
Ramai ibu bapa baru menganggap sendawakan bayi hanyalah rutin kecil selepas menyusu. Hakikatnya, ia jauh lebih penting daripada itu. Sendawa bukan pilihan, tetapi satu langkah asas untuk memastikan bayi selesa dan selamat.
Perkongsian ini bukan untuk menakutkan, tetapi sebagai peringatan supaya mak ayah lebih peka. Angin yang terperangkap dalam perut bayi boleh membawa kepada pelbagai masalah, malah dalam situasi tertentu, boleh menjadi serius.
Menurut Lactation Educator, Ms. Elpeni Ramli dari Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, bayi perlu disendawakan setiap kali selepas menyusu, sama ada menyusu badan atau menggunakan botol.

Kenapa Sendawakan Bayi Itu Penting?
Setiap kali bayi menyusu, mereka bukan sahaja menelan susu tetapi juga udara. Udara ini akan terkumpul dalam perut dan menyebabkan ketidakselesaan jika tidak dikeluarkan.
Antara kesan yang boleh berlaku:
- Perut kembung dan keras
- Muntah atau gumoh
- Batuk secara tiba-tiba
- Sukar tidur dan mudah meragam
- Risiko susu masuk ke saluran pernafasan
- Risiko SIDS (Sudden Infant Death Syndrome)
Lebih membimbangkan, jika bayi terus dibaringkan tanpa sendawa, susu boleh naik semula ke kerongkong dan masuk ke paru-paru. Keadaan ini boleh menyebabkan bayi tersedak atau lemas ketika tidur. Perkara seperti ini boleh dielakkan dengan langkah yang sangat mudah.
3 Teknik Sendawakan Bayi Yang Mak Ayah Perlu Tahu
Menurut beliau lagi, terdapat tiga posisi asas yang boleh membantu bayi sendawa dengan lebih mudah.
1. Posisi duduk
Pegang rahang bayi dengan lembut dan condongkan badan bayi sedikit ke depan. Tepuk atau gosok belakang bayi secara perlahan sehingga bunyi sendawa keluar.
2. Posisi bahu
Letakkan kain di bahu anda, kemudian sandarkan bayi di bahu. Tepuk belakang bayi dengan perlahan sambil menggosok dengan gerakan lembut.
3. Posisi meniarap di lutut
Letakkan bayi secara meniarap di atas paha atau lutut anda. Sokong bahagian muka dan dada bayi, kemudian gerakkan perlahan sambil menepuk belakangnya.

Tip Ringkas Untuk Ibu Bapa
- Jika bayi belum sendawa selepas lima minit, cuba tukar posisi
- Jangan paksa bayi jika nampak tidak selesa
- Jadikan amalan setiap kali selepas menyusu, siang dan malam
Apa Jadi Kalau Bayi Tak Disendawakan?
Mengabaikan sendawakan bayi boleh meningkatkan risiko bayi terjeluak atau tersedak, terutama apabila terus dibaringkan selepas menyusu.
Antara kesan yang mungkin berlaku:
1. Perut kembung dan tidak selesa
Angin yang terperangkap membuatkan perut bayi terasa penuh dan tegang. Ini menyebabkan bayi mudah meragam dan tidur terganggu.
2. Kerap muntah atau terjeluak
Udara dalam perut menolak susu naik semula ke atas. Keadaan ini boleh menjejaskan pertambahan berat badan dan meningkatkan risiko tersedak.
3. Batuk atau tersedak ketika tidur
Susu yang naik semula boleh masuk ke saluran pernafasan apabila bayi baring, menyebabkan batuk tiba-tiba atau sesak nafas.
4. Gangguan penghadaman
Bayi yang tidak disendawakan lebih mudah mengalami kolik, sembelit atau cirit-birit serta ketidakselesaan selepas menyusu.
5. Risiko SIDS (Sudden Infant Death Syndrome)
Ini antara yang paling ditakuti. Jika susu atau angin mengganggu saluran pernafasan semasa tidur, risiko lemas dan kematian mengejut boleh meningkat tanpa tanda awal.
Kesimpulannya
Sendawakan bayi mungkin nampak seperti perkara kecil, tetapi kesannya sangat besar. Ia hanya mengambil masa dua hingga lima minit, namun mampu memberi kelegaan kepada bayi dan mengelakkan pelbagai risiko yang tidak diingini.
Jangan tunggu sampai bayi tidak selesa. Jadikan sendawa sebagai rutin wajib setiap kali selepas menyusu. Kadang perkara paling simple itulah yang paling penting untuk keselamatan anak.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!





