
Kalau selama ni kita ingat budak umur 2-3 tahun cuma tahu main dan minta susu, apa kata anda tonton video ni! Betul-betul buat kita tersenyum dan teruja! Dalam satu video yang kini viral di media sosial, sekumpulan kanak-kanak comel di sebuah tadika dilihat melakukan pelbagai aktiviti yang bukan sekadar menyeronokkan, tapi juga sangat bermanfaat untuk perkembangan awal mereka.
Yang paling menarik, anak-anak kecil ni diajar untuk buat pelbagai aktiviti ala-ala surviving skills! Mereka diajar untuk buat jus, pecahkan biskut (ala-ala memasak), mengait, menggubah daun di dalam pasu dan banyak lagi.
Setiap kanak-kanak tersebut dilihat sangat teliti, fokus dan melakukan setiap aktiviti dengan penuh minat untuk menyempurnakan tugasan yang diberi. Menarik betul!
Menurut perkongsian di Instagram, semua aktiviti yang dilakukan ini bukan saja bantu kanak-kanak belajar berdikari, tapi turut menggalakkan perkembangan motor halus, motor kasar serta deria sensori mereka.
Contohnya, bila mereka ‘role play’ menyediakan jus, memasak dan sebagainya ia dapat mengasah koordinasi tangan dan mata. Bila mereka tuang air atau susun barang, itu rangsang fokus, kawalan pergerakan dan peka terhadap persekitaran.
Menariknya, menerusi ruangan komen, ramai ibu bapa berkongsi pengalaman dan pandangan positif. Ada yang mengatakan, anak-anak ini dibiarkan bermain sendiri sebagai cara untuk melatih mereka lebih fokus dan belajar berdikari.
Malah, aktiviti seperti ni sangat sesuai untuk kanak-kanak yang mempunyai ADHD, kerana ia bantu mereka latih perhatian dan disiplin secara semula jadi tanpa tekanan.
Ada juga yang memuji pendekatan tadika ini kerana jauh lebih bermanfaat berbanding membiarkan anak kecil leka dengan skrin sepanjang hari. Aktiviti praktikal ni bantu anak rasa seronok sambil belajar dan paling penting, mereka belajar melalui pengalaman sebenar. Bila mereka buat sendiri, mereka lebih faham dan ingat.
Ramai ibu bapa yang terinspirasi lepas tonton video ni. Rata-rata kagum sebab anak seawal 2 tahun pun boleh belajar buat kerja asas, dan mereka nampak seronok! Inilah bukti bahawa bila diberi pendedahan yang sesuai sejak awal, anak-anak bukan saja mampu berdikari tetapi akan jadi lebih yakin, matang dan berdikari.
Semua ni bukan berlaku dalam satu malam, tapi hasil pendekatan yang konsisten dan sabar dari guru-guru yang berdedikasi.
Kalau di tadika mereka dah diajar sedemikian rupa, di rumah pun ibu ayah boleh galakkan perkara yang sama. Biar anak cuba pakai baju sendiri, kemas mainan lepas guna, atau bantu kita di dapur dengan kerja-kerja ringan. Yang penting, beri kepercayaan dan ruang untuk mereka mencuba.