
Baru-baru ini, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman berat terhadap Mohamed Badruldin Mohamed, 40, seorang penganggur yang akhirnya menerima balasan atas kekejaman melampau yang pernah menggemparkan negara.
Lelaki itu dihukum penjara 30 tahun dan 13 sebatan 10 tahun dan satu sebatan bagi kes meliwat, serta 30 tahun dan 12 sebatan bagi kes membunuh seorang bayi berusia 9 bulan. Keputusan ini sekaligus menjadi perkembangan penting dalam kes bayi Afiq yang kembali menarik perhatian rakyat.
Menurut pertuduhan, jenayah ngeri ini berlaku di sebuah rumah di Projek Perumahan Rakyat Lembah Subang, antara jam 8 pagi hingga 3.30 petang pada 27 April 2021. Di situlah seorang bayi kecil, Muhammad Afiq Rizqin, menjadi mangsa kerakusan manusia yang langsung tidak berhati perut. Lebih menyedihkan, tragedi berlaku di rumah asuhan tempat yang sepatutnya menjadi ruang selamat buat anak kecil ketika ibu bapa keluar mencari rezeki.
Arwah diliwat hingga mengalami kecederaan dalaman sebelum meninggal dunia. Jenayah ini meninggalkan luka yang mustahil sembuh buat keluarga kecil itu.
Selepas hukuman dibacakan di mahkamah, satu catatan lama kembali tular di media sosial coretan si ibu, Robiatul’ Adawiah Aziz, yang ditulis kira-kira empat tahun lalu.
Luahan itu merakam kronologi penuh bagaimana tragedi itu terbongkar, dan bagaimana seorang ibu melalui saat paling gelap dalam hidupnya.
Perkongsian ini sekali lagi mengingatkan rakyat bahawa kes bayi Afiq bukan sekadar berita, tetapi tragedi kemanusiaan yang merentap hati sesiapa yang membacanya.
Coretan Robiatul’ Adawiah pernah viral suatu ketika dulu kerana setiap ayatnya terasa seperti ditikam perlahan-lahan. Kini, apabila keadilan akhirnya ditegakkan, luahan itu muncul semula mengingatkan orang ramai tentang betapa dahsyatnya penderitaan yang dilalui keluarga ini.
Pada 27 April 2021, jam 3.44 petang, ibu ini menerima panggilan daripada pengasuh, Ida:
“Biey, datang hospital Sungai Buloh sekarang, Afiq tak sedar.”
Dunia terus gelap. Tanpa fikir apa-apa, dia menghubungi suami dan bergegas ke Hospital Sungai Buloh menaiki motosikal dalam keadaan hujan lebat dan jalan sesak.
Satu persoalan mula timbul mengapa pengasuh membawa bayi itu sejauh Hospital Sungai Buloh sedangkan ada hospital jauh lebih dekat? Lebih memeranjatkan, pengasuh tidak menghubungi ibu terlebih dahulu, hanya selepas anak diserahkan kepada doktor.
Sampai di hospital, doktor memaklumkan bahawa jantung Afiq sudah berhenti sebelum sampai. CPR dilakukan selama 10 minit dan jantungnya kembali lemah-lemah.
Ketika jururawat memanggil pengasuh untuk membantu beri maklumat, ibu menghubungi Ida. Jawapannya?
Dia berada di bazar Ramadan.
Di saat bayi asuhan bertarung nyawa, dia masih sempat berjalan-jalan sesuatu yang sukar diterima sesiapa pun.
Yang menghantar bayi ke hospital pula suami pengasuh, seorang penagih dadah.
Doktor menunjukkan keadaan Afiq melalui video. Bayi kecil itu terbaring kaku, dipenuhi wayar dan mesin bantuan hidup. Doktor memberitahu bahawa otak Afiq mengalami kerosakan teruk akibat kekurangan oksigen.
Ibu dan ayah bergilir menjaga sepanjang malam, walaupun berada di zon pesakit COVID-19. Tangisan mereka hanya Tuhan yang dengar.
Keesokan paginya, doktor mengesahkan keadaan Afiq semakin merosot. Jantung semakin perlahan, darah semakin kurang.
Untuk mengurangkan penderitaan, doktor mencadangkan agar ubat dikurangkan sedikit demi sedikit.
Dan tepat 12.18 tengah hari, 28 April 2021, adik Afiq pergi menghadap Pencipta.
Ketika itu, mereka masih tidak tahu punca sebenar kematian.
Pada 30 April 2021, hasil bedah siasat keluar. Dan di situlah segala rahsia yang cuba disorok terbongkar.
Arwah lemas kerana mulut dan hidung ditutup. Dan lebih kejam, ada koyakan pada saluran najis akibat diliwat.
Berita yang tidak mampu diterima akal seorang ibu atau mana-mana manusia waras.
Walau patah, mereka tetap berdiri. Walau hancur, mereka tetap melawan.
Dalam tulisannya, si ibu menegaskan bahawa mereka redha, tetapi mereka tidak akan melepaskan perjuangan untuk menuntut keadilan buat anak syurga mereka.
Empat tahun keluarga kecil ini menanggung rindu, marah, kecewa dan luka yang tidak pernah hilang. Namun dengan hukuman yang akhirnya dijatuhkan minggu ini, ramai yang melihatnya sebagai satu bentuk pembelaan buat arwah Muhammad Afiq Rizqin.
Tiada apa pun yang boleh mengembalikan senyuman kecil itu, tiada apa yang boleh memadam trauma yang dilalui ibu dan ayahnya, tetapi sekurang-kurangnya keadilan itu akhirnya menyebelahi mereka.
Hukuman penjara 30 tahun dan 13 sebatan yang dikenakan ke atas pelaku menjadi isyarat jelas bahawa dosa terhadap seorang bayi tidak akan sesekali terlepas daripada undang-undang dan pembalasan.
Kisah adik Afiq mengingatkan seluruh negara bahawa anak kecil bukan sekadar amanah, tetapi nyawa yang wajib dijaga tanpa kompromi. Dan hari ini, walaupun jasadnya sudah lama pergi, perjuangannya tetap hidup melalui setiap baris tulisan seorang ibu yang tidak pernah berhenti berharap. Kes bayi Afiq terus kekal sebagai peringatan tentang pentingnya keselamatan anak kecil.
Keadilan itu mungkin datang lambat, tetapi ia hadir juga akhirnya menjadi penutup luka paling pedih dalam hidup mereka. Arwah Afiq telah pun kembali ke tempat yang paling selamat, dan hari ini, seluruh rakyat Malaysia turut sama menghembuskan nafas lega kerana kematiannya akhirnya terbela.
Sumber: BiEy Adawiah