Supp Voren & Influenza B, Kisah Tragis Anak Brain Dead Kembali Tular

Share

Isu penyakit Influenza B kini kembali menghantui ramai ibu ayah. Setiap kali dengar berita tentang kanak-kanak jatuh sakit, hati mula berdebar  risau kalau anak sendiri pun terkena tempiasnya. Lebih memilukan, apabila kisah lama tentang seorang ibu yang kehilangan anak kecil akibat jangkitan influenza kembali tular di media sosial.

Kisah Seorang Ibu Kehilangan Anak Akibat Influenza B

Bukan sekadar kisah demam biasa tapi kisah tentang penyesalan yang tiada penghujung. Kisah ini pernah dikongsikan oleh seorang ibu, Farrah MekLehs, lima tahun lalu  namun kata-katanya tetap meruntun jiwa hingga kini.

Menerusi facebooknya katanya anaknya merupakan salah seorang mangsa Influenza B — dan pemergiannya begitu mengejutkan, hanya selepas demam beberapa hari.

Supp Voren Jadi Punca Anak Semakin Tenat

“Malam tu arwah mula demam, saya bagi suppository Voren… demamnya kebah sekejap. Tapi malamnya datang balik, saya bagi lagi. Tak turun juga.

Masa tu saya oncall, tak sempat bawa ke klinik awal-awal. Pukul 10 malam, suhu anak dah 40.4°C. Dia masih boleh senyum… tapi saya tak tahu itu senyuman terakhirnya.”

Farrah terus ke klinik swasta, namun menurutnya doktor hanya periksa suhu dan beritahu ia demam biasa. Tiada ubat diberi, hanya disuruh jelum badan. Naluri seorang ibu membuatkan dia tak sedap hati. Dalam perjalanan ke hospital, anaknya mula sawan dan tidak sedarkan diri.

Tragedi Influenza B yang Menggoncang Jiwa Seorang Ibu

“Sampai hospital, terus masuk red zone. Doktor bagi oksigen, tapi dia makin lemah… akhirnya doktor sahkan anak saya brain death akibat pendarahan dalaman. Saya rasa dunia saya gelap. Anak saya dah tak ada…”

Selepas beberapa hari, keputusan ujian makmal keluar. Anaknya sebenarnya dijangkiti Influenza B

, dan pemberian ubat supp Voren (diclofenac) menyebabkan keadaan menjadi lebih parah.

“Saya tak tahu… selama ni kalau anak demam, saya memang guna ubat tu sebab cepat kebah. Tapi kali ni, ubat yang sama lah buat dia pergi selama-lamanya…”

Pesanan Buat Ibu Bapa Tentang Ubat Demam Anak

Dalam nada penuh sebak, Farrah menulis pesanan buat semua ibu ayah:

“Kalau anak demam, tolong jangan pandai-pandai guna ubat. Jumpa doktor dulu. Gunakan ubat yang selamat seperti supp paracetamol ikut berat dan dos anak. Jangan ulang silap saya…”

Kini, setelah bertahun berlalu, Farrah masih dalam proses pemulihan daripada depression (MDD) akibat kehilangan anak tersayang. Namun dia reda, dan terus berkongsi kisahnya sebagai peringatan kepada ibu bapa lain.

“Jagalah amanah Allah sebaiknya. Curi masa untuk peluk dan main dengan anak… jangan tunggu masa tu dah tak ada.”

Kisah Influenza B yang Membuka Mata

Kisah ini bukan sekadar tentang ubat atau penyakit. Ia tentang betapa cepatnya nyawa boleh pergi, hanya kerana kita terlepas pandang. Anak kecil demam bukan hal kecil — jangan sesekali anggap “biasalah, demam budak”.

Influenza B bukan sekadar selsema. Ia boleh membawa maut. Jadikan kisah ini pengajaran agar setiap ibu bapa lebih berhati-hati dan peka terhadap penggunaan ubat demam anak, terutamanya ubat seperti supp Voren.

Sumber:  Farrah MekLehs

Published by
Nor Yusoff