KPM maklumkan, 71 buah sekolah di KL dan Selangor akan buat PdPR sempena Sidang Kemuncak ASEAN yang dijadualkan pada  pada 26 hingga 28 Mei 2025.
Langkah ini diambil sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 yang bakal berlangsung di ibu negara, dengan mengambil kira penutupan jalan dan kawalan keselamatan yang akan dilaksanakan sepanjang acara berprofil tinggi tersebut.
Dalam satu kenyataan, KPM menjelaskan bahawa keputusan ini bertujuan untuk memastikan kelangsungan pembelajaran murid tidak terganggu meskipun berlaku sekatan pergerakan atau akses ke sekolah-sekolah yang terlibat.
“Kebenaran PdPR ini adalah langkah proaktif bagi mengurangkan sebarang gangguan terhadap sesi pembelajaran, selain menjaga kebajikan dan keselamatan warga sekolah,” menurut kenyataan Kementerian Pendidikan tersebut.
KPM Umum 71 Sekolah Dapat Cuti Tiga Hari Sempena Sidang Kemuncak ASEAN
Dalam pada itu, ibu bapa, penjaga, murid serta guru dinasihatkan untuk merujuk saluran rasmi sekolah masing-masing bagi mendapatkan maklumat terkini berkenaan pelaksanaan PdPR di sekolah mereka.
Malah, KPM turut menyatakan keyakinan bahawa pengalaman terdahulu dalam pelaksanaan PdPR, sama ada semasa pandemik COVID-19 mahupun ketika bencana alam, akan dapat memastikan proses pembelajaran berjalan lancar.
“Kementerian komited untuk memastikan kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga sekolah sentiasa terpelihara sambil mengekalkan kualiti pendidikan meskipun dalam situasi luar jangka seperti ini,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, media melaporakan, Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang bakal berlangsung ini akan menghimpunkan seramai 10 pemimpin negara bagi membincangkan isu serantau serta memupuk kerjasama ekonomi selain memperjuangkan prinsip keterangkuman dan kemampanan.
Malaysia secara rasmi memegang jawatan Pengerusi ASEAN bermula 1 Jan 2025 dengan mengangkat tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ yang mencerminkan aspirasi negara untuk membentuk ASEAN yang bersatu dan makmur.
Sumber: Astro Awani
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI