
Sebagai ibu bapa, memang naluri kita sentiasa mahu yang terbaik untuk anak. Dari saat mereka lahir, setiap perubahan kecil dalam perkembangan mereka akan diperhatikan – bila mula meniarap, merangkak, berjalan, bercakap dan berinteraksi dengan orang sekeliling. Semua ini adalah sebahagian daripada proses perkembangan semula jadi seorang kanak-kanak.
Namun hakikatnya, setiap anak membesar dengan kadar yang berbeza. Ada yang cepat bercakap, ada yang lambat sedikit berjalan, dan ada juga yang mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran. Perkara seperti rangsangan di rumah, kesihatan, pemakanan dan peluang bermain juga boleh mempengaruhi perkembangan mereka.
Dalam masa yang sama, tidak dinafikan ramai ibu bapa mudah rasa tertekan apabila anak sering dibandingkan dengan anak orang lain. Apabila melihat rakan sebaya sudah mencapai sesuatu tahap perkembangan, secara tidak langsung ibu ayah mula tertanya-tanya sama ada perkembangan anak sendiri berada dalam keadaan normal atau sebaliknya.
Sebab itu penting untuk ibu bapa memahami asas perkembangan kanak-kanak. Dengan pengetahuan ini, kita boleh mengenal pasti sama ada sesuatu perkembangan itu masih dalam julat normal atau sebenarnya menunjukkan tanda-tanda lewat perkembangan kanak-kanak yang memerlukan perhatian.
Berikut adalah perkongsian yang ditulis oleh Dr Poongundran A/L Pannerselvan, Pakar Pediatrik mengenai tahap perkembangan seorang bayi hingga dia membesar sebagai kanak-kanak.
Memahami Maksud Lewat Perkembangan Kanak-Kanak

Bila bergelar ibu ayah anda kena tahu dan pantau perkembangan anak sama ada normal atau lewat. Kadangkala rasa tertekan bila orang asyik bandingkan anak dia dengan anak kita. Mungkin jika dia lewat perkembangan boleh segera bertindak membuat rawatan selanjutnya.
Namun tentu ramai ibu bapa masih keliru apa yang dimaksudkan dengan lewat perkembangan. Bilakah yang dikatakan seseorang bayi itu lewat perkembangannya? Adakah bila seorang bayi berusia 1 tahun 4 bulan dan masih belum berjalan dibandingkan dengan bayi-bayi lain yang sudah boleh berjalan sekitar usia 10–11 bulan?
Bila ramai kawan-kawan membandingkan kebolehan anak masing-masing, ibu ayah tentu mula risau tentang perkembangan anak sendiri.
Perkembangan adalah satu proses di mana seseorang bayi atau kanak-kanak mula berinteraksi, belajar dan berkembang menjadi seorang dewasa. Kanak-kanak ini mempelajari skil-skil yang sofistikated untuk berkembang menjadi dewasa yang serba berkebolehan seperti berjalan, bertutur, bermain, berfikir dan berkomunikasi.
Maksud sebenar lewat perkembangan kanak-kanak adalah kelewatan perkembangan seseorang kanak-kanak jika dibandingkan dengan kanak-kanak lain dalam lingkungan umur yang sama dari segi pelbagai aspek.
Aspek perkembangan yang dinilai
- Perkembangan pergerakan kasar kanak-kanak – seperti berjalan, berlari dan melompat.
- Perkembangan pergerakan halus kanak-kanak – seperti penggunaan tangan dan cara memegang objek.
- Perkembangan bahasa dan pertuturan – cara kanak-kanak bertutur, memahami dan menggunakan bahasa.
- Perkembangan kognitif dan intelek – cara kanak-kanak memahami sesuatu, berfikir dan belajar.
- Perkembangan sosial dan emosi – cara mereka berinteraksi dengan orang lain serta mula berdikari.
Kelewatan perkembangan ini boleh bersifat sementara atau kekal.
Kelewatan sementara biasanya berlaku kepada kanak-kanak yang lahir pramatang, mengalami masalah kesihatan tertentu, dimasukkan ke hospital dalam tempoh lama, kurang peluang untuk belajar kemahiran baharu atau mengalami tekanan dalam keluarga. Dalam kebanyakan keadaan, perkembangan mereka akhirnya akan kembali ke tahap optimum.
Namun begitu, lewat perkembangan kanak-kanak yang bersifat kekal biasanya menunjukkan masalah dalam satu atau lebih aspek seperti pemahaman, pergerakan, komunikasi, pendengaran atau penglihatan.
Antara punca yang boleh menyebabkan keadaan ini termasuklah cerebral palsy, masalah berkaitan otot, autisme, gangguan bahasa, masalah emosi serta gangguan penglihatan atau pendengaran.
Setiap Kanak-Kanak Berkembang Pada Kadar Berbeza
Perkembangan bagi seseorang kanak-kanak biasanya dilihat melalui julat perkembangan tertentu. Kita tahu bahawa setiap kanak-kanak mempunyai tahap perkembangan yang berbeza antara satu sama lain.
Hanya sekiranya kanak-kanak tersebut telah melangkaui julat perkembangan bagi umur tertentu, barulah kita menganggap kemungkinan berlakunya lewat perkembangan kanak-kanak.
Antara tanda-tanda bahaya yang perlu diperhatikan mengikut peringkat umur adalah seperti berikut:
Umur 2 Bulan
- Tiada respon terhadap bunyi kuat
- Tidak senyum kepada orang
- Tidak membawa tangan ke mulut
- Apabila meniarap tidak dapat mengangkat kepala
Umur 4 Bulan
- Mata tidak mengikut objek
- Tidak senyum kepada orang
- Kepala masih tidak stabil ketika duduk
- Tiada bunyi-bunyian dibuat
- Tidak memasukkan objek ke dalam mulut
- Tidak menolak kaki ke bawah apabila dipegang berdiri
- Masalah pergerakan mata
Umur 6 Bulan
- Tidak dapat mencapai objek berhampiran
- Tidak menunjukkan kasih sayang kepada penjaga
- Tiada respon terhadap bunyi
- Tiada bunyi seperti “ah”, “eh”, “oh”
- Tidak berpusing badan
- Tiada ketawa
- Badan terlalu keras atau terlalu lembik
Umur 9 Bulan
- Tidak menampung berat badan dengan kaki
- Tidak boleh duduk walaupun dibantu
- Tiada bunyi seperti “mama” atau “papa”
- Tidak respon apabila nama dipanggil
- Tidak mengenali orang yang biasa dilihat
- Tidak memindahkan barang dari satu tangan ke tangan lain
Umur 1 Tahun
- Tidak merangkak
- Tidak dapat berdiri walaupun dibantu
- Tidak menyebut perkataan seperti ibu atau ayah
- Tidak meniru pergerakan seperti “bye-bye”
- Tidak menunding jari ke objek
- Kemahiran yang pernah ada hilang
Umur 1 Tahun 6 Bulan
- Tidak boleh berjalan
- Tidak meniru tingkah laku orang lain
- Tidak belajar perkataan baru
- Tidak boleh menyebut sekurang-kurangnya 6 perkataan
- Tidak sedar apabila penjaga tiada
Umur 2 Tahun
- Tidak menggunakan frasa dua perkataan
- Tidak tahu kegunaan objek biasa
- Tidak mengikut arahan mudah
- Tidak berjalan dengan stabil
Umur 3 Tahun
- Sering jatuh atau tidak dapat naik tangga
- Pertuturan tidak jelas
- Tidak bermain dengan kanak-kanak lain
- Tidak bermain secara imaginasi
- Tiada kontak mata
Umur 4 Tahun
- Tidak boleh melompat
- Mempunyai masalah menconteng
- Tidak bermain imaginasi
- Tidak menghiraukan kanak-kanak lain
- Pertuturan tidak jelas
Umur 5 Tahun
- Tidak dapat menunjukkan pelbagai emosi
- Terlampau takut, agresif atau terlalu pasif
- Tidak mahu berinteraksi
- Sukar fokus lebih 5 minit
- Tidak dapat memberitahu nama sendiri
- Tidak dapat menceritakan aktiviti harian
- Tidak boleh melakukan penjagaan diri seperti memberus gigi tanpa bantuan
Jika Lewat Perkembangan Kanak-Kanak, Dapatkan Penilaian Doktor

Yang perlu ditegaskan adalah perkembangan kanak-kanak berbeza antara satu sama lain. Namun sekiranya tanda-tanda bahaya seperti yang dinyatakan di atas berlaku kepada anak anda, sebaiknya bawa anak berjumpa pakar kanak-kanak di hospital berdekatan.
Doktor akan menilai perkembangan anak sejak lahir, melakukan pemeriksaan sistem saraf serta menilai aspek perkembangan secara menyeluruh sebelum menentukan rawatan atau intervensi yang sesuai.
Antara terapi yang mungkin disarankan termasuk:
- Program intervensi awal – membantu perkembangan pergerakan, pertuturan, penulisan dan sensori.
- Fisioterapi – menguatkan otot dan meningkatkan pergerakan.
- Occupational Therapy – membantu kanak-kanak menyesuaikan diri dengan aktiviti harian.
- Audiologi dan pemeriksaan pendengaran – untuk menilai masalah pendengaran yang boleh menjejaskan pertuturan.
- Pakar pertuturan dan bahasa – membantu merangsang kemahiran komunikasi.
Jika seorang bayi berusia 1 tahun 4 bulan masih belum berjalan, dia mungkin mempunyai risiko lewat perkembangan kanak-kanak. Sekiranya dalam tempoh beberapa bulan berikutnya anak mula berjalan, biasanya ia masih dalam julat perkembangan normal.
Namun penilaian di hospital tetap digalakkan supaya sebarang masalah dapat dikenal pasti lebih awal dan rawatan yang sesuai dapat diberikan.
Kami juga tidak mengesyorkan urut kaki sebagai rawatan utama kerana punca sebenar kelewatan berjalan mungkin berkaitan dengan sistem saraf atau masalah lain yang memerlukan pemeriksaan pakar.
Sumber: doktorbudak.com
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!


