelum mencuba rawatan tersebut.
Saat dapat tahu diri hamil, seorang ibu pastinya mengharapkan anak yang dilahirkan selamat dan sihat. Begitu juga sepanjang melalui proses kehamilan, ibu sentiasa mahukan semuanya lancar.
Bagaimanapun, jika Allah dah takdirkan sesuatu perkara akan berlaku, mahu atau tak, kita kena terimanya dengan reda. Seperti perkongsian ibu ini, Alyeen Al, kisahnya yang diuji dengan masalah kesihatan ketika mengandung dan pemergian anak syurganya benar-benar meruntun hati. Tapi apa yang bagusnya dia tetap positif dengan ketentuan ilahi.
Mama yakin Allah sebaik-baik perancang
Mama decide untuk simpan SENYUMAN ni di dalam Muka Buku ni. Masa ni Maryam masih ada dalam perut.
Tiap kali doktor pakar ROUND mama akan lemparkan muka yang ceria. Konon nak pujuk doktor sebab nak discharge. Namun kata salah sorang MO di situ.. Puan.. Sila bermimpi dahulu untuk pulang.
Seluruh badan mama bengkak, kaki bengkak, muka bengkak, jari-jari bengkak. Di usia kandungan 25 minggu bengkak macam tu bukan satu hal yang normal ya wahai semua ibu mengandung. Tambahan lagi pada anak sulung.
Ya, mama akui, mama banyak bekerja, tak bed rest, dan otak sentiasa memikir. Tapi, jangan salahkan mama ya, tamparan ujian Covid19 kepada mama seorang usahawan menjadikan mama perlu jadi lebih kuat.
Mengalami preeclampsia
Mama tiada pilihan. Preeclampsia. Itulah nama sakit yang mama hadapi. Bahasa lainnya adalah sawan ketika mengandung. Namun alhamdulillah mama belum sampai tahap sawan.
Tekanan darah mama ketika berada di Emergency Department adalah 190/110 sangat tinggi. Doktor-doktor O&G terus decide masukkan mama ke PE room. Di situ 24 Hours mama just lay down atas katil. Di check tekanan darah 1/2 jam sekali, collection air kencing 24 jam.
Tidak boleh berhubung dengan siapa-siapa. Mama diletakkan dalam bilik labour room setiap jam mama dengar teriakkan ibu dan baby baru lahir. Mama jadi takut.
Setiap kali doktor datang dia maklum kami akan pantau tekanan darah puan. Dan puan kena stay lama di hospital. Mama ingat esok mama dah boleh keluar.
Dengar-dengar macam tu mama try activate Mind to Muscle. Dan cakap kat anak dalam perut. InshaAllah kita akan jadi case yang keluar ward paling awal ya sayang sambil usap perut.
24 jam berlalu alhamdulillah. Mama keluar dan dipindahkan ke OB 1 iaitu wad bersalin. 25 minggu pakai baju bersalin mama rasa mcm janggal.
Masuk pula ke wad bersalin setiap hari orang masuk, sakit bersalin kemudian discharged.
Mama sentiasa berkumat kamit. Berdoa pada Allah. Serahkan diri pada Allah. Wa ufawwidu amri ilallah ( dan daku serahkan segala urusan aku, kedukaan aku, kesakitan aku, kerisauan aku, urusan anakku,) kepadamu Ya Allah. Innallah ha basir run bil ibad. Sungguh Engkau Maha Mengetahui HAMBANYA.
Mama serah sebulatnya pada Allah. Alhamdulillah.. Setiap hari tekanan darah mama cantik, air kencing masih ada protein, fetal rate baby 142/146. Cantik. Mama sentiasa positivekan diri.
Setiap kali doktor round.. Dia kata alhamdulillah tekanan darah puan cantik dengan hanya 1 ubat sahaja. Tapi puan kena duduk lama lagi ya untuk pantauan puan dan baby.
Satu hari, scan baby, air ketuban baby dah makin skit. Mama scan sebelum-sebelum ni diswasta selalu ukuran baby seminggu kecil dari usia kandungan mama. Tapi kali ni, doktor nampak ukuran lilit baby mengecil. Doktor risau dan decide untuk tahan mama lagi.
Untuk kebaikan mama gan Maryam mama redha duduk dalam hospital lama-lama.
Tapi bila dah tahu mama Preeclampsia mama dah buat research apa simptom-simptomnya. Dan apa keberangkalian akan berlaku.
Tanda-tanda preeclampsia
1.Tekanan darah tinggi
2.Adanya protein di dalam air kencing
3.Bengkak
4.Sakit kepala
5.Kenaikan berat badan secara tiba-tiba
Semua tanda di atas mama ada. Tapi selepas mendapat rawatan mama dah tak ada beberapa simptom tu kecuali tekanan darah, proteinurine, bengkak kaki.
Tiba-tiba tak dengar denyutan jantung baby
Mama kuatkan diri, senyum ja, walaupun dalam hati Allah ja tau. Hari ke-9 mama duduk ward, bila tiba time nak check jantung baby. Tetiba semua nurse tak dengar. Nurse panggil doktor dan buat scan. 2 doktor check. Memang nampak baby dah songsang. Doktor tanya abah ada mana. Dan minta panggil. Mama tanya why doktor?
Dia cakap minta maaf Puan, kami tak dapat selamatkan baby puan. Mama call mak Norina Abdul Majid sekuat hati Mama nangis. Semua doktor Ho/Mo/ specialist/ nurses semua terkejut.
Depa sangat-sangat terkejut. Sebab memang kesihatan mama dah terkawal. Mama nangis masa mak mai dekat sebelah. Kemudian, mama terfikir. Ya Allah. Hamba dah serahkan segalanya pada Allah. Adakah yang ini yang terbaik Allah. Maryam mama Allah ambil.
Teringat kata doktor, mama kena deliver awal untuk pastikan keduanya selamat. Cukup Maryam 1kg mama kena deliver. Atau mengikut kepada keadaan kesihatan mama yang semasa. Allah Maha Mengetahui. Diambilnya Maryam terlebih dahulu.
Mama tiada pilihan melainkan redha. Speacilist datang dan cakap takziah mereka tak sangka, dan bgtau process untuk bersalin biasa akan mengambil masa yang lama. Perlu induce dan ambil masa lama untuk deliver kalau perlu balik kita bagi balik dulu. Terus mama set dalam minda. Anak mama akan lahir awal.
2 jam mama sakit, mama selamat lahirkan Maryam
Dua hari setengah. Maryam meninggal dalam perut pada 21/7/2021 pukul 4, mama minta pada Allah mama nak deliver Jumaat malam sebab Sabtu tu 24 /07/2021 birthday abah dan juga anniversary mama abah yang 1st.
Alhamdulillah Allah kabulkan. 2 jam ja mama sakit. Terus Maryam dilahirkan. Waktu lahir mama senyum ja tengok maryam. MasyaAllah anak syurga mama segak sangat.
Doktor semua terkejut sekejap ya puan dah melahirkan. Maktok, tokwan, abah ambil Maryam untuk urusan pengebumian.. Dan petang 24 julai mama boleh discharge.
Specialist dan semua doktor keliling di katil mama.
Mereka kata. PUAN, kami tak pernah jumpa patient yang sekuat Puan. Puan sambut kami dengan senyuman. Puan sambut anak puan dengan senyuman. Kami sentiasa doakan yang terbaik untuk Puan. Amin.
Terima kasih Allah atas nikmat terbesar ini. Maryam Azzulaikha hadiah Allah terindah atas senyuman Hamba dan suami. Allah.. Hanya Pada Engkau Aku berserah segala sesuatu.
Senyuman ini buat semua para ibu mengandung. Anda semua adalah ibu yang hebat. Senyum. Senyum dan terus senyum.
Al-Fatihah Anak syurga Mama
Maryam Azzulaikha binti Sharul Azrie
Sertai Webinar penyusuan terbesar ‘Mama Tak Penat Susukan Anak’ yang dianjurkan Pa&Ma tahun ini.
Webinar PERCUMA ini menampilkan panel-panel hebat seperti Dato’ Dr Sheikh Muszaphar, Dr Seri Suniza, Dr Hairin Anisa, Puan Asiah Maharam dan perkongsian istimewa oleh Dato’ Siti Nurhaliza.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pendakap gigi, berapa umur kanak-kanak sesuai pakai. Pendakap gigi, atau juga dikenali sebagai braces, adalah alat perubatan pergigian yang digunakan untuk memperbaiki susunan gigi yang tidak sekata, gigi yang berlapis, atau masalah gigitan (seperti overbite dan underbite).
Soalan yang sering timbul, bolehkah kanak-kanak memakai pendakap gigi? Jawapannya adalah ya, tetapi dengan beberapa syarat tertentu.
Berikut usia yang sesuai, faktor yang perlu dipertimbangkan, dan kebaikan memakai pendakap gigi untuk kanak-kanak.
Biasanya, kanak-kanak boleh mula memakai pendakap gigi seawal usia 8 hingga 14 tahun. Pada usia ini, gigi kekal sudah mula tumbuh sepenuhnya, dan tulang rahang masih berkembang. Oleh itu, ini adalah masa terbaik untuk melakukan rawatan kerana tulang yang sedang membesar lebih mudah dibentuk berbanding pada usia dewasa.
Namun begitu, kanak-kanak yang lebih muda juga boleh memakai pendakap gigi jika terdapat masalah yang serius seperti:
Gigitan terbalik (crossbite) – keadaan di mana gigi atas tidak sejajar dengan gigi bawah.
Gigi bertindih secara teruk (severe crowding) – keadaan di mana ruang pada rahang tidak mencukupi untuk semua gigi.
Sebelum kanak-kanak memakai pendakap gigi, lawatan ke pakar ortodontik adalah langkah pertama yang wajib. Pakar akan menjalankan pemeriksaan menyeluruh termasuk mengambil imbasan sinar-X, cetakan gigi, dan penilaian terhadap susunan gigi.
Berdasarkan pemeriksaan ini, pakar akan mencadangkan pelan rawatan yang sesuai, termasuk jenis pendakap gigi yang paling sesuai digunakan.
Jenis-Jenis Pendakap Gigi
Kanak-kanak boleh memilih daripada beberapa jenis pendakap gigi bergantung kepada keperluan mereka:
Pendakap konvensional (logam)
Jenis yang paling biasa digunakan dan kosnya lebih berpatutan.
Pendakap seramik
Kurang kelihatan tetapi lebih rapuh berbanding pendakap logam.
Pendakap lutsinar (aligner)
Alternatif moden yang boleh ditanggalkan. Namun, ia lebih sesuai untuk kes ringan.
Pembetulan Awal
Merawat masalah gigi pada usia muda mengelakkan komplikasi yang lebih serius apabila dewasa, seperti keperluan untuk pembedahan rahang.
Meningkatkan Keyakinan Diri
Dengan senyuman yang lebih cantik, kanak-kanak cenderung menjadi lebih yakin dalam berinteraksi dengan rakan sebaya.
Meningkatkan Fungsi Gigitan
Pendakap gigi membantu memperbaiki fungsi pengunyahan dan mengurangkan risiko masalah pergigian seperti kaviti dan gigi haus.
Kanak-kanak boleh memakai pendakap gigi dengan syarat keadaan pergigian mereka diperiksa dan dinilai oleh pakar ortodontik terlebih dahulu. Usia 8 hingga 14 tahun adalah tempoh terbaik untuk menjalani rawatan kerana tulang rahang masih dalam proses perkembangan.
Dengan rawatan yang tepat, kanak-kanak bukan sahaja mendapat susunan gigi yang lebih sempurna, tetapi juga senyuman yang lebih yakin dan sihat sepanjang hayat.
Jika anda sebagai ibu bapa berminat untuk mendapatkan rawatan untuk anak anda, pastikan anda berunding dengan pakar pergigian untuk mendapatkan maklumat dan nasihat yang tepat.
Penyebab utama anemia di kalangan wanita mengandung adalah kekurangan zat besi. Semasa mengandung, badan manusia akan menghasilkan banyak darah untuk menampung tumbesaran janin.