Pemakanan ibu hamil amat dititikberatkan sepanjang fasa kehamilan bagi memastikan bekalan tenaga yang mencukupi untuk tubuh yang lebih sihat. Selain untuk kesihatan ibu hamil, pemakanan yang baik seperti ikan juga amat penting untuk tumbesaran dan kesihatan janin, agar bayi yang akan dilahirkan kelak mempunyai zat dan nutrisi yang mencukupi.

Pernahkah anda tertanya-tanya apakah jenis makanan yang baik untuk ibu hamil? Sebenarnya, selagi mana ia dikategorikan sebagai jenis makanan yang sihat, dan anda tidak mengambilnya secara melampau, ia adalah jenis makanan yang baik untuk ibu hamil. Pun begitu, terdapat beberapa jenis makanan yang boleh mempengaruhi bayi yang akan dilahirkan kelak. Ingin tahu apakah ia? Ikutinya di bawah ini.

Makan Ikan Bagus Untuk Otak & Buat Bayi Lebih Fokus, Kurang Risiko ADHD Kelak – Kajian

Menurut kajian terbaharu, ibu hamil akan kurang cenderung memiliki anak yang kurang fokus sekiranya banyak makan ikan ketika hamil. Saintis juga menemukan bahawa, kadar ADHD adalah lebih rendah dalam kalangan kanak-kanak yang mana ibunya dahulu mengambil banyak ikan atau produk ikan semasa sedang hamil.

Betul ke dakwaan ini?

IKLAN

Para penyelidik di The Barcelona Institute for Global Health telah mengkaji pengambilan diet 1,641 pasangan ibu dan anak. Hasil kajian mereka menunjukkan bahawa, kanak-kanak yang berumur 8 tahun mempunyai skor 16% lebih baik dalam ujian rentang penumpuan (attention span), dan ini telah dikaitkan dengan pemakanan ibunya yang mengambil 4 bahagian minyak ikan dalam seminggu.

Selain itu, bagi ibu yang memakan satu bahagian ikan setiap hari, anak remaja mereka mempunyai skor 24% lebih baik dalam ujian tersebut, berbanding remaja dengan ibu yang hanya mengambil satu bahagian ikan dalam seminggu. Risiko ADHD turut berkurang sebanyak 16%.

Ikan sumber terbaik perkembangan otak bayi

IKLAN

Menurut pengkaji, ikan berminyak seperti salmon dan tenggiri adalah jenis ikan yang sangat bermanfaat yang boleh membantu struktur otak janin. Ini kerana jenis ikan berminyak seperti ini mengandungi asid lemak omega-3. Skor ujian rentang penumpuan ini adalah lebih tinggi dalam kalangan kanak-kanak, yang mana ibunya lebih gemar memilih ikan berminyak seperti salmon dan tenggiri atau ikan kurang lemak seperti ikan kod dan haddock.

Kesan yang diberikan oleh makanan laut terhadap perkembangan otak janin adalah lebih besar berbanding kanak-kanak atau ibu yang mengambil makanan laut selepas kelahiran bayi. Menurut Dr. Jordi Julvez yang merupakan pengarang utama kajian ini, perkembangan otak semasa fasa-fasa awal kehamilan adalah amat penting. Asid lemak omega-3 yang terdapat di dalam jenis ikan berminyak memainkan peranan penting dalam pembentukan dan laluan antara sel semasa perkembangan otak janin berlaku.

IKLAN

Ambil banyak ikan putih untuk bayi anda

Walau bagaimanapun, Nichola Ludlam-Raine, pakar pemakanan yang juga ahli British Dietetic Association menyarankan agar wanita hamil mengambil jenis ikan berminyak ini tidak lebih daripada dua hidangan dalam seminggu. Beliau menggalakkan agar wanita hamil memakan jenis ikan putih atau tidak berlemak seperti ikan kod, haddock dan ikan merah kerana ia merupakan sumber protein yang baik.

Bagi suami-suami yang bakal mempunyai anak yang akan dilahirkan, galakkan isteri anda untuk memakan sumber makanan ini dengan kerap. Selain ia bertindak sebagai sumber protein yang baik, ia juga mungkin membantu anda untuk memiliki anak yang lebih fokus dan genius pada masa hadapan. Tidak hairanlah jika kita mengetahui ramai anak-anak Terengganu dikategorikan sebagai kelompok yang genius. Ini mungkin disebabkan oleh diet pemakanan mereka yang banyak bersumberkan ikan seperti ikan tuna dan tenggiri. Jom makan lauk singgang ikan bermula esok!

Sumber: Hello Health 

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI