Penjagaan Anak

Mak Ayah Ada Asma & Resdung, Anak Boleh Kena Ekzema?

Share

Ramai ibu bapa terkejut apabila anak kecil mereka mengalami ekzema sejak bayi, sedangkan mereka merasakan penjagaan sudah dilakukan sebaik mungkin. Hakikatnya, anak kena ekzema bukan sekadar masalah kulit biasa. Ia boleh menjadi petanda awal kepada satu keadaan genetik yang dikenali sebagai Atopic March atau Langkah Atopik.

Jadi, jangan pelik sekiranya ibu mempunyai asma dan ayah pula ada masalah resdung, kemudian anak pula mengalami ekzema. Berdasarkan perkongsian Public Health Malaysia, keadaan ini bukan berpunca daripada “terkenan” atau kesilapan pemakanan ketika mengandung, sebaliknya melibatkan faktor genetik dan sistem imun.

Ekzema, Asma & Resdung Adalah “Tiga Beradik” Penyakit Atopi

Ramai ibu bapa tidak sedar bahawa ekzema, asma (lelah) dan resdung (allergic rhinitis) sebenarnya berada dalam satu kumpulan penyakit yang sama, iaitu penyakit atopik. Ketiga-tiganya sering digelar sebagai “tiga beradik” kerana berkongsi punca yang sama.

Punca utama kepada keadaan ini ialah sistem imun yang terlalu sensitif terhadap persekitaran seperti habuk, alergen, perubahan cuaca dan jangkitan virus. Sensitiviti ini pula boleh diwarisi secara genetik daripada ibu bapa. Sebab itu, apabila mak asma dan ayah resdung, risiko anak kena ekzema menjadi lebih tinggi berbanding kanak-kanak lain.

Apa Itu Atopic March?

Atopic March merujuk kepada perkembangan penyakit atopik yang berlaku secara berperingkat mengikut usia. Ia tidak berlaku serentak, tetapi “bergerak” dari satu organ ke organ lain seiring dengan tumbesaran anak.

Fenomena ini penting untuk difahami supaya ibu bapa boleh mengambil langkah pencegahan lebih awal dan tidak hanya merawat simptom semata-mata.

Fasa 1: Bayi & Kanak-kanak Awal (Ekzema)

Pada peringkat awal, bayi mula menunjukkan tanda-tanda seperti kulit kering, kemerahan dan gatal. Ini menandakan benteng pertahanan kulit atau skin barrier

anak lemah. Keadaan inilah yang menyebabkan anak kena ekzema.

Ekzema ini sebenarnya menjadi “pintu masuk” kepada alergen dan kuman dari persekitaran, sekali gus mencetuskan tindak balas imun yang berlebihan.

Fasa 2: Kanak-kanak Sekolah (Resdung)

Apabila ekzema mula berkurang, masalah atopik boleh “naik” ke bahagian hidung. Anak mungkin kerap bersin pada waktu pagi, hidung tersumbat, gatal atau berair. Inilah fasa resdung atau allergic rhinitis.

Pada peringkat ini, ramai ibu bapa menyangka anak hanya selesema biasa, sedangkan ia sebenarnya berkait rapat dengan sejarah ekzema sebelum ini.

Fasa 3: Remaja & Dewasa (Asma)

Fasa terakhir Atopic March melibatkan paru-paru. Anak mungkin mula mengalami batuk pada waktu malam, nafas berbunyi atau sesak dada, dan ada yang memerlukan penggunaan inhaler. Ini adalah fasa asma.

Walaupun tidak semua anak kena ekzema akan menghidap asma, kajian menunjukkan risikonya jauh lebih tinggi berbanding kanak-kanak tanpa sejarah ekzema.

Apa Yang Ibu Bapa Boleh Lakukan?

Kunci utama dalam mencegah Atopic March daripada menjadi lebih teruk ialah dengan “mengawal pintu masuk”, iaitu kulit anak. Kulit merupakan benteng pertama sistem imun.

Kajian mendapati bahawa jika ekzema bayi dikawal dengan baik sejak awal, terutamanya melalui penggunaan pelembab secara konsisten, benteng kulit dapat diperkuatkan. Ini membantu mengurangkan risiko alergen menembusi kulit dan mencetuskan rantaian Atopic March.

Kesimpulannya, jika mak asma dan ayah resdung, jangan terkejut jika anak kena ekzema. Yang penting, ibu bapa peka, bertindak awal dan konsisten dalam penjagaan kulit anak demi mencegah komplikasi di masa hadapan.

Sumber: Public Health Malaysia

Published by
SRM