Helicopter Rescue: Detik Cemas Percutian Bertukar Trauma Bila Anak Pengsan Di Atas Salji Ketika Bercuti Di Switzerland

Share

“Bayangkan, percutian impian bertukar trauma. anak pengsan di atas Salji. Perkongsian seorang ibu, Syira Charms, di Facebook begitu meruntun jiwa apabila anak tersayang mengalami kecederaan ketika melakukan aktiviti di salji semasa bercuti di Switzerland.

Inilah yang dilaluinya oleh ibu ini. Ada hari-hari tertentu dalam hidup seorang ibu hati rasa digenggam kuat sampai nafas sendiri pun terasa berat. Lama dia pendam, lama dia cuba kuatkan hati sebelum berani nak buka cerita sebenar.

Hari ini, selepas berbulan-bulan, barulah seorang ibu bernama Syira Charms ada kekuatan menceritakan semula detik hitam yang hampir meragut nyawa anaknya ketika bercuti di Switzerland pada bulan Jun lalu.

Ikuti perkongsian ibu ini penuh dengan luahan hati. Semoga ia menjadi pengajaran buat semua.

Detik Ceria Yang Bertukar Mimpi Ngeri

Bayangkan percutian impian bertukar jadi detik paling menakutkan untuk seorang ibu di Switzerland. Anak pengsan selepas terpelanting atas lantai salji keras dan hanya helikopter yang boleh selamatkan!

Hari ini barulah mommy ada kekuatan utk berkongsi kisah trauma kami di Switzerland pada Jun yg lepas.

Hari yang cerah 7 Jun 2025, kegembiraan anak-anak menyambut rancangan ke Jungfrau, Top of Europe, sangat terasa seawal jam 6.30 pagi. Mereka begitu teruja untuk bermain salji dan snowtube, aktiviti yang paling dinanti-nantikan oleh semua anak. Kami menggunakan Swiss Pass untuk bergerak ke stesen kereta api menuju Jungfrau, tiba di sana pada jam 1 tengah hari. Sebelum meneruskan perjalanan ke puncak, anak-anak meminta untuk menikmati snowtube terlebih dahulu.

Tube Meluncur Laju, Anak Terpelanting Dan Terus Pengsan

Setibanya di kawasan snowtubing, salji renyai-renyai turun seakan menyambut kehadiran kami. Suasana nyaman, angin tidak terlalu kuat dan kami sekeluarga selesa bermain salji. Si kecil, Ahmed, ketawa tak berhenti sambil memegang salji. Kami membeli tiket masuk ke park dan setiap orang diberi masa setengah jam untuk bermain. Namun, kami perhatikan tidak ada pekerja di bahagian bawah slide, hanya pekerja di bahagian tiket dan pemberi tube sahaja. Tiada arahan jelas untuk giliran turun, jadi kami turun bersama lima orang sekaligus. Semuanya berjalan lancar ketika itu.

Pada cubaan kedua, kelajuan tube berbeza. Mommy, Safiyah, daddy dan Ahmed sampai ke bawah lebih awal. Fayyadh, Hannah dan Aisyah tertinggal di tengah. Kejadian tragis berlaku apabila tube Fayyadh bertembung dengan tube mommy dan Safiyah. Tube

Fayyadh meluncur laju dan slide agak curam, menyebabkan Fayyadh tercampak keluar daripada tube, terus jatuh di atas lantai salji yg keras, kepala sblh kanannya terhentak ke lantai dan terus pengsan. Fayyadh ketika itu sedang merakam suasana menggunakan telefon mommy. Safiyah, Hannah dan Aisyah pun terpelanting juga. Tu dengar anak yg menangis kat situ. Paling mommy syukur, Ahmed terselamat

Dibantu Dua Pelancong Korea

Dua pelancong Korea yang baru turun segera membantu membawa Fayyadh ke sisi. Mommy memeriksa Fayyadh, menepuk mukanya dalam keadaan cemas, @nik gerila non stop panggil Fayyadh. Pekerja di atas turun membawa walkie talkie lebih kurang 10 minit kemudian. Fayyadh mulai sedar, mengerang kesakitan, dan menyatakan dia merasa gelap seketika, kemungkinan akibat pengsan. Kepala Fayyadh bengkak di sebelah kanan. Mereka segera membawanya ke pondok tiket kecil untuk menunggu pasukan kecemasan.

Dibawa Ke Medical Service Dan Keputusan Mengejutkan

Pihak snowtubing menganggap kecederaan kepala Fayyadh adalah serius. Mereka letakkan ais di kepala Fayyadh dan bertanya keadaannya berulang kali. Setelah mendapat arahan, mereka perlu membawa Fayyadh ke bilik medical service sekitar 10 minit dari situ untuk pemeriksaan lanjut. Mommy terpaksa berpisah seketika daripada suami dan anak-anak lain bagi menemani Fayyadh ke pemeriksaan perubatan.


Medical officer bertindak cekap. Beliau segera menyatakan Fayyadh perlu dibawa ke Hospital Kanak-kanak di Bern melalui helikopter kerana hospital di Interlaken adalah utk org dewasa.. Mommy sangat risau melihat bengkak di kepala Fayyadh walaupun sudah sedikit surut. Mommy bersedia naik train dua jam ke Bern, namun medical officer menegaskan helikopter sedang dalam perjalanan. Hati mommy berdebar. Demi keselamatan anak, mommy gagahkan diri menaiki helikopter bersama seorang doktor kanak-kanak, juruterbang dan pembantu.

30 Minit Penerbangan Yang Mendebarkan

Perjalanan mengambil 30 minit ke Inselspital Bern. Setibanya di sana, Fayyadh dikendalikan pantas di jabatan kecemasan. Pilot dan pembantu malah membantu urusan pendaftaran Fayyadh. Selepas 30 minit, Fayyadh mendapat wad dan dipantau setiap setengah jam oleh jururawat dan doktor selama 4 jam untuk memastikan tiada tanda-tanda komplikasi serius seperti muntah atau sakit kepala teruk.

Malam Yang Panjang Di Bern

Mommy sendiri berjalan mencari kedai halal untuk bungkus makanan. Suami dan anak-anak yang lain terpaksa kembali ke Interlaken menyebabkan mommy dan Fayyadh berdua sahaja di Bern. Fokus mommy hanya kepada kesihatan anak, tidak memikirkan diri sendiri atau hal lain.

Setelah doctor membuat pemeriksaan menyeluruh, Fayyadh dibenarkan balik. Mommy sangat bersyukur. Pesanan doktor agar terus pantau Fayyadh untuk 48 jam seterusnya. Jam 8 malam, mommy dan Fayyadh menaiki bas ke Bern Train Station untuk pulang ke Interlaken.

Banyak pengajaran dikutip dari insiden ini, keselamatan semasa bermain, pentingnya pengurusan kritikal, dan rasa syukur atas sokongan padu pihak Jungfrau dan orang ramai. Tidak terucap rasa terima kasih mommy dan keluarga kepada mereka yang membantu sepenuhnya.

Syukur Pada Allah, Dan Pada Mereka Yang Membantu

Syukur kepada Allah atas keajaiban dan perlindungan-Nya. Esoknya di Interlaken, kami terserempak semula dengan pelancong yang membantu di Jungfrau dan mereka bertanya khabar, saat yg benar-benar menyentuh jiwa. Kesyukuran terbesar adalah Fayyadh masih bersama kami hari ini.
Semoga kisah ini menjadi pengajaran buat semua tentang pentingnya keselamatan, pengurusan krisis, dan nikmat bersyukur.
Kos Rawatan & Helicopter Rescue
Untuk kos rawatan hospital dan helikopter, mommy masih belum menerima bil terperinci, namun biasanya penerbangan perubatan helikopter di Switzerland boleh mencecah CHF 4,000 hingga CHF 10,000, manakala kos hospital kanak-kanak di Bern bergantung kepada rawatan, minimum sekitar CHF 1,000 hingga CHF 3,000 untuk pemeriksaan dan pemantauan kecemasan. Kos sebenar boleh berubah bergantung kepada insurans pelancongan serta jenis rawatan.
Semoga Allah menjaga dan melindungi keluarga mommy dan semua pembaca yang mengalami ujian serupa.

Pengajaran Untuk Semua

✔ Keselamatan di kawasan permainan bukit/salji mesti diambil serius
✔ Jangan anggap semua park di luar negara selamat 100%
✔ Pengurusan krisis sangat penting
✔ Insurans perjalanan bukan pilihan  ia wajib
✔ Sentiasa peka, walaupun momen itu nampak menyeronokkan

Sumber: FB Syira Charms

Published by
Nor Yusoff