
Siapa sangka kegembiraan pasangan suami isteri yang baru menimang cahaya mata sulung bertukar menjadi duka apabila si isteri kini terlantar lumpuh seluruh badan akibat komplikasi selepas bersalin.
Lebih menyayat hati, bayi perempuan mereka yang kini berusia 51 hari masih belum pernah dibelai oleh ibunya sendiri.
Ibu Lumpuh Selepas Komplikasi Bersalin
Bayi perempuan itu, Dyia Inara Muhammad Danial, dilahirkan secara pembedahan pada 3 Disember lalu. Namun ibunya, Noor Imani Mohd Zaki, 27, mengalami komplikasi serius sebaik sahaja melahirkan anak sulung mereka.
Suaminya, Muhammad Danial Muhammad Aman Vikraman, 34, memaklumkan bahawa isterinya tidak mengalami sebarang masalah sepanjang tempoh kehamilan.
“Imani sihat sepanjang mengandung. Tetapi selepas bersalin, oksigennya tiba-tiba menurun dan berlaku pendarahan yang teruk,” katanya.
Air Ketuban Masuk Saluran Darah
Menurut Muhammad Danial, keadaan isterinya menjadi semakin kritikal apabila air ketuban dilaporkan memasuki saluran darah sehingga menyebabkan otaknya membengkak.
Doktor terpaksa melakukan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) sebanyak tiga kali, namun usaha tersebut gagal memulihkan keadaannya sepenuhnya.
“Kini hanya mata Imani yang sesekali berkelip, tangan bergerak perlahan-lahan dan suaranya langsung tidak kedengaran,” katanya.
Belum Pernah Belai Bayi Sendiri

Lebih meruntun perasaan, Noor Imani masih belum berpeluang memegang, memeluk atau membelai bayi sulungnya sendiri, apatah lagi menyusukan Dyia Inara dengan susu badan.
“Anak kami langsung belum merasa kasih sayang ibu,” luah Muhammad Danial dengan nada sebak.
Kerosakan Otak 80 Peratus
Menurut makluman doktor, Noor Imani mengalami kerosakan otak sebanyak 80 peratus dan peluang untuk pulih adalah sangat tipis.
Muhammad Danial mengakui tidak sanggup melihat keadaan isterinya yang sebelum ini ceria, aktif dan penuh keterujaan menantikan kelahiran anak sulung, kini hanya terbaring lemah di katil.
“Masih terbayang keletah Imani yang tidak sabar menunggu kelahiran anak kami. Setiap hari dia bercakap dengan bayi dalam kandungan,” katanya.
Kenangan Sebelum Bersalin Jadi Igauan
Tambahnya lagi, isterinya sering menghantar gambar dan video perutnya yang bergerak ketika beliau keluar bekerja.
“Setiap hari dia hantar video perutnya. Tapi bila anak sudah lahir, Imani pula menjadi begini,” katanya sayu.
Suami Berhenti Kerja, Fokus Jaga Isteri
Buat masa ini, bayi mereka dijaga oleh ibu Muhammad Danial memandangkan beliau perlu menjaga isterinya sepenuh masa.
“Saya terpaksa menghentikan perniagaan burger yang saya jalankan sejak 11 tahun lalu untuk menguruskan isteri,” katanya.
Kos Rawatan Cecah RM3,000 Sebulan
Perbelanjaan bulanan untuk menguruskan Noor Imani mencecah RM3,000, melibatkan pembelian susu khas, lampin pakai buang dan ubat-ubatan.
Walaupun tidak mengharapkan keajaiban besar, Muhammad Danial hanya berharap isterinya mampu kembali bersuara dan dapat memegang serta membelai anak mereka walau sekali.
Terima Bantuan NGO

Terdahulu, pasangan ini menerima kunjungan daripada Pertubuhan Peraja Kelantan yang diwakili Penasihatnya, Datuk Paduka Dr Tuan Erni Azrulma Tuan Daud, serta wakil NGO Volunteer i-Care, Saripah Ismail.
Kunjungan tersebut turut disertai penyerahan sumbangan kewangan bagi meringankan beban keluarga berkenaan.
Sumber: Berita Harian
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!





