Kolam bola adalah mainan yang menyeronokkan buat si kecil. Manfaat kepada motor sensori si kecil sangat besar. Namun mama papa mesti berhati-hati, ia boleh jadi lubuk jangkitan kuman buat si manja.

Perkongsian daripada Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan boleh dijadikan panduan buat ibu bapa. Ulasan belioau  tentang permainan ini memberikan membuka mata tentang beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum melepaskan si kecil bermain di dalamnya.

Isu bahaya kolam bola (ball pit) ni sudah beberapa kali viral. Dari masa ke masa akan ada media laporkan ada kanak-kanak tercedera kerana benda tajam, mendapat jangkitan dari kuman, atau dicemari najis.

Sebelum saya ulas, saya rasa elok kita lihat sedikit bagaimana kolam bola ni mula-mula muncul, dan kenapa ia menjadi popular.

Kolam bola ni mula popular sekitar tahun 80an, kerana ketika itu muncul kerisauan tentang bahaya taman permainan konvensional.

Taman permainan ketika itu lazimnya terdiri daripada buaian, gelungsur, jongkang-jongkit, palang gayut(monkey bar) serta jim hutan(jungle gym). Semua di perbuat dari kayu dan besi.

Kerisauan ibu bapa ketika itu adalah pada kecederaan berkaitan trauma fizikal: patah tulang, gegeran otak, terluka akibat jatuh. Selain itu, risiko lain adalah penculikan, dan serangan haiwan.

Kolam Bola Tak Dijaga ‘Lubuk Jangkitan’. Risiko Terkena Objek Tajam Tinggi!

Jadi pada tahun 70an muncul taman permainan jenis baharu, di mana ia terdiri didirikan di dalam bangunan tertutup (indoor), diperbuat daripada bahan lembut seperti plastik, getah, dan lantai dipenuhi bebola untuk mengurangkan impak jika terjatuh.

Ia dinamakan ball crawl/pit/pond, dan menjadi pilihan popular dikalangan ibubapa serta kanak-kanak. Mulai itu, mula dibina di pusat beli-belah, restoran francais, malah di taman-taman tema.

Semua orang suka kolam bola ni, malah ia juga menarik perhatian para pengkaji untuk meneliti potensi dan menilai risiko taman permainan begitu. Di sini timbul pula dua perkara.

Satu berita baik, dan satu berita tak baik.

IKLAN

Berita tak baik: kolam bola yang tidak diselenggara dengan baik kebersiham dan keselamatan nya mendedahkan kanak-kanak kepada risiko kecederaan akibat benda tajam, menjadi tempat pembiakan kuman. Ini semua kita dah tahu, kerana ia ketap viral.

Berita baik: kolam bola ini bagus kanak-kanak yang ada masalah perkembangan pemprosesan sensori. Ia membantu dalam kanak-kanak memahami sensori tubuh mereka. Ini tak semua faham, tapi jangan risau. Perkara inilah saya nak ulas.

Pemprosesan Sensori(sensory proscessing) adalah proses untuk mengatur semua stimulasi dari persekitaran yang diterima oleh deria, agar seseorang itu boleh menggunakan tubuhnya dengan baik dalam sesuatu persekitaran.

KEBAIKAN KOLAM BOLA KEPADA SI KECIL

Kolam bola didapati dapat melatih sensori visuo-spatial, propriosepsi, ekuilibrium, dan memberi rangsangan pada penglihatan, sentuhan, serta tekanan.

◾Visuo-spatial adalah sensori berkaitan kebolehan menganggarkan kedudukan objek dalam ruang. Hanya dengan melihat kita boleh anggar jarak dan saiz objek berdasarkan benda-benda di sekitarnya.

◾Propriosepsi(proprioception) adalah sensori berkaitan kebolehan menganggarkan keberadaan dan posisi anggota tubuh di dalam ruang. Tanpa lihat kita boleh tahu tangan kita di mana dan sedang buat apa, kan?

◾Ekuilibrium(vestibular) pula adalah sensori berkaitan keseimbangan tubuh. Ia melibatkan memahami dinamik graviti, tujahan, momentun dan elemen fizik yang bertindak ke atas tubuh.

Bagi melatih sensori-sensori ini, kanak-kanak perlu berlari, melompat, jatuh, berguling, membuai, berkubang dan sebagainya. Itu naluri mereka, dan ia sebahagian daripada cara mematangkan sensori.

IKLAN

Kolam Bola Tak Dijaga ‘Lubuk Jangkitan’. Risiko Terkena Objek Tajam Tinggi!

Macam mana pemain bola boleh buat sepakan dengan tepat ke gawang? Bagaimana pemain golf boleh pukul bola masuk dalam lubang kecil?

Kerana ahli sukan berjaya benar-benar menguasai pemprosesan sensori-sensori ini melalui latihan, dan latihan itu bermula dari umur kanak-kanak.

STIMULASI & RANGSANGAN 

Kolam bola menyediakan ruang untuk aktiviti yang memberi stimulasi dan rangsangan untuk latih tiga sensori unik ini. Sebab itu, kolam bola juga dibina hospital dan pusat rehabilitasi yang merawat kanak-kanak yang kelewatan dalam perkembangan.

Antara kanak-kanak yang mendapat manfaat daripada terapi kolam bola adalah kanak-kanak autistik, cerebral palsy, serta sindrom-sindrom lain.

Berdasarkan perkara ini, bila di tanya adakah kita sebagai ibu bapa perlu mengelakkan anak-anak daripada bermain di kolam bola, saya perlu beri dua jawapan.

IKLAN

1. YA, PERLU ELAK!
Elak kolam bola yang tidak diselenggara keselamatan dan kebersihannya dengan baik. Khuatir anak akan tercedera atau dijangkiti penyakit berjangkit.

2. TAK, JANGAN ELAK!
Ia mematangkan pemprosesan sensori, dan menjadikan kanak-kanak lebih cekap dalam aktiviti fizikal, serta meningkatkan potensi mereka.

Lazimnya kolam bola di hospital dan pusat rehabilitasi diselenggara mengikut jadual. Ada dua set bebola. Setiap kali satu set dihantar untuk dibersihkan, set simpanan akan diguna. Kolam juga dibersihkan semasa penukaran bebola.

Hal ini saya pasti. Saya pernah berkhidmat di Jabatan Rehabilitasi hospital kerajaan, dan memang ada jadual pembersihan kolam bola. Malah setelah saya buka pusat rehabilitasi sendiri, saya juga pastikan kolam bola dibersihkan secara berkala.

TIP BILA ANAK BERMAIN KOLAM BOLA

Apapun, lepas main di kolam bola, mandikan anak-anak.

Selain itu, ibu bapa juga boleh buat kolam bola di rumah.

Gunakan kolam tiup(inflatable pool), dan isikan dengan bola. Boleh juga gunakan playpen. Bersihkan secara berkala. Maka tak ada kebimbangan, sebab kita selenggara sendiri.

OK, semoga bermanfaat!

Sumber: Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan
Greatlife Physiotherapy & Rehabilitation

◾Penafian: saya tak larang pergi taman permainan konvensional atau kolam bola. Boleh pergi, namun pilihlah yang diselenggara dengan baik, pantau anak-anak.

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI