Lipan Ketika Banjir: Ancaman Senyap Musim Tengkujuh Yang Ramai Ibu Bapa Tak Sedar

Share

Lipan ketika banjir menjadi antara ancaman senyap yang sering tidak disedari ramai. Sejak semalam, media sosial dibanjiri dengan rakaman dan foto keadaan banjir di seluruh negara. Namun di sebalik gambar pokok tumbang, kereta rosak dan rumah ditenggelami air, ada satu bahaya tersembunyi yang meremangkan bulu roma iaitu lipan berbisa dan reptilia lain kini semakin dekat dengan kawasan rumah! Keadaan ini bukan lagi sesuatu yang pelik setiap kali musim tengkujuh melanda.

Foto: Threads @aimirulhailmi

Bagi ibu bapa, situasi ini perlu diberi perhatian lebih kerana si kecil biasanya teruja melihat air banjir tanpa mengetahui bahaya yang tersembunyi di sebaliknya. Air banjir bukan sekadar keruh dan kotor, malah boleh menjadi ‘laluan kecemasan’ bagi haiwan berbisa yang mencari tempat perlindungan.

Kenapa Lipan & Ular Banyak Ketika Banjir?

Arus deras dan air yang naik mendadak memaksa haiwan seperti lipan, ular dan kala jengking keluar dari sarang serta lubang persembunyian mereka. Bila kawasan tanah dan rumput tenggelam, haiwan ini akan menuju ke tempat lebih tinggi — termasuk:

  • Tiang rumah
  • Pagar
  • Dinding
  • Barang-barang yang hanyut
  • Ruang kering dalam rumah

Inilah yang dikongsikan oleh pengguna Threads @amirulhailmi apabila lipan dan ular dilihat ‘bertenggek’ di pagar rumahnya. Situasi itu bukan sahaja mengejutkan, tetapi cukup menakutkan. Video lipan berenang di permukaan air dan ular menjalar naik ke pagar rumah membuatkan ramai tidak senang duduk.

“Scary merry tengok tiang-tiang pagar rumah. Rumah dinaiki air, pagar dinaiki makhluk berbisa. Hati-hati sahabat-sahabat yang duduk kawasan banjir. Jangan excited main air,” tulisnya.

Bahaya Datang Tanpa Amaran, Jangan Teruja Main Air Banjir

Air banjir yang kelihatan ‘tenang’ sebenarnya menyembunyikan banyak bahaya seperti:

  • Arus deras yang tidak dapat dijangka
  • Lumpur pekat & serpihan barang tajam
  • Sisa pencemaran & bakteria berbahaya
  • Lipan, ular & serangga berbisa yang cuba menyelamatkan diri

Inilah sebabnya ibu bapa perlu 100% peka dan tidak membenarkan anak bermain air banjir walaupun sekejap. Kanak-kanak lebih mudah dipatuk atau disengat kerana mereka tidak nampak apa yang bersembunyi di celah-celah air keruh.

Apa Perlu Dilakukan Jika Terpaksa Meredah Banjir?

  1. Pakai kasut getah atau but, elakkan kaki terdedah.
  2. Gunakan kayu untuk mengetuk atau memeriksa kawasan sebelum melangkah.
  3. Elakkan pegang dinding atau pagar tanpa melihat dahulu.
  4. Sentiasa pimpin anak kecil ketika melalui kawasan air.
  5. Jika ternampak lipan atau ular, jauhkan diri serta-merta.

Jika Anak Digigit Lipan, Apa Perlu Buat?

  • Bersihkan kawasan sengatan dengan air bersih & sabun.
  • Letak ais untuk kurangkan bengkak.
  • Pantau tanda alergi seperti muntah, demam atau sesak nafas.
  • Bawa ke klinik atau hospital dengan segera.

Lipan kecil sekalipun boleh menyebabkan reaksi kuat pada kanak-kanak kerana sistem imun mereka lebih sensitif.

Ibu Bapa, Jangan Ambil Mudah Risiko Ini

Musim tengkujuh datang bersama risiko yang tidak kelihatan. Ancaman lipan ketika banjir mungkin dianggap remeh oleh sesetengah orang, tetapi kesan sengatannya boleh memudaratkan terutama bagi anak kecil. Sebab itu, kawasan sekitar rumah, pusat pemindahan atau mana-mana kawasan banjir perlu sentiasa diperiksa dan dipantau.

Utamakan keselamatan, kurangkan risiko. Anak-anak mungkin tidak memahami bahaya, tetapi kitalah pelindung mereka. Stay safe, ibu ayah!

BACA LAGI : Detik Cemas Ibu Selamatkan Bayi Ketika Air Banjir Naik Mendadak

Sumber : Threads @amirulhailmi

Published by
Nana