Lufya Omar Tegas Larang Anak Main Roblox, Bimbang Kesan Gajet Pada Kesihatan Mental

Share

Pelakon dan penyanyi terkenal, Lufya Omar, meluahkan kebimbangan terhadap trend ibu bapa masa kini yang terlalu mudah memberikan telefon bimbit kepada anak-anak tanpa kawalan. Menurutnya, tindakan itu boleh memberi kesan besar terhadap kesihatan mental dan perkembangan emosi kanak-kanak.

Menerusi perkongsian di Instagram Story, Lufya Omar, atau nama sebenarnya Lutfyah Sheikh Omar, 40, berkongsi semula artikel media tempatan bertajuk “Adik Hilangkan 1 Juta Point Roblox Punca Dikelar”, yang menceritakan insiden membabitkan dua kanak-kanak akibat ketagihan permainan dalam talian.

Lufya Omar menegaskan bahawa beliau tidak pernah membenarkan anak perempuannya, Laana Haura, 8 tahun, memiliki telefon bimbit mahupun bermain permainan video seperti Roblox.

“Anak saya tak ada telefon bimbit, tak main game apatah lagi Roblox ke Roadtax ke, tak boleh. Dari dulu,” tulisnya.

Lufya Omar Nasihat Ibu Bapa Kawal Penggunaan Gajet Anak

Menurutnya lagi, ibu bapa perlu memainkan peranan lebih tegas dalam mengawal penggunaan telefon bimbit anak-anak. Beliau percaya, terlalu banyak pendedahan tanpa bimbingan boleh mengganggu emosi, tumpuan dan kesihatan mental mereka.

“Tolonglah ibu bapa jaga kesihatan mental anak-anak. Jangan sebab sibuk, kemudian bagi je telefon bimbit tanpa kawal. Ramai orang mental sekarang,” pesannya lagi.

Insiden Ketagihan Roblox Cetus Kebimbangan

Sebelum ini, media melaporkan seorang kanak-kanak berusia enam tahun cedera akibat dikelar oleh abangnya berusia sembilan tahun, dipercayai berpunca daripada permainan dalam talian Roblox. Difahamkan, mangsa telah merosakkan telefon pintar milik abangnya hingga menyebabkan kehilangan lebih sejuta ‘mata’ permainan yang dikumpul.

Mangsa kini berada dalam keadaan stabil dan menerima rawatan di Hospital Batu Pahat, manakala kedua-dua beradik itu diletakkan di bawah pengawasan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Didik Anak Tentang Risiko Gajet & Dunia Maya

Menyoroti isu ini, Lufya Omar berharap agar ibu bapa lebih cakna terhadap kesan buruk ketagihan gajet dan permainan dalam talian. Katanya, walaupun dunia digital kini menjadi sebahagian daripada kehidupan, anak-anak masih memerlukan pemantauan, disiplin dan bimbingan agar tidak hanyut dengan dunia maya.

✨ Pesan Pa&Ma: Jangan jadikan telefon bimbit sebagai ‘penjaga sementara’ anak-anak. Teknologi perlu digunakan dengan kawalan dan kasih sayang, agar mereka membesar dengan minda sihat dan emosi yang stabil. ❤️

Sumber: IG Lufya

Published by
Nana