Tertukar Sejak Lahir, Lelaki Jepun Dibesarkan Dalam Keluarga Miskin Menang Saman RM1 Juta Terhadap Hospital

Share

Bayangkan hidup susah berpuluh tahun, bukan sebab malas, tapi akibat satu kesilapan hospital yang berlaku sejurus selepas dilahirkan. Itulah nasib malang seorang lelaki di Jepun yang dibesarkan dalam keluarga miskin, sedangkan sepatutnya dia lahir dalam keluarga berada.

Menurut laporan South China Morning Post (SCMP), lelaki itu — seorang pemandu lori — akhirnya menang saman terhadap hospital yang bertanggungjawab atas pertukaran bayi tersebut. Mahkamah memerintahkan pihak hospital membayar pampasan sebanyak 38 juta yen (kira-kira RM1.05 juta).

Kes berprofil tinggi ini yang pernah mencetuskan perhatian dunia pada tahun 2013 kembali hangat diperkatakan selepas muncul laporan baharu di China melibatkan kanak-kanak yang diculik ketika bayi, dibesarkan dalam keluarga miskin dan kemudiannya bertemu semula dengan ibu bapa kandung mereka daripada keluarga kaya.

Kisah Pertukaran Bayi Di Hospital Jepun

Gambar Sekadar Hiasan

Pada November 2013, mahkamah Jepun memutuskan bahawa Hospital San-ikukai di daerah Sumida, Tokyo bertanggungjawab terhadap pertukaran bayi yang berlaku sejurus selepas kelahiran dua bayi lelaki pada tahun 1953. Pihak hospital diarahkan membayar pampasan kepada mangsa yang ketika itu berusia 60 tahun.

Namun, apa yang menyentuh hati, kebenaran mengenai pertukaran tersebut tidak terbongkar selama enam dekad, sehinggalah anak-anak lelaki keluarga kaya itu mula tidak berpuas hati dengan layanan abang sulung terhadap ayah mereka.

Kecurigaan Bermula Dari Perbezaan Wajah

Selepas kematian ibu, abang sulung berkenaan dilaporkan mengambil harta pusaka bapa daripada bahagian warisan ibu sebagai imbuhan menjaga orang tua itu dan bertindak menghantar bapa mereka ke rumah jagaan warga emas. Tindakan itu menimbulkan rasa curiga dalam kalangan adik-beradik.

Mereka kemudian menyedari rupa paras abang mereka agak berbeza berbanding ahli keluarga lain. Anak-anak keluarga berada itu turut teringat bahawa arwah ibu mereka pernah memberitahu bahawa pakaian bayi abang mereka telah tertukar selepas seorang jururawat memandikan bayi itu di hospital sejurus selepas kelahiran.

Ujian DNA Bongkar Kebenaran

Foto: Ihsan SCMP

Bagi mengesahkan keraguan, mereka kemudian senyap-senyap mengumpul puntung rokok yang dibuang oleh si abang tersebut dan menghantar sampel itu untuk ujian DNA pada tahun 2009.

Keputusan ujian itu cukup mengejutkan — ‘abang sulung’ itu tiada pertalian darah dengan keluarga mereka. Siasatan lanjut terhadap rekod hospital membawa kepada penemuan seorang pemandu lori di Tokyo yang dilahirkan hanya 13 minit lebih awal daripada bayi yang tertukar dengannya.

Dibesarkan Dalam Kemiskinan, Hilang Peluang Bersama Keluarga Kandung

Lelaki berkenaan dibesarkan oleh keluarga angkat dan kehilangan bapa angkat ketika berusia dua tahun, menyebabkan hidupnya melarat dalam kemiskinan. Demi meneruskan hidup, dia terpaksa bekerja sambilan bagi menampung persekolahan hingga tamat peringkat menengah.

Sementara itu, bayi yang sepatutnya menjadi dirinya dibesarkan dalam keluarga kaya, menerima pendidikan tinggi dan kemudian menjadi eksekutif syarikat. Malah, tiga adik lelaki keluarga berkenaan juga berjaya dalam dunia korporat.

Malangnya, ketika pemandu lori itu akhirnya mengetahui identiti ibu bapa kandungnya yang sebenar, kedua-duanya telah meninggal dunia.

Mahkamah Jepun Arah Hospital Bayar Pampasan

Hakim Masatoshi Miyasaka dalam penghakimannya memihak kepada plaintif dengan menyatakan bahawa lelaki berkenaan telah dipisahkan daripada ibu bapa kandungnya sejurus selepas kelahiran dan berhak menerima pampasan kerana berpendapat lelaki tersebut sepatutnya dibesarkan dalam persekitaran yang lebih selesa dari segi kewangan.

Hakim turut menyatakan bahawa mangsa kehilangan peluang untuk mengenali dan membesar bersama keluarga sebenar, malah kini tidak lagi berpeluang untuk bertemu dengan ibu bapanya yang sebenar.

Sumber: South China Morning Post (SCMP)

Published by
Nor Yusoff