Keibubapaan

Magnesium Untuk Kanak-Kanak: Fakta Penting & Risiko Yang Ibu Bapa Wajib Tahu

Share

Magnesium untuk kanak-kanak semakin menjadi topik penting dalam kalangan ibu bapa yang peka terhadap kesihatan anak. Ramai ibu bapa kini semakin mengambil berat tentang keperluan nutrisi anak, terutama apabila anak mengalami masalah seperti sukar tidur, cepat penat, emosi tidak stabil atau terlalu aktif. Salah satu mineral yang sering menjadi perhatian ialah magnesium.

Persoalannya, adakah magnesium selamat untuk kanak-kanak? Ikuti perkongsian Dr Zubaidi Hj Ahmad mengenai persoalan ini.

Jawapannya, ya, kanak-kanak boleh mengambil magnesium, tetapi perlu diberi dengan cara yang betul dan tidak sewenang-wenangnya.

Magnesium ialah mineral penting yang diperlukan tubuh untuk menyokong pelbagai fungsi utama, termasuk perkembangan fizikal dan kesihatan otak anak. Namun, pengambilan magnesium perlu mengikut dos yang sesuai berdasarkan umur dan keperluan individu.

Magnesium untuk Kanak-Kanak Penting Untuk Apa?

Magnesium memainkan peranan besar dalam tumbesaran dan perkembangan kanak-kanak, antaranya:

1. Membantu pembentukan tulang dan gigi yang kuat

Magnesium bekerjasama dengan kalsium dan vitamin D untuk memastikan pertumbuhan tulang lebih sihat dan kuat.

2. Menyokong fungsi saraf dan otot

Mineral ini membantu penghantaran signal antara otak dan badan, selain penting untuk pergerakan otot yang normal.

3. Membantu kestabilan emosi dan tidur

Magnesium sering dikaitkan dengan kesan menenangkan sistem saraf. Ia boleh membantu kanak-kanak yang mudah resah, sukar tidur atau mengalami gangguan fokus seperti ADHD (sebagai sebahagian daripada pelan rawatan keseluruhan, bukan rawatan utama).

4. Menyokong sistem imun dan penghasilan tenaga

Magnesium membantu tubuh menukar makanan kepada tenaga dan menyokong fungsi imun badan.

Berapa Dos Magnesium untuk Kanak-Kanak Yang Sesuai?

Mengikut saranan Recommended Nutrient Intake (RNI) Malaysia, keperluan magnesium harian adalah seperti berikut:

  • 1 hingga 3 tahun: 80 mg sehari
  • 4 hingga 8 tahun: 130 mg sehari
  • 9 hingga 13 tahun: 240 mg sehari

Walaupun begitu, dos sebenar boleh berbeza bergantung pada tahap kesihatan, pemakanan dan berat badan anak. Oleh itu, penilaian individu sangat penting sebelum memberikan sebarang suplemen.

Sumber Magnesium Semula Jadi Yang Baik Untuk Anak

Sebelum fikir tentang suplemen, ibu bapa digalakkan mendapatkan magnesium melalui makanan harian terlebih dahulu.

Antara makanan kaya magnesium termasuk:

  • Bayam dan sayur-sayuran hijau
  • Kekacang seperti badam, gajus dan kacang tanah
  • Bijirin penuh seperti oat dan roti gandum penuh
  • Pisang
  • Avokado
  • Ikan seperti salmon dan tuna
  • Susu dan yogurt

Pemakanan seimbang biasanya sudah mencukupi untuk memenuhi keperluan magnesium kebanyakan kanak-kanak tanpa perlu bergantung kepada suplemen tambahan.

Bila Anak Perlukan Suplemen Magnesium?

Pengambilan magnesium yang mencukupi membantu anak tidur lebih lena.

Suplemen magnesium biasanya hanya dipertimbangkan jika anak mempunyai keadaan tertentu seperti:

  • Kerap sukar tidur atau terlalu resah
  • Mengalami kekejangan otot
  • Sakit kepala berulang
  • Mudah letih atau kurang bertenaga
  • Pemakanan terlalu terhad atau terlalu memilih makanan
  • Disahkan kekurangan magnesium melalui ujian darah atau pemeriksaan doktor

Penting untuk difahami bahawa tidak semua anak memerlukan suplemen. Dalam kebanyakan kes, pemakanan harian sudah mencukupi.

Jangan Ambil Mudah, Dos Berlebihan Ada Risiko

Walaupun magnesium untuk kanak-kanak mempunyai banyak manfaat, pengambilan berlebihan juga boleh mendatangkan kesan sampingan.

Antaranya:

  • Cirit-birit
  • Loya atau sakit perut
  • Tekanan darah rendah
  • Gangguan keseimbangan elektrolit

Sebab itu, ibu bapa dinasihatkan tidak membeli atau memberi suplemen magnesium secara sendiri, walaupun ia mudah didapati di farmasi atau platform online.

Kesimpulannya

Magnesium untuk kanak-kanak sememangnya penting untuk tumbesaran dan perkembangan, tetapi pengambilannya perlu terkawal dan berasaskan keperluan sebenar.

Utamakan sumber makanan semula jadi terlebih dahulu. Jika anak menunjukkan simptom tertentu atau anda bercadang memberi suplemen, dapatkan nasihat doktor atau pakar kesihatan terlebih dahulu.

Kadang-kadang kita terlalu fokus mencari supplement terbaik, sedangkan asas paling penting tetap bermula daripada pemakanan yang seimbang dan gaya hidup sihat.

Sumber: Dr. Zubaidi Hj Ahmad

Published by
Nor Yusoff