
Kelahiran anak adalah satu anugerah terindah buat setiap pasangan. Namun, bagi pasangan yang dikurniakan bayi pramatang kembar tiga, ia bukan sekadar rezeki besar tetapi juga ujian yang memerlukan kekuatan luar biasa. Begitulah kisah penuh ketabahan pasangan Mejar Ir Ts Mohd Fikry Amri Abd Halim, 40, dan isterinya, Sabrina Hakiem Zaini, 40, yang kini berdepan dugaan apabila tiga permata hati mereka masih dirawat di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU), Hospital Melaka.
“Kami reda dengan ujian ini, cuma saya mohon tolong doakan kesihatan dan keselamatan tiga permata hati kami ini,” luah Mejar Fikry dalam nada sebak.
Tiga Bayi Perempuan Lahir Pramatang, Perlukan Pemantauan Rapi
Menurut laporan Harian Metro, tiga bayi perempuan comel pasangan ini dilahirkan secara bayi pramatang pada usia kandungan 31 minggu. Ketika ini, mereka masih ditempatkan di NICU dan Wad Jagaan Khas Bayi (SCN) bagi memastikan keadaan kesihatan stabil dan bebas daripada sebarang komplikasi yang sering dialami bayi pramatang.

Menurut Mejar Fikry, ketiga-tiga anaknya memerlukan pemantauan pakar sehingga mencapai usia kandungan 35 minggu sebelum boleh dibawa pulang ke rumah.
“Kami faham keadaan mereka masih kecil dan lemah, sebab itu kami mohon doa orang ramai agar mereka terus kuat dan sihat,” ujarnya.
Dakwa Berlaku Kecuaian, Harap Pihak Hospital Lebih Berhati-Hati
Dalam pada itu, Mejar Fikry turut berkongsi rasa kecewa apabila mendakwa berlaku kecuaian dalam pengurusan susu anak-anaknya oleh pihak hospital. Katanya, bayi mereka terpaksa dipindahkan semula ke NICU selepas tidak diberi susu ibu yang telah disediakan akibat pertukaran syif staf.

“Saya sangat terkejut apabila dimaklumkan bayi kami tidak diberi susu ibu yang saya sediakan. Rupa-rupanya susu itu ada, tapi tidak diberikan kerana pertukaran staf. Saya mohon pihak hospital lebih berhati-hati dan patuhi prosedur supaya perkara begini tidak berulang,” katanya.
Walaupun kecewa, beliau menegaskan bahawa mereka tidak berniat menimbulkan kontroversi, sebaliknya hanya berharap rawatan dapat dijalankan dengan penuh tanggungjawab dan kasih sayang terhadap bayi-bayi kecil yang masih lemah itu.
Rezeki IVF Tajaan Yayasan TAFF & Sokongan Tentera Darat Malaysia
Menariknya, kembar tiga ini merupakan hasil rawatan IVF tajaan Yayasan Tunku Azizah Fertility Foundation (TAFF). Setelah melalui pelbagai rawatan dan harapan, kehadiran tiga cahaya mata ini menjadi rezeki paling bermakna buat pasangan tersebut.
Dalam masa sama, Mejar Fikry turut berterima kasih kepada pimpinan tertinggi Tentera Darat Malaysia yang mengadakan lawatan kebajikan ke kediamannya di Taman Kelemak Utama, Alor Gajah. Lawatan itu diketuai oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan bersama isteri, Puan Sri Hartiah Hamzah, selaku Pengerusi Jemaah Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) Darat, serta pegawai kanan Tentera Darat.
“Kami amat terharu dengan keprihatinan yang ditunjukkan. Lawatan ini benar-benar memberi semangat kepada kami untuk terus kuat demi anak-anak,” katanya penuh syukur.
Harapan Seorang Ayah, Doa Seorang Ibu
Bagi pasangan ini, setiap hari adalah perjuangan. Mereka tidak meminta simpati, sebaliknya mengharapkan doa semua agar tiga bayi pramatang perempuan mereka terus kuat, sihat dan membesar dengan baik.
“Walau apa pun yang berlaku, kami reda dan percaya setiap ketentuan Allah SWT itu pasti ada hikmahnya. Semoga anak-anak kami menjadi insan solehah yang membahagiakan keluarga ini suatu hari nanti,” tambahnya lagi.
Majalah Pa&Ma turut mendoakan agar ketiga-tiga bayi pramatang ini segera sihat, membesar dengan sempurna dan menjadi penyeri buat keluarga wira negara ini.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!












