
Melahirkan anak adalah satu proses yang memerlukan tenaga fizikal dan mental yang tinggi. Oleh itu, adalah sangat penting untuk bakal ibu mengambil makanan sebelum bersalin yang sesuai bagi memastikan tubuh mempunyai bekalan tenaga mencukupi. Pemilihan makanan yang betul juga membantu ibu berasa lebih selesa ketika menghadapi kontraksi.
Pengambilan makanan dan minuman sebelum bersalin, terutamanya pada fasa awal kelahiran, amat penting untuk membekalkan tenaga yang diperlukan sepanjang proses ini. Proses kelahiran bukanlah sesuatu yang mudah dan tidak dinafikan anda mungkin akan berasa gementar.
Namun, tindakan memilih untuk tidak makan dan minum boleh menyebabkan anda berdepan tekanan, rasa mual, muntah serta sakit kepala. Kekurangan tenaga juga boleh menyebabkan proses bersalin menjadi lebih lama dan kontraksi kurang efektif.
Memastikan diri mendapat bekalan makanan berkhasiat dan tubuh kekal terhidrat membantu mengelakkan keletihan melampau. Keletihan yang berlebihan boleh memberi kesan kepada kekuatan ibu ketika meneran dan memperlahankan proses kelahiran.
Oleh itu, pemilihan makanan sebelum bersalin yang betul adalah antara persediaan penting yang tidak boleh dipandang ringan.
Fasa pertama kelahiran merupakan tempoh paling sesuai untuk mengumpul bekalan tenaga yang akan digunakan sepanjang proses bersalin.
Sama seperti penjagaan sepanjang tempoh kehamilan, ibu disarankan mengekalkan pengambilan makanan seimbang yang membekalkan tenaga dan nutrien mencukupi. Anda juga dinasihatkan untuk makan dalam kuantiti kecil tetapi kerap bagi memudahkan proses pencernaan.
Pilih makanan yang mengandungi karbohidrat kompleks, sedikit protein dan lemak sihat untuk menstabilkan paras gula dalam darah, seperti:
Apabila memasuki fasa kedua bersalin, selera makan biasanya semakin berkurangan, terutamanya apabila kontraksi menjadi lebih kuat dan kerap.
Jika mampu, kunyahlah sedikit makanan ringan atau makanan yang mudah dicerna bagi mengekalkan kekuatan. Anda boleh menyediakan beberapa pilihan seperti buah-buahan segar atau bar granola dengan campuran buah kering.
Walaupun makanan yang dipilih perlu berkhasiat dan mengikut selera, terdapat beberapa jenis makanan yang disarankan untuk dielakkan sebelum bersalin.
Sama seperti aktiviti fizikal yang berat, ibu juga perlu memastikan tubuh kekal terhidrat semasa proses bersalin.
Walaupun selera makan mungkin berkurangan, pastikan anda terus minum air di antara tempoh kontraksi.
Air putih membantu mengekalkan hidrasi, air rebusan tulang (bone broth) kaya nutrien dan boleh membantu mengurangkan loya. Air kelapa pula mengandungi magnesium, kalium dan elektrolit yang sangat baik untuk hidrasi.
Minuman campuran limau nipis membantu membekalkan elektrolit yang diperlukan untuk pengecutan otot rahim.
Bagi ibu hamil berbangsa Melayu, amalan minum air selusuh sering disarankan untuk memudahkan proses bersalin. Air selusuh dipercayai dapat mempercepatkan proses kelahiran selepas ibu mula mengalami kontraksi.
Air ini biasanya dibacakan ayat suci Al-Quran dan diberikan kepada ibu hamil untuk diminum atau disapu pada perut. Ada juga amalan menggunakan rendaman akar Fatimah, air zam-zam, minyak kelapa dara dan minyak zaitun.
Sehingga kini, tiada kajian saintifik yang membuktikan bahawa air selusuh dapat membantu mempermudahkan proses bersalin. Campuran herba tertentu boleh menghasilkan bahan kimia aktif yang merangsang hormon oksitosin secara tidak terkawal.
Pengambilan air ini berisiko kerana ia seolah-olah memaksa pintu rahim terbuka sebelum waktunya, menyebabkan kontraksi yang terlalu kuat walaupun bukaan belum mencukupi.
Antara risiko yang boleh berlaku termasuk:
Pemilihan makanan sebelum bersalin yang sesuai memainkan peranan penting dalam memastikan ibu mempunyai tenaga mencukupi dan melalui proses kelahiran dengan lebih selamat.
Jika anda tidak pasti makanan atau minuman yang sesuai diambil sebelum bersalin, sebaiknya berunding dengan doktor atau pakar kesihatan bagi mendapatkan nasihat yang tepat dan selamat.
Sumber: Hello Doktor