Mak ayah tentu gembira kalau anak-anak yang dah semakin membesar suka belajar dan sangat cintakan ilmu.
Ada bermacam tip dan kaedah yang ramai ibu bapa kongsikan untuk merangsang anak suka belajar.
Kalau anda sedang usahakan untuk mendidik anak gemar buku dan minat belajar bolehlah ikut tip yang dikongsi oleh Dr Roslin Muhammad Taha
7 TIPS DIDIK ANAK CINTAKAN ILMU & MINAT BELAJAR
1.Anak-anak seringkali memerhatikan perlakuan kita sebagai ibubapa. Berikan mereka contoh yang terbaik, “lead by example”. Sediakan waktu khas untuk membaca bersama seperti amalan membaca “bedtime story” dan sediakan banyak bahan bacaan ilmiah di dalam rumah mahupun di dalam kereta.
2. Pada hari minggu, bawa anak bersiar-siar. Perkenalkan mereka kepada dunia luar dan ajar mereka ilmu tentang alam sekitar. Sekiranya menghala ke pusat membeli belah, jangan lupa singgah ke kedai buku dan hadiahkan mereka sebuah buku setiap seorang.
Ads
3.Mulakan pada usia muda. Apabila mereka berumur setahun, berikanlah buku sebagai hadiah harijadi. Mulakan dengan memperkenalkan warna, abjad dan nombor. Kelazimannya, saya akan pastikan anak-anak saya sudah mengenal nombor dan abjad sebelum memulakan persekolahan di tadika. Dengan cara ini, guru-guru mudah mengajar phonics apabila mereka mula bersekolah.
4. Apabila mereka telah mula membaca, bawa mereka ke perpustakaan awam dan perkenalkan mereka kepada dunia buku. Anak-anak yang berusia 3-4 tahun sangat gemarkan cerita-cerita haiwan.
Anak-anak yang berusia 5-6 tahun sudah boleh diperkenalkan kepada ilmu sains. Bila subjek sains diperkenalkan dalam keadaan santai sebegini, mereka akan merasa mudah apabila ianya dipelajari di sekolah nanti.
Yang telah saya nyatakan di atas hanyalah contoh, perlu ditekankan bahawa setiap anak adalah berbeza. Sebagai ibubapa kita hanya perlu memupuk dan membimbing minat mereka.
Ads
5. Catatkan tahap pembelajaran setiap anak-anak, syllabus tidak perlu mengikut apa yang diajar disekolah, setiap anak mempunyai kemampuan dan bakat yang tersendiri.
Sebagai contoh;
Anak saya Jada yang berusia 3 tahun masih memerlukan bantuan dengan nombor 1-20. Umar yang berusia 6 tahun pula sangat meminati bidang astronomi dan memerlukan latihan tambah tolak dalam matematik. Apabila saya memberikannya hadiah buku latihan matematik Star Wars, dia sangat teruja.
Jad yang berusia 13 tahun pula perlukan bimbingan dalam bidang penulisan dan rekacipta. Alyssa yang berusia 15 tahun pula perlu bimbingan dari segi opsyen dan pemilihan kerjaya yang bakal diceburinya nanti.
Ads
Catatan sebegini memudahkan kita untuk membimbing anak-anak mengikut tahap mereka masing-masing. Setiap anak mempunyai keperluan tersendiri dan catatan ini dapat memastikan kita lebih sistematik dalam merancang pembelajaran mereka.
6. Minat anak-anak boleh dipupuk dan dibimbing. Walau bagaimanapun, penggunaan gajet dan televisyen perlu dikawal agar tidak berlebihan sehingga membantutkan proses pembelajaran dan menyekat potensi mereka.
7. Terdapat pelbagai jenis ilmu di dunia dan telah ada banyak ilmu yang dibukukan dalam pelbagai jenis bahasa. Sebaiknya sebelum kita menuntut ilmu dunia, kita mulakan dengan menuntut ilmu akhirat.
Sebelum membaca buku-buku karangan manusia, kita mulakan setiap hari dengan membaca kalam Allah, ayat-ayat suci Al-Quran. Sebagaimana kita perlu membaca, memahami, mentadabbur dan mengamalkan ayat-ayat Al-Quran, begitu juga kita perlu mempelajari dan memahami ilmu-ilmu dunia dengan lebih mendalam.
Proses ini merangkumi satu lagi cabang ilmu yang dinamakan “Critical Thinking”, iaitu satu kemahiran yang saya rasakan amat penting buat anak-anak kita.
Anak lelaki akan membesar lebih hebat kalau ibu selalu pesan pada mereka 5 perkara penting tentang kehidupan. Anak lelaki memang manja dengan ibu jadi ambillah peluang ini untuk mendidik mereka agar jadi anak lelaki yang bertanggungjawab.
Peranan ibu dalam mendidik anak memang sangat penting. Karektor yang dimiliki oleh wanita bergelar ibu iaitu prihatin, lemah lembut, pengasih dan penuh belas kasihan adalah kurniaan dari Ilahi yang tidak ada pada seorang lelaki.
Disebabkan kesabaran dan keprihatinan seorang ibu, kebanyakan anak-anak lebih selesa untuk meluahkan segala perasaan dan masalahnya kepada sang ibu. Kadangkala walaupun seseorang anak lebih rapat dengan ayah tetapi tak boleh mengalahkan keakraban dengan ibu.
Karektor seorang ibu sangat penting bagi setiap anak sama ada perempuan atau pun lelaki. Tetapi bagi anak lelaki, ibu adalah cinta pertamanya yang sejati. Figura yang dapat mendidiknya untuk memiliki peribadi lelaki yang pengasih dan bertanggungjawab.
Jadi, para ibu perlu memainkan peranan penting untuk mendidik anak lelaki menjadi lelaki dewasa yang penyayang, penyabar, berkeyakinan dan bertanggungjawab kepada keluarganya satu hari nanti.
Jangan lupa sentiasa pesan perkara berikut supaya anda menjadi ibu yang baik kepada anak lelaki anda.
1. Ajar anak jadi penyabar tetapi tegas
Karektor anak lelaki memang agak kasar dan mudah marah. Ibu, tunjukkan contoh menjadi orang yang sabar kepada anak-anak. Bila ibu selalu sabar dalam menghadapi kerenah mereka tetapi masih tegas, ia secara tak langsung mengajar mereka pentingnya menjadi orang yang banyak bersabar. Kalau ada masalah jangan cepat hendak naik angin.
2. Didik mereka jadi lelaki sejati
Walaupun anak anda seorang lelaki, mereka tetapi perlu diajar menjadi orang yang mudah bersikap lembut pada orang lain tanpa perlu menghilangkan sisi ketegasannya. Dengan cara ini, barulah mereka boleh menjadi lelaki yang sejati yang tahu menghormati, menghargai dan prihatin pada orang lain.
3. Menjadi pemberi semangat
Adakalanya anak lelaki akan berhadapan dengan situasi yang menjengkelkan atau mengecewakan mereka seperti kalah dalam permainan bola dengan kawan-kawannya dan sebagainya. Biasanya mereka bukan jenis kaki mengadu seperti anak perempuan. Ia hanya ditunjukkan daripada raut wajah yang muram dan kecewa sahaja.
Sebagai ibu, anda kena prihatin bila berhadapan dengan situasi anak lelaki yang kecewa. Menjadi tugas ibu untuk berfikir secara positif dan memberikan kata-kata semangat kepada anak supaya tidak mudah patah semangat. Anak akan kembali bersemangat dan mempunyai keyakinan diri kembali hasil daripada keprihatinan ibu yang sentiasa menjadi penyokong setianya.
4. Fokus dan yakin untuk jadi orang yang berjaya
Anak lelaki yang mempunyai hubungan rapat dengan ibu biasanya akan mendapat keputusan akademik yang lebih baik. Bukankah ibu adalah makhluk yang dicipta oleh Allah sebagai insan yang selalu menenangkan? Jadi tidak hairanlah anak lelaki yang rapat dengan ibu akan lebih fokus semasa belajar kerana dia tidak perlu memikirkan masalah dari rumah serta lebih tenang semasa peperiksaan kerana ibu telah mengajar agar sentiasa bertenang dan yakin pada diri sendiri.
5. Jadilah lelaki yang menghargai wanita
Biasanya bila si anak lelaki itu rapat dengan ibu sejak dari kecil lagi, maka dia sedikit sebanyak akan faham dengan karektor dan sensitiviti seorang wanita. Namun, ia bukan bermakna anak akan mencontohi perwatakan seorang wanita daripada ibunya. Sebaliknya anak lelaki akan membesar sebagai lelaki yang lebih memahami wanita. Maka dengan itu dia akan lebih menghargai dan mencintai wanita yang disayanginya.
Ibu adalah sahabat sejati kepada anak. Hanya ibulah yang sentiasa bersama anak semasa susah, sedih dan gembira. Jadilah ibu yang hebat di mata anak. Ibu sangat berkuasa dalam mempengaruhi dan membentuk jati diri seorang anak lelaki!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Anak suka sangat pada satu buku dan selalu minta ibu ayah membacakannya. Wahai anak, tidakkah kamu bosan kerana ceritanya sama sahaja? Rupa-rupanya ia memberikan faedah kepada anak.
Umpama ayat-ayat yang telah dihafal, ibu dan ayah seolah-olah sudah ‘hafal’ setiap muka surat buku kegemaran anak. Tapi jangan bosan kerana ia adalah perkembangan yang baik untuknya terutama sekali penguasaan tatabahasa dan perbendaharaan kata.
PENGULANGAN
Pengulangan yang berterusan ini adalah cara terbaik untuk kanak-kanak belajar perkataan baru dan menguasai perbendaharaan kata yang seterusnya menggalakkannya minat untuk membaca dalam jangka masa panjang.
Menurut Dr Jessica Horst dari University of Sussex’s WORD Lab yang menjalankan penyelidikan mendapati mendapati kanak-kanak berusia tiga tahun berupaya mengenal pasti dan mengingat kembali sekurang-kurangnya enam perkataan apabila dibacakan sebuah buku berulang kali.
Menurut Dr Horst, hasil kajian susulan yang dilakukannya menunjukkan pembacaan atau pendedahan yang berulang kali kepada anak walau pun tanpa kemahuannya untuk mempelajarinya juga turut menyebabkan perkataan diingati.
Beliau juga menekankan supaya ibu bapa perlu meluangkan lebih banyak masa dengan anak dan membacakan mereka buku setiap hari. Tambahnya lagi, 1 dari 3 ibu bapa tidak membacakannya buku kepada anak.
Sesi pembacaaan sekurang-kurangnya 30 minit sehari boleh memperbaiki kemahiran membaca pada kanak-kanak dalam masa lima bulan.
KENAPA ANAK SUKA SATU BUKU DIBACAKAN BERULANG KALI
-Kanak-kanak belajar lebih cepat dengan hanya beberapa buah buku ialah kerana;
-Berulang kali membaca buku yang sama untuk kanak-kanak membantu mereka mempelajari kata-kata baru.
-Penceritaan berulang adalah cara terbaik untuk meluaskan perbendaharaan kata kepada kanak-kanak.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tiada anak yang dilahirkan “nakal”, semuanya berdasarkan bagaimana mak ayah membentuk peribadi anak”
Ya, semua anak akan mengalami fasa “nakal” atau aktif sebenarnya, kita yang dah jadi mak ayah pun sama juga.
Berdasarkan perkongsian Terapis Cara Kerja, Maryam Jamadi, fasa “nakal” ini selalunya bermula semasa fasa autonomi (18 bulan – 3 tahun) dalam perkembangan emosi dan sosisal. Dimana anak akan mula mengamuk apabila tak dapat apa yang dikehendaki, nak lari ke sana ke mari ke tempat yang dia mahu, ambil apa yang dia mahu dan sebagainya.
Waktu inilah fasa kritikal membentuk tingkah laku anak. Kalau mak ayah abaikan waktu ini, tingkahlaku negatif anak akan menjadi semakin berpanjangan.
Hari ini saya nak kongsikan tips penyelesaian masalah tingkahlaku anak yang biasa ada pada semua anak. Sesuai untuk anak berumur 18 bulan ke atas.
MASALAH ANAK DAN PENYELESAIAN
Anak terlampau aktif di luar rumah.
Ramai orang ingat semakin kita kurung anak, semakin anak dapat dikawal. Sebenarnya tidak, semakin kita kurung semakin anak susah dikawal. Konsepnya sama dengan semasa anak baru “dapat kaki”, asyik nak berjalan sahaja sampai dah tak fikir apa-apa. Tetapi pasti sampai satu masa, anak akan mula kurangkan aktiviti berjalannya berbanding masa mula-mula “dapat kaki”. Betul tak?
Agak-agak kalau kita sekat anak dari berjalan dengan ikat kakinya, dia akan berhenti berjalan? Masa diikat sahaja anak berhenti berjalan, bila buka ikatan lagi kuat anak nak berjalan. Sama juga bila kita kurung anak, bila dilepaskan makin susah dikawal.
Dunia ini terlampau kecil bagi anak sehinggakan benda kecil pun dapat buat anak bahagia. Bawa pergi “shopping mall”, tak beli apa-apa pun anak dah bahagia sehingga nak lari kesana kemari.
Percaya tak kalau saya kata, ada perbezaan tahap aktif pada anak jika kita bandingkan anak yang mak ayah bawa keluar setiap hari dan anak yang mak ayah bawa keluar sebulan sekali? Sangat-sangat berbeza. Sebab itu, setiap kawasan perumahan pasti ada taman permainan kerana taman permainan adalah keperluan WAJIB untuk perkembangan anak-anak kita.
Kalau perasan anak susah dikawal apabila pergi ke taman permainan, bawalah mereka ke sana selalu. Kalau anak susah dikawal apabila pergi pasaraya, bawalah mereka pergi untuk “window shopping”. Tetapi kalau perasan anak sangat susah dikawal semasa di luar rumah, saya sarankan cari tempat yang:
– Kurang padat supaya anak mudah dikawal dan tidak mengganggu orang lain.
– Selamat (tiada barang mudah pecah dan tajam).
– Ada kawasan lapang untuk anak berlari. Kalau anak lari laju, mak ayah pakailah kasut sukan supaya senang nak kejar.
– Keluar dengan pasangan atau kawan supaya ada orang lain, elakkan bersendirian.
– Pakaikan “baby harness”.
Anak pantang tengok sesuatu benda.
(Pantang tengok gadget/TV tak termasuk dalam kategori ini ya.)
Contoh: Anak pantang nampak tangga. Semakin mak ayah halang anak naik tangga, selama-lamanya anak akan pantang nampak tangga. Jadi, caranya banyakkan lagi “main tangga” tetapi dengan pantauan dan selagi ia selamat sebab lambat laun anak perlu juga belajar naik dan turun tangga.
Anak saya sendiri, saya dah dedahkan dengan tangga sejak dia umur 6 bulan waktu sibuk nak merangkak tetapi dengan pantauan. Hasilnya umur 1 tahun lebih, anak dah tak “heran” dengan tangga. Tangga tetap ada pagar untuk keselamatan tetapi setiap kali naik dan turun beri anak cuba sendiri, mak ayah jaga di belakang/bawah anak macam penjaga gol.
Sama juga kes anak asyik nak berlari naik turun escalator. Semakin dihalang, semakin anak nak berlari ke sana. Kalau ada yang macam ini, luangkan masa untuk naik dan turun dengan anak berulang kali. Semakin awal kita dedahkan sehingga mereka jemu, semakin mereka kurang berlari ke arah tempat itu tetapi kena hati-hati dengan kaki tersepit di penghujung escalator. Cara saya, saya akan angkat anak sedikit sebelum sampai penghujung escalator.
Anak bising di kedai makan.
Kadang-kadang ada situasi dimana kita tak boleh elak masa anak tengah ada mood nak buat bising atau mengamuk di kedai makan. Cara terbaik untuk mengawal anak dikedai makan adalah anak pun perlu sibuk makan sekali. Kalau tidak, mak ayah boleh cuba tips di bawah:
-Kenal pasti mood anak sebelum pilih kedai makan.
– Cari meja yang paling hujung dan kawasan kurang padat.
– Bawa mainan jika anak tidak makan bersama mak ayah.
– Elakkan duduk terlampau awal di kerusi bayi untuk elak anak cepat bosan.
– Bawa anak berjalan-jalan keliling kedai makan sebelum makanan sampai.
Anak terlampau aktif di rumah orang lain.
Kalau mak ayah dah ada pengalaman anak asyik nak panjat meja, ataupun nak ambil barang perhiasan di rumah orang lain sehingga susah dikawal. Beritahu atau tanya dengan tuan rumah dahulu yang kita ada anak kecil yang tengah fasa meneroka supaya tuan rumah dapat bersedia dan simpan harta karun yang berharga sementara mak ayah beraya. Ataupun tanya dahulu, sesuai tak nak bawa anak kecil yang sedang aktif.
Jika anak dah mula memahami arahan, beritahu anak awal-awal “kawasan larangan”di rumah orang lain. Adab dirumah orang perlu sangat ditekankan pada anak dari awal. Sebelum mak ayah makan serentak, minta tolong saudara terdekat untuk tengokkan anak yang sibuk bermain.
Anak pecahkan cawan atau pinggan.
Senang sahaja, kalau anak masih kerap jatuhkan pinggan atau cawan. Siap-siap bawa mangkuk dan cawan plastik dalam beg. Air pula tuang sikit-sikit cukup 3 teguk supaya kurang risiko tumpah habis karpet rumah orang.
Anak main bersepah.
Terapkan dan amalkan kemas mainan selepas main seawal anak umur 18 bulan. Sebelum itu mak ayahlah yang perlu tunjukkan sikap mengemas kerana anak belajar melalui pemerhatian. Lama-kelamaan anak pun akan terikut sama dan berminat nak belajar kemas mainan. Sampai satu masa, kita dah tak perlu membebel minta anak kemas mainan lepas main, cuma perlu puji sahaja.
Anak mudah cedera semasa bermain.
Apa yang mak ayah boleh buat untuk kurangkan risiko kemalangan anak disamping dengan pemantauan, mak ayah boleh kenalkan unsur-unsur bahaya sebelum anak bermain, boleh kenalkan ciri-ciri:
– Tajam (Bucu meja atau permukaan tajam)
– Bahaya (Lintas jalan)
-Tinggi (Meja atau kerusi tinggi)
– Panas (Air panas atau seterika)
– Pedas (Makanan pedas, cili dll)
– Sakit (Baling barang)
Kalau 6 ciri-ciri ini anak dah tahu, insyaAllah mak ayah tak perlu dah asyik nak kata “careful” berjuta kali semasa anak bermain.
Semua tips diatas sudah diguna pakai pada anak saya sendiri dan klien saya di BEYOND. Alhamdulillah kebanyakannya berkesan mengurangkan aktif anak.
Kesimpulannya, yang paling penting mak ayah WAJIB “kenal” anak sendiri. Kena tahu kelebihan dan kelemahan anak supaya mudah kita nak atasi tingkahlaku anak. Tips yang saya berikan ini sebenarnya sangat mudah untuk dilakukan dan sebenarnya banyak yang mak ayah dah lakukan tanpa sedar. Pendidikan anak bermula dari rumah, disiplin pun bermula dari rumah. Jangan marah anak letak kasut bersepah kalau kita pun letak kasut bersepah.
Mulakan sejak awal, jangan tunggu jadi buluh baru nak lentur. Masa itu anak pun dah “keras”.
Saya pun ibu yang sama seperti anda, ibu kepada seorang anak, terapis kepada ratusan anak juga. Bersyukurlah anak anda aktif/nakal kerana ia bermakna anak kita sihat, kalau dibandingkan anak yang sedang terlantar kesakitan. Jangan bandingkan anak kita dengan anak orang lain sebab pasti tak sama.
Dan yang paling penting, jangan putus asa dalam mendidik anak. Kata-kata kita adalah doa pada anak. Sebab itu orang dulu-dulu bahasakan anak yang aktif ini sebagai “anak banyak akal”. Tak ada pula bahasakan “anak tarzan”, “anak nakal”, “anak degil”, “anak monyet” dan sebagainya.
Kisah benar seorang ibu tentang bagaimana karies botol menyebabkan semua gigi anaknya terpaksa dicabut melalui pembedahan. Ketahui punca, perjalanan emosi dan tips elak masalah sama.