
Itu jaminan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi ibu bapa yang bimbang untuk menempatkan anak mereka di sekolah asrama seluruh Malaysia.
Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, KPM memberi jaminan bahawa semua sekolah asrama di bawah kelolaannya kekal berada dalam keadaan selamat, justeru ibu bapa tidak perlu berasa gusar untuk menghantar anak mereka ke institusi berkenaan.
Tegasnya lagi, pelbagai usaha telah dilalukan untuk meningkatkan tahap keselamatan bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat dan berkualiti tinggi di sekolah asrama.
Menurutnya, Sekolah Berasrama Penuh (SBP) masih menjadi pilihan utama ramai ibu bapa, menunjukkan keyakinan terhadap sistem pendidikan asrama yang ditawarkan KPM.
“Saya ingin yakinkan para ibu bapa bahawa sekolah-sekolah asrama kendalian KPM masih dalam keadaan selamat. Kita secara konsisten melaksanakan penambahbaikan dari sudut keselamatan dan infrastruktur supaya institusi ini terus menjadi ruang pembelajaran terbaik kepada anak-anak,” jelasnya.
Selain itu, beliau turut menambah bahawa KPM sentiasa mengambil langkah proaktif dalam mengenal pasti dan menangani sebarang kelemahan, termasuk berkaitan aspek keselamatan di sekolah-sekolah asrama.
Mengulas berkenaan isu buli yang menjadi ketakutan ramai mak ayah, Fadhlina menekankan bahawa pendekatan kementerian dalam menangani kes buli berfokus kepada aspek pendidikan dan pemulihan.
Tindakan seperti amaran, penggantungan, kaunseling, serta program sahsiah dilaksanakan untuk membentuk pelajar ke arah lebih positif.
“Kita berusaha memastikan persekitaran sekolah menyokong pembentukan karakter pelajar agar mereka dapat berubah dan berkembang menjadi individu yang lebih baik,” tambahnya.