
Zaim Ikhwan ditenangkan ibu bapanya selepas gagal menaham perasaan, apabila isterinya diperintahkan ke Penjara Wanita Kajang serta-merta.
Suasana di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya baru-baru ini menjadi saksi betapa beratnya ujian seorang ayah, apabila Zaim Ikhwan Zahari, bapa kepada arwah Zayn Rayyan Abdul Matin, tidak mampu menahan emosi selepas keputusan mahkamah diumumkan. Kisah arwah Zayn Rayyan sekali lagi menyentuh hati rakyat Malaysia.
Menurut Sinar Harian, dengan suara sebak dan wajah penuh pilu, Zaim menjerit ke arah pegawai penyiasat, “Semoga kamu dilaknat!” selepas isterinya, Ismanira Abdul Manaf, dijatuhi hukuman penjara lima tahun kerana mengabaikan anak autisme mereka dua tahun lalu. Tangisan dan jeritan itu bukan sekadar amarah, tetapi terbit daripada hati yang sudah hancur menanggung kehilangan arwah Zayn Rayyan.
Ahli keluarga yang berada di mahkamah segera menenangkan Zaim sebelum membawanya keluar dari kamar mahkamah menuju ke lokasi sidang media. Keadaan menjadi semakin tegang apabila ibunya turut meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pegawai penyiasat dengan nada kecewa, menzahirkan betapa dalamnya luka yang ditanggung keluarga ini.
Hakim Dr. Syahliza Warnoh menolak permohonan Ismanira untuk menangguhkan hukuman sementara menunggu rayuan, dengan alasan tiada faktor istimewa yang boleh membolehkan penangguhan diberi. Maka, Ismanira diperintah menjalani hukuman penjara lima tahun serta-merta di Penjara Wanita Kajang.
Keputusan itu sekali lagi membuka luka lama kisah tragis kehilangan arwah Zayn Rayyan, kanak-kanak autisme berusia enam tahun yang ditemukan meninggal dunia berhampiran anak sungai di Damansara Damai pada Disember 2023. Kes ini pernah menggemparkan seluruh negara, meninggalkan kesan mendalam kepada masyarakat yang turut bersimpati dengan nasib keluarga kecil ini.
Kehidupan tidak akan sama lagi buat Zaim Ikhwan dan keluarganya. Namun, di sebalik amarah dan air mata itu, seluruh rakyat Malaysia mendoakan agar mereka terus diberi kekuatan. Semoga roh kecil arwah Zayn Rayyan ditempatkan di syurga tertinggi dan menjadi peneman ayah dan ibunya kelak.
Buat kita semua, ambillah iktibar daripada kisah ini. Sayangi anak sepenuh hati, lindungi mereka dengan doa dan perhatian, kerana setiap anak adalah amanah yang hanya datang sekali dalam hidup.