Lukisan Ngeri & Kelar Tangan, Ibu Luah Kecewa Anak Kena Buli

Share

Air mata seorang ibu gugur bila menyedari anaknya sendiri terperangkap dalam penderitaan yang tidak terucap. Anak yang dulunya periang, kini lebih banyak mengurung diri, murung, malah mencederakan diri sendiri akibat tidak tahan menjadi mangsa buli.

Inilah realiti hitam yang didedahkan, betapa buli bukan sekadar gurauan kasar tetapi mampu merosakkan jiwa seorang remaja.

Menurut laporan Harian Metro, Nurul Afeeza Mohd Tarmedi menceritakan detik pilu apabila anak perempuannya yang masih di bangku Tingkatan Dua di Hulu Langat berubah secara drastik sejak berpindah sekolah Julai lalu.

“Saya tak tahu pun dia dibuli, dia tak pernah berkongsi cuma banyak berkurung dalam bilik.

“Saya perasan dia banyak asingkan diri, saya hanya tahu dia rupa-rupanya murung akibat dibuli sebelum cuti sekolah, itu pun bila adiknya beritahu kakak lukis gambar mengerikan.”

Katanya lagi, anak mengalami tekanan akibat diejek lantaran penampilan giginya agak ke depan (jongang dan dipulaukan rakan-rakannya di sekolah.

Nurul Afeeza yang juga ibu tunggal berkata,yang meluahkan rasa kesalnya itu sidang media di pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) turut  mendakwa pihak sekolah tidak mengambil tindakan sewajarnya untuk mengatasi isu terbabit.

Katanya, beliau sudah berjumpa dengan guru kaunseling dan guru disiplin, namun tindakan buli terhadap anaknya masih berlarutan.

“Sampai kelar tangan sendiri, itu yang saya tak boleh terima…”

“Saya mengadu kepada guru disiplin yang ada murid tarik rambutnya dan ejek, kejadian ini baru lagi, 12 September lalu. Saya juga maklumkan anak saya lukis gambar yang mengerikan, malangnya cikgu seperti tak ambil serius.

“Cikgu cuma beritahu minta anak saya pergi sekolah tapi tak dibenarkan jumpa murid (yang buli) disebabkan ada SOP, sedangkan anak saya dibuli sebegini, tak ada pula ikut SOP, sampai kelar tangan sendiri, itu yang saya tak boleh terima,” katanya.

Adik perempuan sebulan tak ke sekolah, trauma dipukul dan disepak

Foto hiasan

Situasi sama turut menimpa pelajar lain. Ada yang tidak ke sekolah hampir sebulan kerana trauma selepas ditarik tudung, ditumbuk dengan tumbler kaca dan ditendang belakang badan. Keluarga mendakwa apabila perkara itu dimaklumkan kepada guru, pihak sekolah lebih memihak kepada pembuli, bukannya mangsa.

kakak kepada seorang lagi mangsa buli berusia 14 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Siti Wan Norasyirah, 24, berkata adik perempuannya mengadu tudung ditarik, muka dipukul dengan tumbler kaca

dan disepak di bahagian belakang badan.

“Saya dan keluarga belum sempat buat laporan polis kerana adik baru beritahu insiden dibuli di sekolah, lama dia pendam seorang. Nak gali cerita daripada dia sangat susah sebab dia tak nak berkongsi.

“Bila maklumkan pada cikgu yang dia disepak terajang, adik maklumkan cikgu memihak kepada si pembuli dan dia langsung tak diberikan peluang untuk membela diri.

“Malah, dalam keadaan sekarang adik saya yang dah sebulan tak hadir sekolah, tak ada cikgu yang mencari atau cuba hubungi kami. Bila kami tanya sekolah, mereka hanya maklumkan sepatutnya ibu bapa yang beritahu sekolah (jika tak hadir),” katanya.

Mereka rahsiakan, minta anak saya tandatangan surat tak berlaku buli di sekolah

Lebih mengejutkan, seorang lagi bapa, Mohd Izham Zakri, mendakwa anak lelakinya ditampar rakan tidak mendapat pembelaan sewajarnya. Malah,  anaknya turut menghadapi kes buli fizikal dan buli siber membabitkan beberapa guru di sekolah.

Lebih mengecewakan, pihak sekolah didakwa menyembunyikan perkara itu dengan meminta anaknya menandatangani surat kononnya tiada insiden buli berlaku  tanpa pengetahuan ibu bapa.

Foto hiasan

“Anak saya aktif dalam sukan malah mewakili sekolah dalam pasukan bola sepak hingga ke peringkat negeri. Apa yang saya kesalkan, cikgu tahu anak saya dibuli dari 2023 sampai sekarang tapi saya tak diberitahu.

“Mereka rahsiakan perkara ini, malah dalam diam minta anak saya tandatangan satu surat menyatakan tak berlaku buli di sekolah tanpa pengetahuan ibu bapa.

“Malah, ada guru pula yang buat laporan polis ke atas saya, kononnya saya campur tangan hal sekolah,” katanya yang memberitahu sudah membuat laporan polis dan melalui SISPAA (Sistem Pengurusan Aduan Awam).

Beliau kini hanya berharap Kementerian Pendidikan serta Pejabat Pendidikan Daerah segera campur tangan sebelum lebih ramai anak-anak lain menjadi korban dalam diam.

Sumber: Harian Metro

Published by
Nor Yusoff