“Ibu reda kalau Rizki nak pergi, jika ia dapat hilangkan kesakitanmu…”
Itulah bisikan terakhir seorang ibu, Noridayu Azih, 43, ketika memeluk putera bongsunya, Muhammad Izz Ar Rizki Mohd Zaki, 5 tahun, sebelum malaikat kecil itu menghembuskan nafas terakhir pada jam 6.20 pagi di Hospital Pulau Pinang (HPP).
Kisah pemergian Rizki meruntun hati ramai kerana sejak lahir dia bergelut dengan penyakit jarang berlaku, Mucolipidosis tahap dua, namun tetap membesar sebagai anak yang amat mudah dijaga dan sangat menyenangkan keluarga.
Senyuman Terakhir Yang Menjadi Kenangan Sepanjang Hayat
Menurut Noridayu, sebelum keadaan Rizki merosot pada awal pagi itu, si kecil sempat menghadiahkan senyuman lembut, senyuman yang kini menjadi kenangan paling menyentuh hati.
“Seolah-olah dia mahu beritahu bahawa kesakitannya akan berakhir,” luah Noridayu, yang masih terbayang detik itu.
Rizki dimasukkan ke wad hampir dua minggu selepas mengalami batuk berpanjangan dan demam tidak menentu. Hasil pemeriksaan, doktor mengesahkan komplikasi jantung serta jangkitan kuman pada paru-paru, menjadikan keadaannya semakin kritikal.
Muhammad Izz Ar Rizki Mohd Zaki, 5 tahun
Lima Tahun Penuh Ujian, Tetapi Rizki Tetap Anak Yang Mudah Dijaga
Sejak lahir, penyakit Mucolipidosis tahap dua menyebabkan Rizki kerap diserang sawan tiga kali sehari dan memerlukan pengawasan 24 jam. Walau begitu, kata ibunya:
“Ketika dia sihat, dia tak pernah meragam. Sangat mudah dijaga… walaupun saya tahu dia menanggung sakit yang besar.”
Ads
Doktor pernah memaklumkan bahawa hayat Rizki mungkin tidak panjang kerana injap jantungnya semakin sempit. Nafasnya boleh berhenti pada bila-bila masa, menjadikan setiap hari bersama anak kecil ini sangat berharga.
Rizki turut bergantung pada mesin bantuan pernafasan BiPaP, mesin penyedut kahak dan tangki oksigen untuk terus bertahan, terutama apabila simptom Mucolipidosis tahap dua menjadi lebih berat.
Adik-Beradik Rindu Adik Kesayangan
Lebih mengharukan, tiga abang dan kakak Rizki bangun pagi selepas pemergiannya sambil memohon kepada ibu:
“Ibu, boleh bawa kami ke kubur adik? Kami rindu dia…”
Ads
Rizki bukan sekadar adik bongsu dialah cahaya kecil yang sentiasa dibelai dalam keluarga. Jenazahnya disemadikan di Tanah Merah, Kelantan, petang semalam.
Dalam Kesedihan, Ibu Masih Berfikir Untuk Membantu Orang Lain
Walaupun kehilangan itu terlalu pedih, Noridayu tetap memilih untuk membantu ibu bapa lain yang sedang berjuang menjaga anak sakit.
Peralatan perubatan yang pernah membantu Rizki untuk bernafas akan disedekahkan kepada kanak-kanak lain yang memerlukan.
“Saya mahu alat itu memberi peluang kepada anak lain untuk bertahan,” katanya lembut.
Ads
Rizki, Anak Syurga Yang Pergi Dengan Senyuman
Pemergian Rizki mengajar satu perkara besar kepada kita semua: Anak istimewa hadir sebagai hadiah paling indah, walaupun pinjamannya sekejap.
Mucolipidosis tahap dua mungkin penyakit yang sangat jarang, tetapi ia membawa perjuangan besar kepada keluarga yang melaluinya. Dan bagi Rizki, perjuangan itu berakhir dalam dakapan ibu yang reda.
Rizki pergi dalam senyuman yang menamatkan segala sakitnya. Dan di syurga, dia kini berlari bebas tanpa jarum, tanpa mesin, tanpa derita. Bagi ibunya, rindu itu tidak akan pernah padam.
Buat kami di Pa&Ma, kisah ini menjadi ingatan bahawa kasih ibu tiada batasnya, walaupun terpaksa melepaskan anak tersayang kembali kepada Pencipta. Semoga kisah Rizki memberi kesedaran tentang cabaran Mucolipidosis tahap dua dan kekuatan luar biasa seorang ibu.
Murid Pasti dinobat juara dunia pidato Bahasa Inggeris. Amatullah Hamidah Muhammad Luqman Al Hakim, 7, berjaya mengharumkan nama negara apabila memenangi tempat pertama dalam pertandingan pidato bahasa Inggeris yang dianjurkan Global Arts, Sports and Culture Association (GASCA) berpangkalan di Hong Kong, China pada 23 Januari lepas.
Murid Pasti Dinobat Juara Dunia Pidato Bahasa Inggeris
Membaca dan menghafal ayat suci al-Quran pada setiap hari adalah antara resipi kejayaan seorang murid Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Al-Furqan, Chendering itu. Kanak-kanak itu merangkul gelaran Juara Dunia pada Pertandingan Pidato Bahasa Inggeris Kanak-kanak dan Belia Antarabangsa Kali Ke-63.
Ibunya, Hasmah Darwis, 31, berkata, kejayaan tersebut didorong oleh amalan membaca dan menghafaz al-Quran sepanjang masa yang diterapkan sejak kecil.
“Sejak Amatullah Hamidah kecil, saya dan suami, Muhammad Luqman Al-Hakim, 32, sentiasa mengalunkan zikir selain mengajar anak membaca al-Quran bagi mencerdaskan dan memiliki fikiran yang tenang supaya mudah menerima ilmu.
“MENGHAFAL AYAT SUCI AL-QURAN SALAH SATU KUNCI KEJAYAAN UNTUK ANAK-ANAK INI MEMILIKI DAYA INGATAN KUAT SERTA MENGUKUHKAN KEFAHAMAN TENTANG SESUATU PERKARA.
“Alhamdulillah, amalan yang sentiasa diterapkan itu membantu kejayaan anak saya dalam menunjukkan bakat dan potensi berpidato dalam Bahasa Inggeris dengan cemerlang sekali gus mengharumkan nama negara apabila memenangi pertandingan pidato Bahasa Inggeris ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Amatullah Hamidah (kiri) bersama ibunya, Hasmah (dua dari kiri)
Selain itu, Hasmah berkata, kesungguhan dan kegigihan berlatih pada setiap hari juga antara faktor yang menyumbang kepada kejayaan Amatullah Hamidah dalam memenangi pertandingan tersebut.
“Saya dan suami sentiasa memberi sokongan dan semangat kepada Amatullah Hamidah untuk berlatih.Setiap hari dia akan meluangkan masa selama setengah jam untuk berlatih berpidato.
“Malah kami akan belanja dia makan dan membawa ke tempat yang menarik seperti pantai sebagai tanda menghargai kesungguhan dirinya berlatih sekali gus tanda penghargaan dan sokongan ibu bapa kepada anak-anak dalam melakukan sesuatu perkara ” jelasnya.
Amatullah Hamidah (kanan) bersama ibunya, Hasmah (kanan) berserta ayah dan adiknya
Dalam pada itu, Hasmah juga sering menerapkan amalan dan ajaran yang baik kepada Amatullah Hamidah bersama adiknya, Amatullah Habibah, 6, dari sejak kecil bagi memastikan anak-anaknya itu menjadi insan yang berguna pada agama dan bangsa kelak.
“KAMI KURANGKAN ANAK-ANAK TERDEDAH PADA PENGGUNAAN TELEFON BIMBIT DENGAN MENGEHADKAN PENGGUNAANNYA AGAR MEREKA TIDAK TERLALU LEKA.
“Kami juga selalu membawa anak-anak ke majlis ilmu seperti ceramah agama bagi memastikan mereka berpeluang mendapat ilmu agama daripada para ulama sekali gus memupuk rasa cinta pada agama dan ibadah,” ujarnya.
Justeru, Hasmah berkata, kejayaan anaknya itu dapat menjadi inspirasi kepada seluruh masyarakat dan murid Pasti dari seluruh negara supaya berani mencabar diri dalam menonjolkan bakat masing-masing.
“Saya mengharapkan anak saya ini berjaya dalam kehidupan di dunia dan akhirat. Saya harap Amatullah Hamidah berjaya menjadi pakar bahasa Arab.
“Selain itu, saya juga berharap dia berjaya menjadi penghafaz al-Quran yang memahami dan menghayati kandungan kitab suci berkenaan dalam kehidupan seharian,” katanya.
Berita sedih pada hari Jumaat. Akiko Okumura, isteri kepada usahawan dan pempengaruh media sosial, Ridzuan Ridzokumura, telah kembali ke rahmatullah pada hari Jumaat.
Berita duka itu disahkan sendiri oleh Ridzuan atau nama sebenarnya Abd Ridzuan Abdul Mutalib, 50, menerusi satu hantaran di Instagram miliknya.
Dalam perkongsian tersebut, Ridzuan memaklumkan bahawa isterinya telah pergi buat selama-lamanya, meninggalkan dia dan anak lelaki mereka, Sky Taizo Okumura.
Al-Fatihah buat arwah isteri saya, Akiko. Dia telah pergi meninggalkan saya dan anak selamanya.
Bagaimanapun, punca pemergian Akiko tidak dinyatakan.Perkongsian tersebut turut mendapat perhatian ramai yang mengucapkan takziah dan mendoakan agar Ridzuan serta anaknya diberi kekuatan menghadapi kehilangan insan tersayang.
Untuk rekod, Ridzuan mendirikan rumah tangga dengan Akiko yang juga merupakan seorang wanita asal Jepun pada Februari 2009.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Sky Taizo Okumura yang kini berusia 13 tahun.
Negara sekali lagi dikejutkan dengan insiden tragis melibatkan seorang pelajar yang terjatuh dari bangunan asrama sekolah. Hati ibu mana yang tidak luluh melihat keadaan anak yang terlantar tidak sedarkan diri.
Lantaran kejadian itu, polis kini membuka kertas siasatan berhubung kejadian pelajar lelaki Tingkatan Tiga yang terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah di Sabak Bernam, semalam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, berkata siasatan masih dijalankan dan beberapa individu telah dipanggil untuk memberi keterangan, termasuk kakitangan sekolah.
Datuk Shazeli Kahar, Ketua Polis Selangor. – Gambar fail/BERNAMA
“Siasatan masih berterusan. Rakaman percakapan individu-individu juga telah diambil bagi membantu siasatan polis, termasuk daripada pihak sekolah,” katanya.
Menurut beliau, siasatan merangkumi pelbagai sudut, antaranya aspek keselamatan pelajar, pengurusan asrama serta latar belakang sosial mangsa dan rakan-rakan.
Katanya lagi, sebarang spekulasi mengenai punca kejadian, termasuk dakwaan unsur buli, masih terlalu awal untuk disahkan.
Sebelum ini, media melaporkan mangsa dikenali sebagai Ahmad Irfan Ahmad Hanafi, seorang pelajar aktif yang turut memegang jawatan dalam biro agama asrama. Mangsa mengalami kecederaan serius termasuk pendarahan di bahagian kiri dan kanan otak, rahang patah serta paru-paru cedera berdasarkan hasil imbasan CT scan.
Bapa saudara mangsa, Muhammad Aidil Mansor, 34, memaklumkan keadaan anak saudaranya kini kritikal dan masih dalam pemantauan doktor.
“Anak saya masih dalam pemantauan doktor, keadaannya kritikal. Sekarang saya tidak mampu berkata-kata tetapi harapan kami biarlah dia selamat,” luah ibu mangsa dengan sebak.
Kejadian ini bukan sahaja meruntun hati keluarga mangsa, malah turut menjadi peringatan buat semua pihak agar aspek keselamatan, kesejahteraan serta kebajikan pelajar di asrama sentiasa diberi perhatian. Doa orang ramai kini mengiringi Ahmad Irfan agar terus kuat berjuang melawan saat getir ini.
Kisah benar seorang ibu tentang bagaimana karies botol menyebabkan semua gigi anaknya terpaksa dicabut melalui pembedahan. Ketahui punca, perjalanan emosi dan tips elak masalah sama.