Meskipun belum ada keputusan sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilanjutkan pada fasa seterusnya atau tidak, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan masyarakat supaya tidak menyertai sebarang bentuk perhimpunan antara enam bulan hingga setahun selepas PKP ditamatkan.

Perhimpunan ramai seperti Bazar Ramadan perlu dielak walaupun tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata ini kerana walaupun tempoh PKP telah berakhir, norma dan amalan kehidupan rakyat Malaysia perlu berubah dan perhimpunan ramai tidak digalakkan dalam tempoh enam bulan hingga setahun.

“Walaupun selepas PKP dalam tempoh dua minggu lagi, tetapi amalan kita berubah, ia bukan norma lagi.

“Contohnya tidak bersalam, membasuh tangan dan ada penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter, perhimpunan contohnya enam bulan hingga setahun kita akan lihat tak galakkan langsung perhimpunan ramai,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

IKLAN

Justeru katanya, perlu ada idea yang kreatif dan inovatif seperti makanan bazar Ramadan yang boleh dihantar ke rumah.

Beliau berkata pelaksanaan E-Bazar Ramadan adalah idea yang baik kerana melihat kepada peningkatan sebanyak 70 peratus perkhidmatan penghantaran makanan ke rumah pada PKP fasa pertama lalu.

KKM katanya akan melihat bagaimana ia boleh dilaksanakan mengikut prosedur yang ditetapkan oleh kementerian itu.

IKLAN

Terdahulu Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata semua bazar Ramadan tidak dibenarkan beroperasi selagi PKP dilaksanakan.

IKLAN

Hingga ke hari ini, Melaka, Negeri Sembilan, Terengganu, Selangor, Kedah dan Pulau Pinang telah membuat keputusan untuk membatalkan bazar Ramadan di negeri tersebut.

Negara menguatkuasakan PKP mulai 18 hingga 31 Mac lepas berikutan penularan COVID-19. Ia kemudian dilanjutkan daripada 1 hingga 14 April ini.

Penularan pandemik Covid-19 di Malaysia yang kini telah meragut 57 kematian dengan 3,483 jumlah keseluruhan kes pada fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menunjukkan trend turun naik kes baru. Justeru itu rakyat dinasihatkan untuk terus berada di rumah dan terus mengamalkan amalan pencegahan supaya penularan wabak ini dapat dibendung sepenuhnya. Barulah kita semua dapat keluar dan menjalani hidup norma seperti dahulu semula. Sama-samalah kita jayakan dengan kekal duduk di rumah!

Sumber: Bernama, KKM

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI