Keibubapaan

“Maafkan Ibu…” 9 Jam Dalam Kereta, Anak Dua Tahun Maut

Share

Siapa sangka, rutin menghantar anak bertukar tragedi. Jeritan seorang ibu memecah sunyi. Seorang wanita yang baru sedar, anak kecilnya telah pergi buat selama-lamanya di dalam kereta setelah 9 jam ditinggalkan.

Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun ditemui tidak sedarkan diri di dalam sebuah Proton Saga putih. Tubuh kecil itu sudah kaku. Nyawanya sudah tiada.

Menurut Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim, mangsa dipercayai ditinggalkan di dalam kenderaan sejak jam 8 pagi dan hanya disedari sekitar jam 5 petang, selepas ibunya selesai waktu bekerja.

Difahamkan, ibu mangsa terlupa untuk menghantar anaknya ke tempat pengasuh. Satu kelalaian yang tidak pernah disengajakan  namun membawa akibat yang terlalu besar untuk ditanggung.

“Pihak polis menerima panggilan MERS 999 pada 6.15 petang daripada orang awam memberitahu terdapat seorang kanak-kanak meninggal dunia di dalam kereta.

“Hasil siasatan awal, pihak polis mendapati mangsa tidak sedarkan diri di dalam Proton Saga putih dan dipercayai ditinggalkan di dalam kenderaan itu oleh ibunya seawal 8.00 pagi.

Panggilan kecemasan diterima MERS 999 pada jam 6.15 petang. Pasukan perubatan mengesahkan kanak-kanak itu telah meninggal dunia. Jenazah dihantar ke Hospital Rembau untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, dan ibu mangsa ditahan bagi membantu siasatan.

Di sebalik pita kuning dan siasatan polis, ada satu kisah yang lebih menyayat hati seorang ibu yang meraung, menjerit, memanggil nama anaknya yang tidak lagi menjawab.

Seorang pekerja kedai pakaian berhampiran berkata, dia bergegas keluar selepas terdengar jeritan wanita tersebut.

“Bila kami tengok, ada kanak-kanak dalam kereta. Ibu dia menjerit, menangis… kami pun terkedu.”

Tiada siapa yang benar-benar bersedia melihat kematian seperti ini. Lebih-lebih lagi bila ia melibatkan anak kecil, yang sepatutnya sedang belajar bercakap, berlari, memeluk ibu tanpa henti.

Bila Penat & Rutin Jadi Perangkap

Tragedi ini bukan untuk kita menghukum, tetapi untuk kita berhenti seketika dan muhasabah.

Ramai ibu bapa hari ini hidup dalam rutin yang sangat ketat  hantar anak, kejar masa, kerja, mesyuarat, tekanan. Dalam dunia yang bergerak terlalu laju, otak manusia boleh ‘auto-pilot’. Kesilapan boleh berlaku, walaupun pada ibu yang penyayang.

Namun, hakikatnya:
Kanak-kanak tidak boleh ditinggalkan walau sesaat di dalam kereta.

Suhu dalam kenderaan tertutup boleh meningkat dengan cepat. Badan anak kecil tidak mampu mengawal suhu seperti orang dewasa. Dalam masa singkat, ia boleh membawa maut.

Sebagai ibu bapa:
• Biasakan check seat belakang sebelum keluar kereta
• Letakkan beg tangan, telefon atau kad kerja di seat belakang sebagai peringatan
• Wujudkan rutin “double check” walaupun rasa yakin
• Jangan malu untuk saling mengingatkan sesama pasangan

Kerana satu nyawa terlalu mahal untuk digadaikan dengan alasan “terlupa”.

Tragedi ini meninggalkan luka yang tak akan sembuh sepenuhnya. Seorang ibu kehilangan anak. Seorang anak pergi tanpa sempat membesar.

Semoga kisah ini menjadi peringatan buat kita semua
bahawa kasih sayang bukan sekadar niat,
tetapi juga tindakan kecil yang menyelamatkan nyawa.

Al-Fatihah buat si kecil.
Dan doa agar semua ibu bapa terus dilindungi daripada kelalaian yang tidak disengajakan.

Sumber: Metro

Published by
Nor Yusoff