
Mak ayah mana yang tidak mahukan kesempurnaan, mahu anak berjaya dengan cemerlang. Namun dalam memaksa anak cemerlang, ada di antara kita yang terlupa perasaan anak. Semakin anak ditekan, kita lupa menghargai usaha mereka dan inilah yang akan membuatkan anak mudah rasa rendah diri. Lama-kelamaan anak jadi makin ‘down’. Jiwanya amat terkesan.
Perkongsian dari Penulis Keibubapaan, Pn Wawa Shauqi ini patut mak ayah jadikan kesedaran. Walau dalam usaha kita menjadikan anak berjaya, usah dilupakan perasaan mereka.
Mak ayah yang sangat perfectionist cenderung mengkritik. Dan anak yang kerap sangat dikritik akan membesar dengan self-critic yang sangat kuat. Rasa diri tak cukup bagus. Tak layak. Tak mampu buat yang terbaik. Anak tu mungkin anak kita. Mungkin juga diri kita sendiri.
Kalau dulu, saya tahu je fakta di atas tu. Tapi selepas melalui terapi, saya dapat lihat sudut yang sebelum ni saya tak nampak — iaitu sudut isi hati anak. Luahan ini adalah luahan yang saya tulis mewakili isi hati anak, dan juga isi hati saya sendiri.
Asalnya, sikap perfectionist ni lahir dengan niat yang baik. Nak anak capai potensi mereka. Nak anak berjaya dalam hidup. Tapi bila perfectionist itu diterjemah dalam bentuk kritikan berterusan, kesannya sangat besar terutama dalam pembentukan emosi anak-anak.
Fokus kepada usaha, bukan hanya hasil. Contohnya: “Saya nampak awak cuba kuat tadi, mama bangga dengan awak.” Ucapan seperti ini memulihkan semangat anak.
Gunakan kaedah ‘sandwich’ — hargai kemajuan kecil sebelum menegur kekurangan. Contoh: “Mama rasa abang ni pengemas sebab mama nampak abang kemas barang kat bilik. Mesti tak ada masalah nak kemas lepas makan jugak.”
Terima bahawa anak tak sempurna. Mereka perlukan ruang untuk silap, bangun, dan belajar sendiri. Inilah cara terbaik membina daya tahan emosi anak.
Kadang sifat perfectionist lahir daripada pengalaman kecil kita sendiri yang dibesarkan dengan banyak kritikan, atau rasa tidak pernah cukup di mata orang lain. Bila kita sedar, kita boleh hentikan kitaran itu daripada berulang pada anak.
Menjadi mak ayah perfectionist bukanlah satu dosa. Ia tanda kita sayang dan nakkan yang terbaik untuk anak. Tapi bila rasa sayang tu dibalut dengan kritikan berlebihan, yang tinggal untuk anak cumalah luka — bukan kekuatan.
Tegurlah, tapi jangan sampai mengherdik. Ajarlah, tapi jangan sampai mengkritik. Anak perlukan bimbingan dan motivasi, tanpa menghancurkan. Moga Allah rezekikan kita beri anak-anak kasih sayang yang memulihkan.